Karangan

Kepentingan Menerapkan Semangat Cinta Akan Negara Dalam Kalangan Rakyat

Antara mata pelajaran yang perlu diambil berat oleh pelajar untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan adalah Bahasa Melayu. Subjek teras ini lazimnya memberikan pelajar ujian dalam bentuk objektif dan juga subjektif bagi menentukan tahap penguasaan pelajar. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menerapkan semangat cinta akan negara dalam kalangan rakyat Malaysia untuk rujukan semua.

Karangan Bahasa Melayu yang bertemakan kenegaraan sering kali menjadi topik kelaziman di dalam peperiksaan. Sebagai pelajar yang bijak, anda boleh memasukkan contoh-contoh daripada mata pelajaran sejarah sebagai penyokong isu yang ingin diutarakan. Selain itu, anda juga digalakkan untuk memberikan idea-idea yang bernas supaya penulisan karangan anda menjadi lebih menarik serta didukung oleh fakta-fakta yang tepat.

peta minda kepentingan menerapkan semangat cinta akan negara Kepentingan Menerapkan Semangat Cinta Akan Negara Dalam Kalangan Rakyat

Semangat Cinta Akan Negara Dan Perpaduan : Kepentingan Kepada Rakyat Malaysia

Isi-isi penting

  • memupuk perpaduan antara kaum dan bangsa
  • membentuk masyarakat yang berdaya saing
  • pemangkin kepada kemajuan negara
  • menjadi teladan kepada generasi muda
  • memelihara sejarah negara
  • mengekalkan tradisi dan budaya tempatan

Baca juga : Cara Sign In Goole Classroom

Contoh Karangan Kepentingan Menerapkan Semangat Cinta Akan Negara

Pendahuluan

Sejak negara kita menikmati arus kemerdekaan daripada penjajahan asing, pelbagai kemajuan yang telah dikecapi. Siapa sangka, negara yang terdiri daripada berbilang kaum mampu untuk mencapai kemerdekaan dan seterusnya melangkah maju ke hadapan bersaing dengan negara membangun yang lain. Namun begitu, kita acapkali tersentak dengan pelbagai permasalahan yang dicetuskan oleh masyarakat kita sendiri yang mempu mengganggu gugat kemakmuran negara kita. Oleh itu, sebagai warganegara yang cinta akan tanah air, kita seharusnya menyemai sifat patriotisme di dalam setiap peringkat umur masyarakat agar kemerdekaan yang dicapai tidak disia-siakan. Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa rambut sama hitam tetapi hati masing-masing lain. Walaupun kita berbeza dari pelbagai sudut, dengan sifat toleransi dan keterbukaan, kita mampu menjadi negara yang bersatu padu dalam mencapai kemajuan sejagat. Mari kita bincangkan kepentingan menerapkan semangat cinta akan negara kepada nusa bangsa.

Isi 1

Umum mengetahui, Malaysia mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India, Orang Asli dan pelbagai lagi golongan bumiputera yang berada di Sabah dan Sarawak. Pada tanggal 16 September 1963, Persekutuan Malaysia telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman menjadi bukti penyatuan rakyat yang berbilang bangsa, kaum dan agama ini. Justeru itu, dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan negara, semangat cinta akan negara mampu menjadi penyumbang perpaduan antara masyarakat tempatan. Dengan iltizam dan semangat yang dikongsi bersama iaitu memajukan negara dan memartabatkan masyarakat di persada anatarabangsa, ia dapat melahirkan sebuah negara yang berwibawa. Persis kata mutiara, bersatu teguh, bercerai roboh. Anggota masyarakat pada hari ini seharusnya bersikap inteligensia dan terbuka dalam meraikan perbezaan serta mencari kesatuan dalam setiap situasi yang dihadapi oleh kita. Janganlah kita bersikap seperti gajah berjuang sama gajah, palanduk mati di tengah-tengah. Nescaya perjuangan yang memecah-belahkan perpaduan akan merugikan kita.

Isi 2

Di samping itu, semangat cinta akan negara juga dapat membentuk masyarakat yang berdaya saing. Konsep ini kita dapat lihat di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan. Kita dapat lihat bahawa masyarakat di negara tersebut memartabatkan negara mereka dengan mengetengahkan elemen lokal atau tempatan dengan jayanya. Sebagai contoh penggunaan bahasa tempatan mereka dan pemerkasaan teknologi tempatan diberikan tumpuan yang lebih berbanding elemen asing. Misalnya, jenama automotif negara Jepun, Honda yang terkenal di seantero dunia dengan produk dan kemampuan mereka. Kita sebenarnya sudahpun mempunyai jenama yang berjaya diperingkat antarabangsa seperti Petronas tetapi kita perlu lebih banyak lagi jenama atau industri tempatan yang bersaing di peringkat antarabangsa. Berbekalkan semangat cinta akan negara, mungkin pada satu hari nanti jenama Proton akan menjadi salah satu jenama automotif yang terkenal di dunia. Ia bergantung kepada kehendak dan kemampuan tenaga professional tempatan sama ada untuk maju ke peringkat lebih tinggi atau kekal di takuk yang sama.

Isi 3

Pada sudut pandang yang lain, semangat cinta akan negara adalah penting bagi mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat tanah air kita. Dewasa ini, generasi muda kita lebih terdedah dan terpengaruh dengan anasir dari negara luar sehingga melupakan tradisi dan budaya yang kita miliki. Keunikan seni budaya tempatan semakin dilupakan dan pengamalnya mencari-cari pengganti yang akan mewarisi budaya atau tradisi tempatan ini. Jika tidak dijumpai maka, ia akan pupus dan hilang dek ditelan kealpaan masyarakat kita menghargai dan memelihara keunikan nenek dan moyang kita yang terdahulu. Kemodenan hari ini merupakan cabaran yang perlu kita tempuh tetapi ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita melupakan tradisi dan budaya kita. Bak kata pepatah Melayu, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Mungkin generasi hari ini perlu menyelami budaya dan tradisi yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu supaya muncul kembali perasaan atau semangat cinta akan negara.

Isi 4

Semangat cinta akan negara juga penting supaya menjadi teladan kepada generasi akan datang dalam mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara. Terdapat segelintir daripada masyarakat kita yang intelek dan menyambung pelajaran ke luar negara. Seterusnya mereka menetap di sana dan menjadi tenaga kerja professional di sana. Hal ini tidak menjadi isu yang besar tetapi alangkah baiknya jika kemampuan mereka dugunakan untuk manfaat masyarakat tempatan. Situasi ini perlu diberi perhatian oleh golongan pemimpin negara dan pembuat polisi dalam memastikan setiap ahli masyarakat kita mempunyai peluang dalam kerjaya serta pendidikan. Dengan mengutamakan dua agenda ini, negara kita pasti dapat menghasilkan tenaga kerja professional tempatan yang akan melonjakkan ekonomi dan status negara kita. Namun disebabkan kurangnya peluang dan lebih banyak manfaat yang ditawarkan di negara luar, maka ramai ahli masyarakat yang berkhidmat di negara asing. Sebagai pengajaran kepada generasi muda, pihak berwwajib harus mencari solusi terbaik dalam menerapkan semangat cinta akan negara kepada semua rakyat di negara ini dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Penutup

Konklusinya,  pelbagai kepentingan yang dapat kita bincangkan terhadap topik semangat cinta akan negara. Perkara ini adalah mustahak dalam menjamin kebolehan sesebuah negara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Janganlah kita bersikap terlalu meraikan kehadiran pelabur atau pendatang asing tanpa memastikan masyarakat di negara kita mendapat manfaat yang terbaik yang boleh diberikan oleh negara kita sendiri. Persis kata peribahasa Melayu, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Oleh yang demikian, setiap di antara kita perlu memanifestasikan fikiran dalam mencari mekanisma terbaik untuk memajukan negara di samping mengangkat elemen-elemen tempatan yang dimiliki oleh kita. Kekitaan yang kita tunjukkan mampu menjadi ejen penyatuan masyarakat dunia yang kerap kali dicabar dengan perang saudara atau kuasa di mana pengakhirannya hanyalah merugikan tamadun manusia.

Related : sesungguhnya anasir luar wujudnya semangat cinta mempunyai semangat patriotisme memupuk semangat patriotik negara akan terus aman rakyat malaysia tidak mempunyai negara kita pada masa memupuk dan mengekalkan semangat kalangan rakyat pasti negara semangat patriotisme dalam kalangan semangat patriotik semakin luntur mengekalkan semangat cinta kalangan masyarakat di negara luntur dalam kalangan masyarakat untuk memupuk dan mengekalkan menerapkan semangat patriotisme