Karangan
Contoh Karangan Punca Pencemaran Alam Sekitar
Sebagai pelajar, anda perlu sentiasa menambah pengetahuan am dan mengambil tahu akan isu-isu terkini tidak kira secara domestik ataupun global. Hal ini akan membantu pelajar dalam menjawab soalan yang mencabar pengetahuan pelajar apabila menduduki ujian di sekolah. Maka berikut merupakan contoh karangan mengenai punca-punca pencemaran alam sekitar yang boleh dijadikan rujukan kepada para pelajar.
Pelajar bebas untuk menghuraikan isi-isi yang dikongsi mengikut kemahiran fikiran kratif dan kritis masing-masing. Seterusnya, bimbingan nasihat daripada guru-guru juga mustahak agar penulisan karangan pelajar menepati soalan dan dapat mencapai markah yang baik. Pemberian idea atau isi-isi yang bernas dapat membantu pelajar dalam menulis karangan bahasa Melayu yang cemerlang disamping penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat.
Isi Kandungan
Punca Berlakunya Pencemaran Alam Sekitar
Isi-isi penting
- sikap tidak bertanggungjawab individu dan organisasi
- penguatkuasaan undang-undang yang lemah
- dasar atau polisi kerajaan yang lemah
- penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui
- pembuangan sisa industri dan pertanian yang tidak dikawal
- pembakaran terbuka
Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu
Contoh Karangan Punca-Punca Pencemaran Alam Sekitar
Pendahuluan
Dalam meniti kerancakan arus pemodenan pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda ini telah membuatkan kita alpa akan tanggungjawab kita menghargai serta memelihara keindahan alam semula jadi. Dewasa ini, kita boleh lihat hampir setiap hari buletin di televisyen menyiarkan bencana-bencana alam yang menimpa manusia tidak kira di dalam mahupun luar negara. Jadi adakah kita sedar bahawa sebahagian daripada musibah ini berpunca daripada kegagalan kita menjaga habitat alam yang kita diami bertahun-tahun lamanya. Alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia. Oleh itu, rasionalnya untuk kita mengupas apakah dalang yang menyebabkan pencemaran ini berlaku dan menjadi semakin berleluasa mutakhir ini.
Isi 1
Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah sikap tidak bertanggungjawab individu mahupun sesebuah organisasi dalam pencemaran. Sebagai contoh, aktiviti ekonomi seperti pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah kawasan tersebut perlu dipelihara. Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa ada tindakan pemuliharaan seperti penanaman semula pokok telah menyebabkan flora dan fauna kehilangan habitat mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat kerana ketiadaan pokok-pokok yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan tanah di kawasan tersebut. Justeru, kekayaan yang kian mengaburi mata-mata orang yang tidak prihatin akan alam semula jadi ini harus dibukakan mata dan ditunjukkan kesan dan akibat sekiranya pencemaran ini berlaku dan meniggalkan kesan terhadap diri mereka sendiri.
Isi 2
Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga antara punca berlakunya pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari ini. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang dan pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar dan mengendahkan kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu dipersoalkan lantaran kes-kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam. Hal ini berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang menawarkan wang haram tersebut hanya kerana ingin melepaskan diri daripada tindakan undang-undang. Pihak kerajaan sewajarnya lebih menumpukan perhatian dalam bab kebajikan pegawai-pegawai yang bertugas menegakkan kedaulatan undang-undang negara.
Isi 3
Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang menyebabkan pencemaran ini adalah kelonggaran dasar atau polisi kerajaan dalam kepentingan alam sekitar. Kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih berlaku secara berleluasa. Bak kata peribahasa Melayu, seperti melepaskan batuk ditangga yang bermaksud perlakuan kerja yang dilakukan secara sambil lewa. Jikalau kita lihat, kepupusan haiwan semakin menjadi-jadi, pembangunan secara lestari tidak dilaksana sehinggakan berlaku pencemaran yang memakan diri. Misalnya, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana kawasan perindustrian dibina hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah dan pencemaran udara yang teruk telah melanda dan mengakibatkan sekolah ditutup dan kanak-kanak dihantar ke hospital. Harapan yang tinggi untuk pihak kerajaan hari ini mengutamakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di samping memacu ekonomi negara ke arah kegemilangan.
Isi 4
Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah penggunaan sumber tenaga yang mencemarkan alam seperti diesel dan bahan bakar yang lain. Faktor perindustrian dan pengangkutan yang bergantung pada bahan bakar petrol dan diesel menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal secara berlebihan telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini. Kita boleh melihat contoh di negara Norway yang menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun yang berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui. Mereka memberi pengecualian cukai dan kemudahan parkir untuk pengguna kenderaan tersebut sekaligus mengurangkan pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan memanfaatkan sumber tenaga yang berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan teknologi dan sistem yang mesra alam perlulah digalakkan agar kita dapat bersama-sama mencegah pencemaran ini daripada terus berleluasa.
Penutup
Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam punca pencemaran ini terjadi. Masyarakat dengan kerjasama media massa harus meningkatkan tahap kesedaran sivik orang-orang sekeliling kita tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah yang proaktif persis mutiara kata, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi dengan berkesan. Setiap individu hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan memanifestasikan fikiran dan membuat inteprestasi masing-masing dalam kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi akan datang. Semoga mereka dapat merasai keindahan alam semula jadi secara langsung dan tidak hanya melihat video atau bentuk digital keunikan flora dan fauna yang kita miliki hari ini.
Related : bahan kimia sisa toksik melepaskan asap membuang sampah kesan rumah hijau jalan raya kesihatan manusia menyebabkan berlakunya salah satu pencemaran bunyi kualiti air, memainkan peranan, jabatan alam pencemaran tanah penting untuk memberi kesan suhu bumi membuang sisa