Nota
Sajak Kudup Perang : Maksud, Tema, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai & Pengajaran
Komponen Sastera Bahasa Melayu merangkumi pembelajaran sastera seperti sajak, puisi dan juga novel. Hasil penulisan daripada pengkarya yang dipilih oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka akan menjadi bahan pembelajaran kepada pelajar untuk menguasai Bahasa Melayu. Berikut dikongsikan nota berkaitan Sajak Kudup Perang : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran sebagai rujukan untuk pelajar.
Lazimnya, pelajar akan diuji untuk memberikan maksud kepada sesebuah karya sastera tersebut sama ada pelajar memahami atau tidak. Selain itu, pelajar juga perlu menyatakan tema, persoalan yang timbul, gaya bahasa yang digunakan serta nilai dan pengajaran yang diperoleh daripada hasil penulisan sastera tersebut.
Analisis Lengkap Sajak Kudup Perang
Berikut dikongsikan maklumat berkaitan meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk rujukan semua.
Maksud Sajak
Sementara dia bergelar panglima
laskar perang; yang terus-menerus
membajakan kezaliman – sering
mengudupkan putik dendam
kita masih perlu berterima kasih
kepada jari-jemari takdir
kerana membenarkan sepasang mata
untuk berlari dengan tangan bergari
sempat juga menadah sejambak puisi
untuk sehari lagi; sambil bertanya;
siapakah pahlawan yang asli?
Maksud Rangkap 1: Penulis sajak menyatakan bahawa pemimpin perang yang sedang berkuasa akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam. Walau bagaimanapun, mereka masih bersyukur kerana berpeluang menikmati kehidupan sambil mencari-cari pahlawan sejati.
Memang kita tidak sempat menjenguk
ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus
ringkik kuda, gemerincing
pedang pusaka
dan darah yang tiba-tiba membuak
di daerah angkara – perciknya
menumbuhkan kelopak rahsia
dalam keliru, tertanya-tanya kita
tangan mana yang memenggal
leher sang pendusta?
Maksud Rangkap 2: Kita yang hidup pada zaman ini tidak berpeluang menjadi saksi pertelingkahan antara mereka. Pelbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berwibawa untuk mencipta sejarah.
Andai namamu Tuah, kita masih
tidak mahu
menyanjungnya pendekar paling gagah
kerana takhta setia terbina
di istana wangsa
bukanlah penjamin kukuhnya
pasak saksama
sesekali turut direntakan daki pendusta
melekatlah selumbar sengsara
di tiang maruah kota
Maksud Rangkap 3: Pada rangkap ini penyajak tidak mahu menganggap tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan yang berlaku sehingga membiarkan kesengsaraan berlaku di kota.
Andai namamu Jebat, kita masih tidak
menggelarnya sebagai pengkhianat
kerana kita masih menangisi
peta keadilan yang tersirat – nun, karam
di lautan kesumat
sedang warga memanggilnya keramat
Maksud Rangkap 4: Selain itu, penyajak juga tidak menganggap Jebat sebagai pengkhianat kerana dia masih mengingati perjuangan Jebat mempertahankan keadilan. Namun begitu, pengikut Jebat telah beranggapan bahawa Jebatlah pemimpin yang sebenar.
Perang pun melecurkan lidah muslihat
bercabang lalu bertemu bayu palsu;
bertiup dan memindahkan kebenaran pada tempatnya
mewarnakan keindahan pada hodohnya
menjungkitkan amarah pada damainya
teramat lara kita menjahit semula
perca-perca bahagia – seperti perawan
yang dibungkamkan cinta pertama.
Maksud Rangkap 5: Penyajak menginsafi bahawa peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran serta membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai. Oleh itu, usaha untuk membangunkan negara amatlah sukar.
Sehingga senja tiba,
kita masih bertengkar
tentang siapa
pahlawan sebenarnya.
Maksud Rangkap 6: Pada rangkap terakhir, sehingga kini masyarakat masih bertengkar untuk menentukan atau pemimpin sebenar yang benar-benar memiliki ketokohan untuk menerajui sesebuah organisasi
Tema
Sajak ini membawakan tema kepentingan tokoh yang berwibawa dalam menjadi pemimpin sebuah organisasi. Pemimpin pada masa ini memutar belitkan kata-kata demi menjaga kepentingan sendiri sahaja dan tidak bersikap saksama.
Persoalan
Di bawah adalah persoalan yang ditimbulkan dalam sajak di atas:
- Persoalan kemampuan dan kewibawaan pemimpin
- Contoh: Pelbagai kekeliruan tentang kepahlawanan sebenar menyebabkan manusia tertanta-tanya tentang pemimpin sebenar yang benar-benar berkewibawaan mencipta sejarah
- Persoalan keadilan dan kesaksamaan yang mudah tergugat
- Contoh: Pemimpin perang yang sedang berkuasa akan sentiasa membuat kezaliman dan menyimpan perasaan dendam
- Persoalan mementingkan diri dalam kalangan pemimpin
- Contoh: Tuah sebagai pendekar paling gagah kerana kesetiaan Tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap istana. Oleh itu, Tuah tidak akan bersikap saksama walaupun adanya pendustaan sehingga sanggup membiarkan kesengsaraan berlaku di kota
- Persoalan peperangan yang merugikan kehidupan
- Contoh: Peperangan penuh dengan muslihat dan berita palsu yang menghapuskan kebenaran dan membenarkan yang salah. Perang juga membangkitkan keganasan dalam kehidupan yang damai.
Gaya Bahasa
Terdapat pelbagai gaya bahasa yang diketengahkan dalam sajak di atas seperti:
- Personafikasi : membajakan kezaliman – sering mengudupkan putik dendam
- Simile : perca-perca bahagia – seperti perawan
- Metafora : mengudupkan putik dendam, kepada jari-jemari takdir, menumbuhkan kelopak rahsia
- Hiperbola
- Sinkope : andai namamu Tuah, kita masih/ andai namamu Jebat, kita masih tidak
- Responsi : mewarnakan keindahan pada hodohnya/ menjungkitkan amarah pada damainya
- Imejan atau imej alam : ke luar jendela; sewaktu fajar menghembus, ringkik kuda, gemerincing
Nilai
Berikut adalah nilai-nilai dalam penulisan dalam sajak ini:
- Keadilan
- Kebijaksanaan
- Bertanggungjawab
- Amanah
- Rasional
- Keberanian
Pengajaran
- Kita mestilah bersikap amanah dalam menjalankan tanggungjawab terutamanya sebagai seorang pemimpin.
- Kita hendaklah bersifat adil dan saksama dalam menjalankan tugas agar setiap orang dapat manfaat bersama yang menguntungkan semua.
- Kita seharusnya berani untuk menyoal pemimpin dan memilih pemimpin yang berwibawa dan layak untuk mengemudi sesebuah organisasi
- Kita sewajarnya mengamalkan sifat rasional dalam membuat keputusan yang melibatkan pelbagai pemegang taruh
- Kita hendaklah berusaha membina negara selepas peperangan berlaku.
Sekian sahaja nota berkenaan Sajak meliputi Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran. Diharapkan ia membantu pelajar dalam membuat ulang kaji pelajaran komponen sastera Bahasa Melayu.