Nota

Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema Dan Persoalan

Sebelum menghadapi peperiksaan, pelajar lazimnya akan merujuk nota ringkas yang berkaitan dengan mata pelajaran yang bakal diduduki pada hari yang terdekat. Hal ini kerana nota ringkas dapat membantu pelajar memperingati perkara-perkara penting terhadap sesuatu subjek tersebut. Oleh itu, bagi pelajar yang mencari nota komponen sastera Bahasa Melayu, berikut dikongsikan nota Sajak Sejadah Rindu : Maksud, Tema Dan Persoalan sebagai panduan untuk semua.

Untuk pengetahuan semua, sajak ini merupakan hasil penulisan Mohd. Haikal Bin Aminuddin yang merupakan anak kelahiran Negeri Perlis. Penulis merupakan seorang guru dalam bidang Bahasa Melayu selepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di IPG kampus Perlis. Beliau merupakan mantan peserta Minggu Penulisan Remaja (MPR) pada tahun 2011 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara karya penulisan beliau yang lain adalah puisi ” Embun Bahasa” (2010), “Khusyuk” dan ” Keluhan Sang Hijau”

Analisis Lengkap Sajak Sejadah Rindu

Di bawah dikongsikan info berkaitan Sajak diatas meliputi Maksud, Tema , Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai Murni dan Pengajaran sebagai rujukan kepada pelajar SPM khususnya. Anda juga boleh merujuk gaya bahasa, nilai dan pengajaran yang diperoleh daripada sajak tersebut.

Maksud Sajak

Berikut adalah maksud-maksud Sajak mengikut rangkap:

Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

Maksud Rangkap 1: Penyajak termenung sewaktu berada di atas sejadah. Beliau mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha Agung. Dalam bermunajat timbul segala kesilapan dan kesalahan yang pernah penyajak lakukan. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu hingga menyentuh hatinya dan menjadikan dia menginsafi akan dosa-dosanya yang lalu.

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
Kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Maksud Rangkap 2: Dengan rasa rendah diri, penyajak memohon kepada Tuhan agar diberi keampunan sebelum beliau meninggal dunia seperti yang telah ditetapkan oleh Tuhan. Penyajak merayu agar Tuhan menunjukkan dia jalan ke arah kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya yang ada sebagai manusia biasa.

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Maksud Rangkap 3: Penyajak menangis mengenangkan dosa-dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Dengan iringan air mata dan hati yang ikhlas sebagai bukti, penyajak sujud dan melafazkan taubat dalam keadaan yang hening/ sunyi dan sepi.

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Maksud Rangkap 4: Penyajak berasa sedih dan jiwanya tersentuh dengan ayat-ayat cinta kepada Tuhan yang disusun dengan rapi sewaktu memohon keampunan kepada Tuhan serta berasa amat gemuruh. Penyajak memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Maksud Rangkap 5: Di rangkap terakhir penyajak mengharapkan kepada Tuhan agar beliau menjadi hamba yang taat kepada perintahNya sepanjang hayat. Penyajak juga berharap agar beliau tidak leka dengan kehidupan di dunia yang bersifat sementara

Tema

Sajak ini bertemakan keinsafan dan ketaatan kepada agama. Ia boleh dilihat apabila penyajak berdoa dan meminta keampunan daripada Tuhan di atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya sebelum ini. Penyajak bertaubat dan memohon agar Tuhan menunjukkannya jalan yang benar.

Persoalan

Sajak ini juga mempunyai banyak persoalan yang ditimbulkan, antaranya adalah:

  1. Persoalan keinsafan ke atas dosa-dosa lalu
    • Contoh: Merekah keinsafan di hati yang beku, Mengenang dosaku yang terdahulu.
  2. Persoalan memohon keampunan daripada Tuhan sebelum meninggal dunia
    • Contoh: Moga terbuka ruang keampunan, Sebelum saat aku di nisankan.
  3. Persoalan keikhlasan dalam memohon keampunan kepada Tuhan
    • Contoh: Air mata menjadi saksi, keikhlasan menjadi bukti, akhirnya, aku sujud menghadap Ilahi
  4. Persoalan dunia hanya bersifat sementara
    • Contoh: Agar aku tidak lupa, Dunia hanya bersifat sementara

Gaya Bahasa

Terdapat beberapa gaya bahasa yang digunakan oleh penyajak seperti berikut:

  1. Inversi – susunan ayat terbalik : Contohnya, “Terkedu aku, moga terbuka ruang keampunan”
  2. Personafikasi – unsur perorangan: Contohnya, “air mata menjadi saksi”
  3. Metafora – perbandingan: Contohnya, “sejadah rindu, nafas kehidupan”
  4. Bahasa Asing: Contohnya, “kalimah, Ilahi, taubat”
  5. Pengulangan kata : Contohnya, “Buktinya, di sejadah rindu, di masa yang Kautetapkan”
  6. Sinkope – pemendekkan satu kata: Contohnya, “Buktinya, mengenang dosaku yang terdahulu”
  7. Responsi – pengulangan di tengah baris atau ayat: Contohnya, “Buktinya, izinkan aku menjadi manusia, agar aku tidak lupa”

Nilai Murni

Di bawah adalah nilai-nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut:

  1. keinsafan
  2. keikhlasan
  3. kejujuran
  4. ketaatan kepada Tuhan
  5. kegigihan
  6. bersyukur

Pengajaran

Antara pengajaran yang diperoleh daripada Sajak ini adalah:

  1. Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri supaya menginsafi setiap kesilapan atau kesalahan yang dilakukan secara segaja atau tidak sengaja
  2. Kita mestilah taat akan didikan agama dan mengamalkan ajaran agama dengan penuh ketakwaan.
  3. Kita hendaklah sentiasa mengakui kesalahan diri dan meminta ampun daripada Tuhan yang Maha Esa
  4. Kita mestilah sedar bahawa dunia bersifat sementara dan bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi
  5. Kita sewajarnya  berfikiran matang dan rasional dalam tindakan terutamanya sewaktu usia semakin tua.

Semoga perkongsian di atas ini memberikan nota yang berguna kepada semua.

Related : menitiskan air mata berputus asa untuk taat kepada pencipta hati penyajak mendapatkan keampunan dosa yang telah dilakukannya, penuh keikhlasan penyajak bertaubat dengan penuh untuk mendapatkan keinsafan penyajak, perintah tuhan, bersungguh sungguh