Karangan

Usaha Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah

Contoh karangan boleh dijadikan rujukan kepada pelajar dalam bersedia menghadapi ujian atau peperiksaan awam sekolah. Tetapi pelajar-pelajar perlu peka terhadap soalan sekiranya ia memerlukan format-format tertentu. Contoh di bawah adalah karangan yang bebas daripada format. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan usaha meningkatkan penggunaan kemudahan Pusat Sumber Sekolah.

Tajuk soalan karangan sering kali berkaitan dengan kehidupan pelajar maka sikap ambil tahu tentang perkara sekeliling dapat membantu pelajar dalam menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Usaha-Usaha Meningkatkan Penggunaan Kemudahan Pusat Sumber Sekolah

peta minda penggunaan pusat sumber Usaha Meningkatkan Penggunaan Pusat Sumber Sekolah

Isi-isi penting

  • memastikan suasana yang menarik dan kondusif
  • mempelbagaikan sumber rujukan yang berkualiti
  • memperkasakan program NILAM
  • menyediakan alat bantuan mengajar
  • Membina sudut atau bilik arkib yang berkenaan sejarah sekolah
  • Menganjurkan karnival pusat sumber

Contoh Karangan Usaha Meningkatkan Penggunaan Kemudahan Pusat Sumber Sekolah

Pendahuluan

Pusat sumber adalah salah satu fasiliti yang disediakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan para pelajar dan guru-guru mencari rujukan tambahan berkaitan matapelajaran mereka. Sebelum ini, pusat sumber dikenali sebagai perpustakaan kerana membekalkan rujukan daripada bahan cetakan sahaja tetapi dek kemajuan teknologi, penggunaan pusat sumber adalah lebih sesuai. Hal ini kerana pusat sumber dapat menyediakan kemudahan bahan rujukan tambahan dari pelbagai bentuk seperti poster dan komputer. Pihak sekolah sewajarnya berusaha dengan komited dalam meningkatkan penggunaan kemudahan pusat sumber sekolah supaya bermanfaat kepada murid dan para pengajar.

Isi 1

Perkara utama dalam menarik minat seseorang mengunjungi tempat yang kita inginkan adalah suasana kawasan tersebut. Suasana yang kondusif dan menarik mampu menyumbang kepada jumlah pengunjung pusat sumber sekolah. Susunan rak yang mudah untuk mencari bahan rujukan, kedudukan meja dan kerusi yang teratur serta ruang membaca yang selesa menjamin keinginan murid untuk menggunakan sumber yang ada di situ. Mewujudkan sudut perbincangan di mana para pelajar dpat melakukan pembelajaran secara berkumpulan juga amat digalakkan kerana ia antara cara pembelajaran yang berkesan pada hari ini. Pihak sekolah bertanggungjawab memastikan segala kemudahan di pusat sumber di selenggara dengan baik dan dijaga rapi. Sekiranya mengalami kekangan kos dalam pengurusan pusat sumber, mereka boleh menggunakan alternatif lain seperti berganding bahu dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang pasti prihatin dalam isu seperti ini.

Isi 2

Pusat sumber juga berperanan dalam menyediakan bahan rujukan yang  berkualiti dan terkini. Selalunya apa yang kita jumpa di pusat sumber adalah bahan-bahan yang telah lapuk dek ditelan zaman. Bahan rujukan baharu disimpan dan hanya boleh diakses oleh guru sahaja. Pihak sekolah haruslah mencari pendekatan untuk menjual bahan rujukan lama dan sentiasa mendapat bekalan rujukan yang baharu dan berguna untuk para pelajar. Bahan-bahan rujukan juga perlulah divariasikan seperti melanggan surat-surat khabar secara harian dan pelbagai bahasa agar murid dapat mengetahui isu-isu semasa serta meluangkan masa di pusat sumber. Buku-buku tidak seharusnya hanya berkait dengan akademik tetapi sewajarnya buku berkisarkan budaya atau pengurusan kewangan mampu menjadi bahan bacaan santai yang bermanfaat kepada murid-murid.

Isi 3

Selain daripada itu, pihak sekolah dan ibu bapa seharusnya bertanggungjawab dalam mengubah sikap kanak-kanak yang kurang membaca dan lebih suka mencari rujukan menggunakan komputer ataupun telefon pintar. Membaca adalah jambatan ilmu maka, pihak sekolah hendaklah memperkasakan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dalam kalangan para pelajar. Seperti yang kita tahu, diperingkat kebangsaan terdapat Anugerah Kebangsaan NILAM yang menjadi anugerah tahunan dan mampu menjadi platform penting bagi para pelajar. Jadi, pengiktirafan diperingkat sekolah boleh ditambah baik dengan menyediakan insentif menarik sekiranya pelajar mencapai tahap-tahap tertentu dalam program NILAM. Insentif bukan sahaja hadiah tetapi boleh dipelbagaikan dengan mendapat membuat lawatan sambil belajar ke tempat-tempat tertentu atau menghantar mereka menyertai program seperti pertandingan pidato dan sebagainya.

Isi 4

Akhir sekali, pusat sumber boleh menyediakan alat bantuan mengajar yang interaktif kepada guru-guru. Proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan adanya alat bantuan mengajar yang mampu menarik minat para pelajar. Sebagai contoh, di makmal sains terdapat boneka tubuh badan yang menerangkan nama serta kedudukan organ-organ dalam badan. Murid-murid lebih tertarik dengan pembelajaran secara visual serta membantu mereka untuk lebih faham akan subjek atau sesuatu perkara yang dipelajari oleh mereka berbanding daripada penerangan dari guru yang mungkin kurang berkesan. Pusat sumber boleh menyediakan glob dunia untuk subjek geografi, kostum-kostum budaya bagi subjek sejarah dan poster-poster yang menarik dan bermanfaat untuk pelajar melihat dan membaca.Tindakan ini juga menyokong penambahan sudut perbincangan bagi para pelajar dan guru untuk berinteraksi dengan lebih bebas apabila melakukan proses pembleajaran dan pengajaran di pusat sumber.

Penutup

Konklusinya, banyak usaha dapat dilaksanakan dalam meningkatkan penggunaan pusat sumber di sekolah. Peribahasa Melayu berkata, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang yang bermaksud sesuatu itu tidak akan berhasil jika tidak berusaha. Pihak sekolah hendaklah memastikan pusat sumber menjadi kekal relevan kepada para pelajar dan guru-guru dan dihargai sebagai sumber utama mencari ilmu yang merupakan misi utama sekolah itu diwujudkan. Di samping itu, mengekalkan fasiliti-fasiliti lain di sekolah supaya berkesan dalam mendidik anak-anak bangsa. Generasi membaca, kaya dengan ilmu pengetahuan akan melahirkan modal insan kelas pertama dan bakal menjadi pemimpin negara ke arah yang lebih cemerlang dan maju pada masa kelak.