Nota
Sajak Erti Hidup Bererti : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran
Komponen Sastera yang juga dikenali sebagai (Komsas) adalah antara komponen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang akan diuji terhadap pengetahuan pelajar. Bagi menilai kemampuan pelajar dalam penguasaan Bahasa Melayu pelajar perlu mengetahui maksud tersirat dan tersurat dalam sesebuah karya kesusasteraan. Berikut dikongsikan nota Sajak Erti Hidup Bererti : Maksud, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk rujukan semua.
Untuk makluman, Sajak ini merupakan karya penulisan Teo Wei Sing. Beliau merupakan seorang penyajak berbangsa Cina yang berasal dari Kuantan Pahang. Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Malaysia) ini pernah menyandang jawatan pensyarah di Kolej Taylor’s Petaling Jaya. Beliau juga menghasilkan karya kesusasteraan lain seperti Benang Tiga Selembar dan Hanya Satu.
Isi Kandungan
Analisis Lengkap Sajak Erti Hidup Bererti
Di bawah adalah nota berkaitan meliputi Maksud Rangkap, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran untuk panduan semua. Semoga ia membantu pelajar dalam mengulangkaji dan membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan.
Baca juga: Senarai Pembiayaan Pendidikan/ Biasiswa Malaysia Terkini
Maksud Sajak
Rangkap 1
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan dayang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi
Maksudnya :
Penulis menyatakan bahawa fikirannya sering dihimbau oleh nasib malang yang menimpa hidupnya dan tidak pernah berubah. Dan mengeluh tentang kesunyiannya pada usia tua
Rangkap 2
Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.
Maksudnya :
Penyajak seterusnya menyatakan kebahagiaan hidup yang diimpikan hanya angan-angan sahaja. anak-anaknya telah melupakan dirinya dan tidak sanggup untuk menjaganya. Penulis mencari kehidupan sendiri dan menanggung penderitaan hidup tanpa sebarang tempat untuk bergantung
Rangkap 3
Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.
Maksudnya :
Penulis berkata dirinya tidak bermakna apa apa lagi dan berharap agar anak-anaknya insaf akan kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Penyajak berharap agar hidup dengan berkasih sayang menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini. Kita sebagai manusia jangan leka kerana dalam putaran hidup akan ada yang hidup dan mati kecuali Tuhan yang kekal.
Tema
Sajak ini bertemakan kesunyian hidup yang dilalui oleh golongan warga tua. Penyajak berasa sunyi dalam hidupnya kerana anak-anak telah melupakan kasih sayangnya. Anak-anak tidak mengendahkan dan mengambil tanggungjawab menjaganya. Jauh di sudut hatinya masih mengharapkan anak-anaknya akan insaf.
Persoalan
Berikut adalah persoalan yang tersirat dalam sajak ini:
- Kasih sayang seorang ibu atau bapa : ibu yang mengandungkan dan menjaga anak-anaknya semasa kecil
- Kebahagiaan hidup ialah impian semua orang : harapan seorang ibu agar anak-anak dapat memberikan kebahagiaan pada hari tuanya
- Berbakti kepada ibu : anak-anak yang mengabaikan ibu di kampung setelah mereka dewasa
- Kekuasaan Tuhan : ada yang mati, ada yang hidup, tiada yang kekal kecuali Tuhan
Bentuk sajak
- Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap
- Bilangan baris dalam setiap rangkap tidak sama
- Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama
- Bilangan suku katanya antara empat hingga tiga belas suku kata
- Rima akhirnya tidak sama
- Sajak ini berbentuk bebas dan tidak terikat
Gaya Bahasa
Terdapat beberapa gaya bahasa yang digunakan di dalam sajak seperti di bawah:
- Metafora – keheningan tasik, kehijauan rumput, benih keinsafan
- Responsi – dari sulung ditendang ke bongsu
- Anafora – dari angah ditendang ke sulung balik
- Sinkope – yang melingkari leherku
- Simile – bagai kalung
- Personafikasi – malam sepi, semoga disirami benih keinsafan
Nilai
- Kasih Sayang
- kasih dan sayang warga tua atau ibu bapa terhadap anak-anak tetap utuh walaupun anaknya itu melupakannya
- Ketabahan
- tabah mengharungi kehidupan seorang diri dan kesunyian tanpa dihiraukan oleh anak-anak
- Keinsafan
- penyajak sedar dan insaf yang kekal hanyalah Tuhan
- Bertanggungjawab
- tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa yang dilupakan
Pengajaran
- Kita seharusnya menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan menjaga ibu dan bapa kita sehingga akhir hayat mereka.
- Kita hendaklah bersikap kasih dan sayang terhadap ahli keluarga dan mendoakan kesejahteraan mereka.
- Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri
- Kita haruslah berdikari dalam hidup supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain walaupun sewaktu usia tua.
- Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa diri dan cekal dalam mencari solusi atau penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Diharapkan perkongsian Sajak di atas memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar dalam menjawab soalan peperiksaan.
Related : orang lain walaupun sewaktu tua, anak anak kandungnya, ibu bapa malah sentiasa, mestilah berdikari sewaktu hidup, sentiasa mendoakan kesejahteraan, taat kepada ibu bapa, ibu bapa sehingga hari