Karangan

Kebaikan Dan Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri

Sering kali, pelajar mempunyai kesukaran apabila ingi menjawab soalan penulisan karangan Bahasa Melayu. Hal ini kerana topik atau tajuk soalan yang diberikan menggunakan tema yang tidak pernah disoal atau pelajar tidak didedahkan. Maka, mulai hari ini, pelajar perlu sentiasa mencari serta melakukan latihan tambahan sebelum menduduki peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri.

Jika ditelusuri, pelbagai aspek dan nilai yang diambil kira dalam pemarkahan yang menentukan tahap penulisan karangan pelajar. Namun, anda digalakkan untuk kerap melakukan latihan penulisan agar tidak melakukan kesalahan lazim seperti penggunaan tatabahasa dan imbuhan yang salah. Selain itu, pelajar juga boleh menambah ungkapan atau frasa yang menarik supaya huraian yang diolah dapat disampaikan dengan lebih tepat dan bermakna.

peta minda faedah mempelajari seni mempertahankan diri Kebaikan Dan Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri

Kepentingan Dan Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri

Isi-isi penting

  • Melindungi keselamatan diri
  • Memberi kecergasan fizikal
  • Mendisiplinkan diri
  • Berpotensi menjadi karier
  • Medium untuk bersosial
  • Menerapkan nilai-nilai murni

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksud

Contoh Karangan Faedah-Faedah Mempelajari Seni Mempertahankan Diri

Pendahuluan

Seni mempertahankan diri adalah satu bentuk gerak badan secara fizikal yang digunakan untuk melindungi diri daripada musuh tanpa senjata. Ia telah wujud sejak bertahun lama dan berbeza mengikut rantau dan elemen budaya serta tradisi masing-masing. Sebagai contoh, di rantau Asia Tenggara terdapat seni silat dan muay thai manakala di rantau Asia Timur terdapat seni teakwondo dan judo. Namun, ledakan teknologi hari ini telah menyebabkan seni ini semakin dilupakan dan tenggelam dek ditelan zaman. Walau bagaimanapun, kadar jenayah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun telah membuatkan sebahagian daripada masyarakat kita sedar dan mula menghantar anak-anak untuk menyertai kelas seni mempertahankan diri. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan faedah-faedah yang mampu diperoleh sekiranya kita mempelajari seni mempertahankan diri.

Isi 1

Faedah utama yang diperoleh apabila kita mempelajari seni mempertahankan diri adalah dapat melindungi diri daripada sebarang ancaman fizikal. Sejak kebelakangan ini, kes-kes jenayah seperti kes penculikan, ragut dan gangguan seksual semakin berleluasa serta menjadi tajuk utama di siaran berita dan dada akhbar. Senario ini telah membuatkan rasa kurang senang masyarakat kerana ancaman jenayah boleh berlaku pada sesiapa sahaja dan bila-bila masa. Maka, dengan mempelajari seni mempertahankan diri, kita dapat mengetahui apakah langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku ancaman terhadap kita. Mentaliti kita juga akan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang betul dan bertindak secara efisien kerana situasi ini hanya dapat dipelajari sekiranya kita mempunyai pengetahuan tentang seni mempertahankan diri. Peribahasa Melayu ada berkata, malang tidak berbau. Justeru, berbekalkan ilmu seni mempertahankan diri, kita mampu menjamin keselamatan diri dan juga orang disekeliling kita.

Isi 2

Selain itu, seni mempertahankan diri dapat memberikan kecergasan fizikal kepada kita. Hal ini demikian kerana, segala latihan dan pembelajaran melibatkan aktiviti fizikal di mana kekuatan kita akan ditumpukan kepada pergerakan yang mampu menewaskan musuh atau ancaman. Tambahan pula, ia dapat membantu membina ketangkasan koordinasi mata dan tangan terutamanya dalam golongan kanak-kanak menerusi pelbagai pergerakan yang dipelajari. Kita juga akan melakukan aktiviti yang melibatkan kardiovaskular seperti berlari dan berjoging kerana ia merupakan asas dalam seni mempertahankan diri. Izharnya, bukan sahaja kekuatan otot dapat dicapai apabila kita menyertai kelas seni bela diri, ia juga dapat memberikan kesihatan fizikal yang baik serta memberikan postur serta berat badan yang ideal sekiranya kita mempraktikkan atau melakukan latihan secara konsisten. Dengan pelbagai masalah kesihatan yang membelunggu masyarakat hari ini, wajar untuk kita mempertimbangkan seni ini sebagai satu wadah untuk mengelakkan daripada terkena sebarang penyakit kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Isi 3

Pada masa yang sama, seni mempertahankan diri dapat membantu kita untuk meningkatkan disiplin diri. Kita boleh perhatikan di mana setiap seni bela diri mementingkan kawalan emosi diri sebelum melakukan apa-apa tindakan. Seperti dalam kehidupan, kita tidak boleh membuat keputusan yang melibatkan emosi kerana ia tidak stabil. Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersikap rasional dan realistik dalam membuat apa-apa keputusan atau tindakan. Nilai ini adalah sangat penting dan mustahak untuk diajar kepada kanak-kanak dimana apabila mereka dewasa, mereka akan lebih bersikap matang dan mampu memberikan hasil yang terbaik. Malahan, seni mempertahankan diri membantu kita untuk menepati masa dengan lebih baik. Situasi ini secara langsung dapat membentuk jati diri seseorang dengan nilai-nilai yang positif dan berguna. Walaupun pada mulanya sukar untuk sesetengah di antara kita berubah tetapi dengan semangat yang kuat, kita mampu mengubah diri kita supaya menjadi lebih baik daripada semalam. Persis kata peribahasa, alah bisa tegal biasa.

Isi 4

Di samping itu, seni mempertahankan diri mampu menjadi profesion di mana sebilangan besar diantaranya telah diiktiraf sebagai sukan. Malahan, seni mempertahankan diri seperti teakwondo, judo dan karate dipertandingkan di peringkat sukan tertinggi dunia iaitu Sukan Olimpik. Peribahasa Melayu berkata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, ibu dan bapa digalakkan untuk menghantar anak-anak yang mungkin berpotensi dan mempunyai bakat terpendam dalam seni mempertahankan diri. Jika diasah dan dilatih dengan betul, mereka mampu menjadi atlet dan bertanding di peringkat dunia seterusnya mengharumkan nama keluarga dan negara. Sebagai contoh, kita telah pun mempunyai seorang atlet yang bertanding di peringkat dunia dalam seni pencak silat iaitu Jufferi Jamari. Beliau juga berjaya mendapatkan pingat emas dalam kategori pencak silat pada Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Kita dapat lihat bahawa seni mempertahankan diri berpotensi menjadi karier seseorang dan membawa nama negara ke persada antarabangsa.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang akan diperoleh sekiranya kita mempelajari seni mempertahankan diri. Masyarakat konvensional harus meluaskan horizon pemikiran dan mula menghargai seni mempertahankan diri terutamanya yang berasal daripada negara kita. Ia adalah merupakan warisan dan tradisi yang tidak ada di tempat lain dan kita merupakan insan yang bertanggungjawab untuk memelihara dan memperkasa seni mempertahankan diri yang lahir daripada nenek dan moyang kita. Alhi masyarakat tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan mengabaikannya. Sebaliknya, setiap pihak khususnya pihak kerajaan dan sekolah wajar memperkasa seni mempertahankan diri dalam kalangan masyarakat hari ini demi mendapat maslahat dan menjadikan negara Malaysia aman, selamat dan sejahtera.