Karangan

Punca-Punca Pencemaran Sungai (Contoh Karangan)

Pelajar lazimnya menggunakan isi-isi penting yang sama seperti yang diberikan oleh guru atau buku rujukan. Bagi menambah unsur menarik dalam penulisan karangan anda, isi-isi penting yang diberikan hendaklah berbeza dan menepati kehendak soalan. Pelajar boleh membaca rujukan secara atas talian bagi melihat contoh-contoh karangan lain yang berkaitan. Di bawah dikongsikan contoh karangan punca-punca pencemaran sungai, kenapa ianya boleh terjadi untuk rujukan.

Sungai merupakan punca kehidupan manusia pada zaman dahulu. Namun, setelah mengecapi kemajuan pembangunan dan teknologi, sungai semakin dilupakan malah dicemari tanpa sebarang rasa serba salah. Pelbagai kesan yang merugikan kita akan berlaku walaupun sungai tidak lagi menjadi sumber kehidupan masyarakat hari ini. Maka, mustahak untuk kita mengetahui punca-punca berlakunya masalah ini supaya solusi yang terbaik dapat direncana.

peta minda punca berlaku pencemaran sungai Punca-Punca Pencemaran Sungai (Contoh Karangan)

Punca-Punca Berlakunya Pencemaran Air Sungai

Isi-isi penting

  • Pembuangan sampah sarap
  • Pembuangan sisa-sisa kimia daripada kilang
  • Aktiviti pembalakan yang mengakibatkan hakisan tanah
  • Aktiviti pertanian menggunakan bahan kimia yang berlebihan
  • Pengurusan air kumbahan yang gagal diurus
  • Melepaskan spesis haiwan yang tidak sepatutnya

Baca juga: Contoh Karangan Cara Mnegelakkan Tabiat Buang Sampah Merata-Rata

Contoh Karangan Punca-Punca Pencemaran Sungai Yang Memberi Kesan Kepada Alam Sekitar

Pendahuluan

Sejak mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun yang lalu, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang pesat membangun dari setiap sudut sosioekonomi. Pembinaan bangunan pencakar langit dan kilang-kilang telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan industri negara. Namun begitu, pelbagai implikasi yang berlaku akibat terlalu mengejar urbanisasi sehingga berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis tandusnya pertimbangan manusia terhadap khazanah alam. Sungguh pun negara kita dikurniakan sumber alam yang banyak, ia tidak memberikan kita peluang untuk mengendahkan pemeliharaannya demi maslahat bersama. Antara pencemaran yang kerap berlaku dalam negara kita adalah pencemaran sungai. Justeru itu, wajar untuk kita kupas apakah punca-punca berlakunya masalah yang kian kritikal ini di Malaysia sehingga menjejas kesihatan masyarakat umum?

Isi 1

Punca utama yang dapat dilihat secara zahir adalah berlakunya pembuangan sampah sarap oleh individu yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai. Marcapada ini masih terdapat individu samada secara sendiri atau menurut arahan orang atasan mereka untuk membuang sampah yang dihasilkan ke sungai-sungai yang berdekatan. Sehinggakan terdapat agensi swasta dari negara luar yang melancarkan kapal automasi pengutip sampah sepanjang Sungai Klang demi mengatasi pencemaran yang telah lama membarah di kawasan tersebut. Apabila disiasat, ramai individu yang membuang sampah sarap pada waktu malam di kawasan yang tidak dilihat oleh masyarakat keliling demi mengelak daripada ditangkap oleh penguatkuasa. Kemusyikilan timbul kerana setiap kawasan mempunyai agensi atau syarikat yang menguruskan sampah sarap tetapi masih terdapat golongan yang besar kepala dan tidak mengambil berat tentang kesan pembuangan sampah kepada alam sekitar. Intihannya, masyarakat perlu sentiasa diberi didikan dan peringatan supaya kesedaran terhadap perilaku yang salah akan timbul dan menghalang mereka dariapda melakukannya.

Isi 2

Pada masa yang sama, pencemaran juga berlaku akibat daripada pembuangan sisa-sisa kimia daripada kilang-kilang berdekatan tanpa sebarang tapisan. Situasi ini telah pun berlaku di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang dimana pembuangan sisa toksik dalam sungai terbabit bukan sahaja mencemarkan sungai malah mencemarkan udara serta mengancam kesihatan masyarakat sekeliling. Pembuangan sisa-sisa kimia memerlukan kaedah yang betul dan menggunakan kos. Disebabkan pengusaha kilang-kilang ini mengejar keuntungan dan ingin menjimatkan kos, mereka sanggup menggadaikan sumber alam iaitu sungai. Jalan mudah yang diambil oleh individu yang tidak bertanggungjawab ini akan menyebabkan hidupan akuatik dalam sungai mati, seterusnya mengancam sumber air mentah di kawasan keliling. Oleh itu, pihak berkuasa seharusnya komited dalam menjalankan tugas dengan penuh intergriti bagi mengekalkan kebersihan sungai-sungai di dalam negara ini. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga harus dielakkan kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat untuk perkembangan masyarakat. Tegasnya, melepaskan sisa-sisa kilang ke sungai adalah kesalahan yang menyebabkan pencemaran tidak terkawal berlaku.

Isi 3

Jika dilihat pada sudut yang berlainan, pencemaran air bukan sahaja berlaku di kawasan penempatan manusia tetapi juga berlaku di kawasan yang melakukan aktiviti pertanian. Kita sedia maklum bahawa aktiviti pertanian memerlukan bekalan dan sumber air yang cukup dan berdekatan bagi mengurangkan kos pengusaha tani. Namun begitu, terdapat aktiviti pertanian seperti membaja terlalu banyak sehingga menyebabkan bahan kimia tersebut mengalir ke sungai berdekatan dan mencemarinya. Sebetulnya, teknik pembajaan hendaklah pada kadar sedehana dan memastikan ia dapat diserap ke dalam tanah serta tidak mengalir ke dalam sungai sekiranya berlaku hujan. Situasi ini berlaku kerana pengusaha tani kebanyakannya mengupah buruh warga asing yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mahupun pendidikan berkenaan pertanian dan mereka hanya mengikut arahan yang diberikan oleh ketua atau mando yang menjaga ladang tersebut. Maka, pemilik ladang dan pengusaha tani perlu bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti pertanian masing-masing dan memantau pekerja kerana hanya jauhari yang mengenal manikam.

Isi 4

Di samping itu, aktiviti pembalakan juga antara punca berlakunya pencemaran di negara yang kita cintai ini. Kegiatan pembalakan yang semakin hari semakin rancak tanpa sebarang tanda untuk berhenti bakal mengancam khazanah alam yang kita miliki. Pembalakan pokok-pokok untuk tujuan pembangunan dan industri pembuatan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dan masuk ke dalam sungai. Seterusnya, kehidupan akuatik dalam sungai akan terancam kerana telah ditelenggami dengan tanah-tanih daripada aktiviti pembalakan yang berdekatan. Selain daripada pencemaran, aktiviti pembalakan yang berleluasa juga mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat berlaku. Itulah kesan apabila kita memusnahkan kejadian alam tanpa memikirkan akibatnya kerana kelak bencana alam yang akan menimpa kita. Ibarat sudah terhantuk baru terngadah, Izharnya, aktiviti pembalakan harus dipantau dan dikurangkan kerana pelbagai alternatif lain boleh diusahakan bagi tujuan pembangunan dan industri pembuatan. Semoga dengan inisiatif tersebut masalah pencemaran dapat dikurangkan dan memelihara khazanah alam yang kita miliki.

Penutup

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai punca yang menyebabkan masalah pencemaran ini berlaku. Masyarakat harus sedar bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah mustahak kerana kesannya telah pun dirasai pada hari ini. Pemanasan global dan kenaikan paras air laut merupakan bencana alam yang semakin mengancam ekosistem dan juga pembangunan manusia. Pemimpin dunia seharusnya merencana kemajuan yang mengutamakan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta menukar sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada sumber tenaga boleh diperbaharui. Berbekalkan tenaga professional yang cekap dan teknologi yang tiada batasan hari ini, pastinya sebuah mekanisme dapat digunakan bagi memastikan pencemaran dapat dikurangkan serta menjamin kemajuan manusia sejagat.

Related : menjadi punca sungai gong lra sungai selangor beliau berkata pencemaran bau loji rawatan air lra sungai, jabatan alam sekitar jas kuala lumpur bekalan air