Karangan
Langkah Dan Usaha Memupuk Semangat Kejiranan Dalam Kalangan Masyarakat
Soalan berkaitan semangat kejiranan kerap digunakan oleh sekolah untuk menguji tahap penulisan para pelajar. Hal ini kerana ianya suatu situasi atau keadaan yang berlaku dikeliling atau dalam persekitaran kita. Peribahasa Melayu juga banyak yang berkaitan dengan semangat kejiranan yang boleh dugunakan oleh para pelajar.
Pelbagai isi dan nilai yang boleh dihuraikan oleh para pelajar berkaitan semangat kejiranan. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Ianya terdiri daripada pendahuluan, empat isi penting dan penutup atau kesimpulan.
Isi Kandungan
Usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Isi-isi penting
- mewujudkan pusat komuniti dan rukun tetangga
- menggalakkan aktiviti bergotong-royong atau bersukan
- amalan kunjung-mengunjung
- peranan media massa
- menghormati hak masing-masing
- bersedia menawarkan bantuan yang mampu
Contoh karangan usaha dan langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Pendahuluan
Malaysia merupakan negara yang amat unik apabila berjaya mencapai kemerdekaan dengan adanya pelbagai bangsa dan etnik yang hidup dalam harmoni. Masa demi masa berlalu, sentimen perkauman semakin menjadi isu yang boleh memburukkan keharmonian yang telah dibentuk dan diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu. Justeru itu, keharmonian hendaklah bermula daripada rumah ataupun jiran tetangga. Jiran tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat samada di kiri, dan kanan, hadapan atau belakang, atas dan bawah bagi rumah flat atau kondominium.
Isi 1
Antara usaha yang dapat dilakukan untuk memupuk semangat kejiranan yang kian pudar hari ini adalah dengan mewujudkan satu pusat komuniti di setiap kawasan perumahan. Sebagai contoh balai raya dan dewan serbaguna yang boleh digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan seperti bergotong royong dan sebagainya. Kemudian, perlunya organisasi seperti rukun tetangga ditubuhkan bagi mengurus hal-hal berkenaan aktiviti di kawasan kejiranan. Jadi, seharusnya semua ahli masyarakat mengambil bahagian dan menyumbangkan apa yang perlu untuk mencapai semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat adalah peribahasa Melayu yang sesuai untuk digambarkan dengan semangat kejiranan yang wajar disemat dalam diri rakyat Malaysia.
Isi 2
Usaha-usaha lain adalah dengan menggalakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan bersukan di antara kkawasan perjiranan. Tanggungjawab ini bergantung kepada badan-badan bukan kerajaan seperti rukun tetangga dan khidmat komuniti oleh syarikat swasta. Program gotong-royong pembersihan atau membaik pulih balai raya atau dewan serbaguna dapat merapatkan hubungan antara masyarakat yang sertai sekaligus mengindahkan infrastruktur masyarakat serta menjamin kebersihan kawasan sekitar agar bersih daripada ancaman penyakit. Bak kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air dimana aktiviti seperti ini mendatangkan pelbagai faedah kepada semua.
Isi 3
Selain itu, usaha yang semakin pudar hari ini adalah budaya kunjung mengunjung. Kesibukan mengejar kerjaya dan urusan harian telah menyumbang kepada kemerosotan budaya berziarah antara jiran tetangga yang dahulu merupakan tradisi nenek moyang kita. Maka, sekiranya kita berkesempatan untuk berkunjung ke rumah jiran tetangga, terutamanya pada hari perayaan ia adalah suatu usaha yang murni dan perlu ditunjukkan kepada golongan muda agar mereka sedar bahawa nilai muafakat dalam berjiran adalah baik dan memberi manfaat kepada semua. Jika segan menjadi halangan maka mulakan lah dengan menegur sapa apabila bertemu ketika berselisih di kawasan perumahan masing-masing.
Isi 4
Media massa juga memainkan peranan penting dalam memupuk usaha supaya masyarakat hidup dalam semangat kejiranan. Dengan kemudahan yang hanya dihujung jari dewasa ini, media massa sepatutunya bertanggungjawab untuk membuat program-program dengan pengisian yang menerapkan nilai kejiranan dalam masyarakat kita. Drama yang melibatkan pelakon berbilang bangsa serta jalan cerita yang menyentuh situasi sebenar masyarakat kita mampu menjadi medium dalam membentuk semangat kejiranan melalui media massa. Media massa seharusnya merasakan tanggungjawab yang berat kerana masyarakat kini lebih menghabiskan masa melayari media-media massa dan mereka sewajarnya menyuntik nilai-nilai kejiranan atau kekitaan dalam hiburan yang disajikan.
Penutup
Intihannya, semangat kejiranan dalam masyarakat adalah budaya masyarakat Malaysia yang amat unik dan perlu disemai dan dihargai dengan lebih baik agar golongan muda mendapat manfaat daripada nilai yang baik ini. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja memastikan masyarakat hidup dalam keharmonian dan sejahteran tetapi menjamin kesepaduan negara dalam menjadi negara yang lebih maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain. Rakyat yang berjaya adalah rakyat yang kaya dengan nilai sahsiah dan menjamin modal insan kelas pertama yang akan memacu negara menjadi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Related : berkenal kenalan antara satu kenal maka tak cinta menikmati juadah yang disediakan kalangan anak anak belukar melepaskan pucuk untuk mengukuhkan aidilfitri tahun baharu cina menyemarakkan budaya kunjung mengunjung amalan ziarah menziarahi kasih sayang hormat menghormati disediakan oleh tuan rumah semangat kejiranan yang tinggi mengeratkan hubungan kejiranan raya aidilfitri tahun baharu hari raya aidilfitri tahun mengekalkan semangat kejiranan