Karangan
Cara Mengatasi Tanah Runtuh Di Negara Kita
Bagi mendapatkan isi-isi penting dalam penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan am berkenaan pelbagai perkara yang berpotensi menjadi soalan. Oleh itu, anda digalakkan untuk membaca bahan-bahan bacaan dengan banyak supaya anda mendapat idea atau fakta yang tepat dengan soalan yang diberikan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan salah satu contoh karangan berkaitan cara mengatasi tanah runtuh
Bencana alam merupakan antara isu semasa yang sering dijadikan tema untuk penulisan karangan. Sebagai pelajar, anda boleh memberikan contoh peristiwa yang berlaku sebagai huraian dan memberikan cadangan yang terbaik untuk mengelakkan daripada perkara tersebut berulang. Pastikan anda memenuhi kehendak soalan dan sertakan peribahasa yang sesuai agar dapar menarik minat pembaca serta penanda kertas anda.
Cara-Cara Mengatasi Kejadian Tanah Runtuh
Isi-isi penting
- Memastikan pembangunan terancang dilaksanakan
- Menguatkuasakan undang-undang
- Menanam semula pokok-pokok
- Membina sistem perparitan yang efisien
- Memastikan penyelenggaraan parit dan jalan raya dilaksanakan pada masanya
- Menyelia syarikat-syarikat pemaju dan pembinaan
Baca juga: Elakkan Di Tipu Di Internet
Contoh Karangan Cara Mengatasi Tanah Runtuh
Pendahuluan
Dasawarsa ini, pembangunan dalam negara kita semakin rancak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai projek perumahan, komersial dan perindustrian telah dijalankan bagi menampung pertambahan penduduk serta membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat kita. Namun begitu, kerap kali berita mengenai tanah runtuh dilaporkan di dada akhbar dan juga siaran televisyen sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa. Apakah sebenarnya punca berlaku tanah runtuh yang semakin menjadi-jadi ini? Pembangunan adalah salah satu punca dan ia harus dikawal dan diimbangi dengan beberapa faktor. Oleh yang demikian, wajar untuk kita bincangkan cara-cara mengatasi tanah runtuh supaya kejadian ini tidak berulang dan menjamin keselamatan ahli masyarakat.
Isi 1
Langkah pertama bagi mengatasi masalah tanah runtuh daripada berlaku adalah memastikan pembangunan terancang dilaksanakan. Seperti yang kita maklum, tanah runtuh berlaku akibat daripada gelongsoran tanah di kawasan lereng-lerang bukit atau cerun. Apabila hujan turun dengan lebat dan masuk ke dalam tanah, sepatutnya akar-akar pokok akan memastikan tanah tersebut tidak bergerak dan kekal di dalam kedudukannya. Jika kita menebang pokok maka tanah-tanah khusunya di kawasan lereng bukit akan mudah untuk runtuh. Maka, pihak berkuasa seperti pejabat tanah, jabatan hutan dan juga kerajaan wajib untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pembangunan terancang dilaksanakan. Misalnya, kawasan yang ingin dibangunkan mestilah jauh daripada kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh seperti bukit bukau, lereng bukit dan tepi sungai. Jika pembangunan ingin dilaksanakan di kawasan berisiko, pastikan pihak pemaju membina dengan kajian dan saranan terbaik agar insiden tanah runtuh tidak akan berlaku di kawasan tersebut. Tegasnya, pembangunan yang dirancang dengan kerjasama semua pihak iaitu kerajaan, pemaju, penduduk asal dan ahli akademik yang berkaitan pasti dapat menghasilkan pembangunan yang lestari dan selamat.
Isi 2
Setelah memastikan perancangan berada di tahap yang baik, perkara seterusnya yang harus dilakukan bagi mengatasi masalah tanah runtuh adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Mutakhir ini, banyak pencerobohan hutan berlaku oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab yang ingin mendapat keuntungan daripada hasil-hasil hutan yang kita miliki. Perkara ini seharusnya dibendung kerana semakin hari semakin banyak pokok yang ditebang, tanah ditarah dan hutan menjadi tandus. Sekali lagi, pihak berkuasa perlu bersifat tegas dan mengambil tindakan yang berkesan supaya pencerobohan hutan tidak berlaku di negara kita. Sebagai contoh, jika seseorang individu atau sebuah syarikat bersalah dalam menceroboh kawasan hutan akan dikenakan tindakan penjara selama 10 tahun tanpa rayuan, dan jika menyebabkan tanah runtuh, bayaran ganti rugi sepenuhnya perlu dilunaskan oleh pesalah. Nescaya dengan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta pelaksanaan yang saksama, kejadian tanah runtuh dapat dibendung kerana setiap pembalakan atau penerokaan hutan dikawal rapi.
Isi 3
Cara lain untuk memastikan tanah runtuh tidak berlaku adalah dengan menanam semula pokok-pokok. Langkah ini wajar dilaksanakan sekiranya tempat tinggal kita atau kawasan yang dibangunkan berada di lereng-lerang bukit. Seperti yang telah dihuraikan di atas, pokok-pokok bukan sahaja berperanan penting dalam menyedut karbon dioksida dan menghasilkan oksigen tetapi ia juga perlu bagi memastikan tanah yang kita pijak kekal pada kedudukannya. Bagi menyokong kenyataan tersebut, tahukah anda bahawa hutan merupakan kawasan tadahan air? Walaupun negara kita dikelilingi laut, sungai dan tasik, jumlah hujan yang kita terima pada setiap tahun tidak boleh ditampung oleh sungai dan tasik. Hutan merupakan kawasan tadahan air semula jadi yang telah diciptakan oleh Tuhan. Apabila poko ditebang dan tidak ditanam semula, jadi kawasan tadahan air akan berkurangan dan menyebabkan pelbagai bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat. Maka, setiap aktiviti yang melibatkan penebangan pokok seharusnya disusuli dengan penanaman semula pokok bagi menghindari tanah runtuh.
Isi 4
Tanah runtuh juga dapat dielakkan dengan membina sistem perparitan yang efisien di setiap kawasan yang telah dibangunkan. Secara teorinya, kita hanay perlu memastikan air hujan mengalir ke tempat yang selamat dan boleh ditampung tanpa melibatkan sebarang benca alam atau kemalangan. Justeru, dengan kepakaran jurutera dan tenaga profesional tempatan yang kita miliki, sistem perparitan yang efisien hendaklah dibangunkan dan diselenggara dengan baik. Di kawasan bandar terutamanya, perparitan perlu di selenggara daripada sampah sarap dan dedaun kering yang akan menyebabkan parit menjadi sumbat. Akibatnya, banjir kilat akan berlaku jika hujan turun dengan lebat pada tempoh masa yang lama. Air daripada banjir itu pula boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh di kawasan-kawasan lereng bukit seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa dan Highland Tower. Peristiwa ini seharusnya menjadi teladan kepada masyarakat dan mereka yang bertanggungjawab pada hari ini untuk memastikan ia tidak akan berulang lagi. Intihannya, perparitan dan saliran air yang baik dapat mengelakkan daripada kejadian tanah runtuh berlaku.
Penutup
Konklusinya, terdapat banyak cara untuk mengatasi kejadian tanah runtuh daripada berlaku di mana-mana tempat. Golongan yang bertanggungjawab dalam memastikan kawasan berisiko berlakunya tanah runtuh perlu sentiasa berwaspada dan melaksanakan langkah-angkah seperti yang telah dibincangkan di atas. Sebagai ahli masyarakat pula kita perlu menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa dan melaporkan kepada mereka sekiranya mendapati perkara-perkara yang berlaku di kawasan kita akan menyebabkan tanah runtuh. Semoga segala inisiatif akan dilaksanakan dengan kerjasama yang baik serta strategi yang berkesan dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Sikap ini hendaklah diubah kerana apabila nasi sudah menjadi bubur barulah kita hendak menyesal. Persis pepatah Melayu, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Related : untuk menjaga, untuk menyelamatkan, menyebabkan air, langkah keselamatan, mengundang padah, aliran air, orang ramai, anak anak, hakisan tanah, kawasan cerun, kejadian yang tidak diingini, perlulah meneliti, hujan lebat, tanah runtuh kerajaan, sistem perparitan yang terancang, tanah di lereng bukit