Nota

Prosa Burung Terbang Dipipiskan Lada : Sinopsis, Tema, Persoalan

Prosa Melayu Tradisional telah wujud sejak dahulu lagi dan merupakan bentuk kesusasteraan melayu terawal. Ia merupakan hak milik masyarakat kerana tidak dicatat dan tiada pengarang. Ia juga wujud dalam bentuk lisan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, berikut dikongsikan nota-nota Prosa Burung Terbang Dipipiskan Lada : Sinopsis, Tema sebagai panduan kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Untuk makluman, Prosa ini dimuatkan dalam naskhah Sejadah Rindu bersama 11 buah karya sastera lain yang terdiri daripada pelbagai genre. Naskhah tersebut merupakan antologi teks komponen sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Tingkatan 5.

Burung Terbang Dipipiskan Lada

Di bawah adalah nota- nota berkaitan meliputi Sinopsis, Tema, persoalan, plot, teknik penceritaan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran sebagai rujukan untuk pelajar.

Baca juga : Format Terkini SPM

Sinopsis

Pada suatu masa dahulu, negara Siam mendengar berita bahawa kerajaan Melaka merupakan sebuah negara yang kuat dan tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana kuasa pada ketika itu. Oleh itu, Raja Siam iaitu Bubunnya menghantar wakil untuk berjumpa dengan Sultan Muzaffar Syah meminta supaya Melaka menyembah / mengaku ketuanan Raja Siam (membayar ufti). Sultan Muzaffar menolaknya. Raja Siam marah lantas menghantar hulubalangnya iaitu Awi Cakri menyerang Melaka. Sultan Muzaffar mengetahui berita itu. Baginda mengumpulkan semua orang lelaki di Melaka. Tun Perak dari kelang mengumpulkan orang lelaki dari Kelang dengan keluarga mereka bertujuan supaya mereka berperang dengan bersungguh-sungguh demi menyelamatkan keluarga mereka. Tentera Siam dapat dikalahkan. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian sultan dan diminta tinggal di Melaka serta dilantik sebagai bentara.

Namun begitu, terdapat seorang dari Kelang yang iri hati kepada Tun Perak lalu memfitnahnya. Dia memberitahu Sultan Muzaffar bahawa Tun Perak telah mengainiayainya, Sultan memanggil Tun Perak mengadap untuk mengetahui kedudukan perkara sebenar. Tun Perak memberitahu Sultan Muzaffar bahawa beliau bertugas untuk Negara, dan meminta Sultan Muzaffar memecatnya jika mempercayai fitnah tersebut. Sultan Muzaffar sangat gembira dengan ketegasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai perdana menteri dengan gelaran Paduka Raja. Kedudukan Tun Perak setaraf dengan seorang lagi pegawai iaitu Seri Nara Diraja di balai perjumpaan. Ekoran pelantikan tersebut. penduduk Melaka berpecah kepada dua kumpulan iaitu mereka yang berpihak kepada Paduka Raja dan Seri Nara Diraja. Mereka berduajuga saling berselisih faham dan tidak bermaufakat. Sultan Muzaffar sagat sedih dan bercadang mendamaikan mereka berdua kerana perbalahan antara mereka boleh memunsahkan kerajaan Melaka.

Akhirnya, Sultan Muzaffar nekad untuk menceraikan isterinya iaitu Tun Kudu ( anak bendahara Seri Wak Raja iaitu saudara Paduka Raja) supaya dapat dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja. Tun Kudu pernah dipelihara oleh Paduka Raja dengan tanggungan Sultan Muzaffar. Sejak dikahwinkan, hubungan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja menjadi erat. Seri Nara Diraja turut menyokong Paduka Raja menjadi Bendahara. Pada waktu itu Bendahara Paduka Raja dikatakan sebagai orang yang bijaksana. Pada zaman kegemilangan itu, terdapat tiga orang pembesar yang bijaksana di tiga buah negeri besar, iaituPatih Aria Gajah Mada di Majapahit, Orang Kaya Kanayan di Pasai, dan Bendahara Paduka Raja serta Seri Nara Diraja pula menjadi penghulu bendahari di Melaka.

Setelah beberapa lama kemudian, orang Siam, iaitu di bawah panglima Awi Dicu mahu menyerang Melaka lagi. Sultan Muzaffar memerintahkan Bendahara Paduka Raja agar bersiap sedia untuk menentang orang Siam. Seri Bija Diraja juga diperintahkan untuk membantu Bendahara Paduka Raja untuk mengusir orang Siam yang telah menghampiri Batu Pahat. Bendahara Paduka Raja telah memerintahkan Tun Umar supaya menaiki perahu untuk memeriksa perahu Siam. Tun Umar yang berani itu telah melanggar beberapa buah perahuSiam sehingga mereka kalah. Tindakan Tun Umar itu telah membuatkan orang Siam berasa sungguh hairan

Setelah hari malam, Bendahara Paduka Raja mengarahkan agar pohon-pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar. Tindakan tersebut telah dilihat oleh orang Siam. Hulubalangnya berpendapat bahawa kelengkapan Melaka sungguh banyak. Dengan itu, orang Siam menjadi takut dan tidak jadi berperang lalu kembali ke Siam semula.Pada waktu malam, Paduka Raja memerintahkan tenteranya supaya pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api dibakar. Cahaya api itu kelihatan seolah-olah terlalu ramai tentera Melaka sedang berkawal di tepi pantai. Askar Siam ketakutan melihat banyaknya tentera Melaka lalu mereka berpatah balik ke Siam dan tidak jadi untuk menyerang Melaka.

Sultan Muzaffar merayakan kemenangan askar Melaka dengan hadiah persalinan baru. Di Siam,Paduka Babunnya sangat marah. Baginda mengarahkan anaknya iaitu Cau Pandan untuk menyerang Melaka dengan pelbagai kelengkapan dan perahu yang sangat banyak bilangannya. Apabila mendengar berita itu, Sultan Muzaffar memerintahkan seorang yang warak (kuat ugama) iaitu Tuan Sidi Arab menggunakan kesaktiannya. Dia menggunakan panahnya, dan mengarahkan panahnya itu ke Siam sambil mengatakan Cau Pandan akan mati. Di Siam, Cau Pandan berasa sakit dada kemudian muntah darah lalu mati. Sultan menghadiahi Tuan Sidi Arab dengan pelbagai anugerah atas kesaktiannya itu.

Setelah 42 tahun memegang takhta, akhirnya Sultan Muzaffar Syah pun mangkat. Takhta Melaka telah digantikan oleh anakanda baginda, iaitu Raja Abdullah dengan gelaran Sultan Mansur Syah. Usia baginda sewaktu menaiki takhta itu ialah 27 tahun. Sultan Mansur Syah seorang yang kacak, adil, dan pemurah. Baginda telah berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, iaitu anak Seri Nara Diraja.

Tema

Tema yang diketengahkan oleh prosa tradisional ini adalah tema kebijaksanaan pemimpin dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kalangan pembesar negeri

Persoalan

  1. Persoalan kebijaksanaan menggunakan strategi dan akal fikiran untuk menyelesaikan masalah. ” Tun Perak mengikat puntung api pada pokok bakau, pokok nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi menakutkan pihak musuh.”
  2. Persoalan pertelingkahan pemimpin mengancam kedaulatan negara. “Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara”
  3. Persoalan tanggungjawab melaksanakan tuugas masing-masing tanpa campur tangan orang lain. “Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara”
  4. Persoalan semangat tidak mudah berputus asa. “Siam mengatur serangan ke atas Melaka sebanyak tiga kali walaupun kesemua percubaan tersebut menemui kegagalan”
  5. Persoalan unsur kesaktian dalam peperangan. “Sidi Arab mempunyai kesaktian dalam ilmu memanah. Beliau telah memanah dari Melaka sehingga dapat membunuh Cau Pandan yang berada di benua Siam.”

Watak & Perwatakan

Tun Perak

  • Pembesar melaka yang menjaga daerah Kelang dan telah dinaikkan pangat kepada Paduka Raja
  • Bijaksana (mengarahkan lelaki Kelang membawa anak isteri ketika menentang Siam)
  • Baik hati (menjaga Tun Kudu yang telah diceraikan sultan sebelum Tun Kudu berkahwin semula)
  • Berpengaruh (mempunyai pengikut yang menyokongnya ketika bersengketa dengan Seri Nara diraja)
  • Berani (memimpin askar Melaka menentang askar Siam yang hendak menyerang Melaka)

Sultan Muzaffar Syah

  • Bijaksana (mendamaikan pembesarnya dengan mengahwinkan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu)
  • Prihatin (meraikan askarnya yang menang dengan pemberian hadiah pakaian persalinan)
  • Mementingkan keharmonian (berusaha mendamaikan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk memakmurkan Melaka)
  • Tidak terburu-buru dalam bertindak (tidak menghukum Tun Perak setelah Tun Perak difitnah sebaliknya memanggil Tun Perak untuk menceritakan keadaan yang sebenarnya)
  • Menghargai rakyatnya

Seri Nara Diraja

  • Penghulu bendahari Melaka
  • Tua sehingga bulu kening dan bulu matanya bercantum
  • Berkahwin dengan Tun Kudu, bekas isteri Sultan Melaka
  • Mempunyai anak daripada hubungan sulit dengan gundik, Tun Nina Madi

Sultan Mansur Syah

  • Anak kepada Sultan Muzaffar Syah
  • Menjadi sultan ketika berusia 27 tahun
  • Berkahwin dengan Tun Patih Nur Pualam, anak Seri Nara Diraja
  • Mempunyai anak perempuan bernama Puteri Bakal hasil hubungan dengan gundik
  • Kacak, adil dan pemurah

Plot

Pengenalan

Raja Siam memerintah melaka untuk menghantar surat sembah. Tetapi, Sultan Melaka tidak mahu memberikan surat sembah tersebut. Oleh itu, Raja Siam, iaitu Paduka Bubunnya memerintahkan tenteranya di bawah pimpinan Awi Cakri supaya menyerang Melaka. Sultan Melaka mengarahkan rakyatnya dikumpulkan untuk menghadapi ancaman tentera Siam. Tun Perak mengumpulkan semua lelaki dari Kelang bersama-sama dengan isteri dan anak masing-masing. Akhirnya, Siam berjaya dikalahkan di Muar.

Perkembangan

Sultan Melaka memerintah Tun Perak supaya menetap di Melaka dan dijadikan bentara. Kebijaksanaan dan kata-kata Tun Perak sewaktu menyelesaikan dakwaan bahawa dia membuat aniaya telah membuatkan Sultan Muzaffar Syah menaikkan pangkat beliau sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja.

Perumitan

Seri Nara Diraja dan Paduka Raja tidak bersefahaman. Ketika itu, orang Melayu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu sebahagian menjadi pengikut Seri Nara Diraja dan sebahagiannya pengikut Paduka Raja. Sultan Muzaffar Syah bimbang jika perbalahan antara pembesar itu akan memudaratkan negeri Melaka. Sultan Muzaffar Syah telah mengahwinkan Tun Kudu, iaitu saudara kepada Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja untuk menyatukan mereka berdua. Paduka Raja pula dijadikan bendahara.

Klimaks

Raja Siam menyerang Melaka dengan menghantar tenteranya di bawah pimpinan Awi Dicu. Sultan Muzaffar Syah mengarahkan Bendahara Paduka Raja dengan dibantu oleh Seri Bija Diraja untuk mengusir tentera Siam. Kebijaksanaan Bendahara Paduka Raja untuk mengarahkan semua pohon kayu bakau, nyirih, dan tumpu api-api dibakar menyebabkan tentera Siam tersalah anggap dan kembali ke Siam kerana ketakutan. Selepas itu, anakanda Raja Siam, iaitu Cau Pandan diperlengkapkan untuk menyerang Melaka. Berita Siam ingin menyerang Melaka telah diketahui oleh Raja Melaka. Tuan Sidi Arab yang mempunyai ilmu pengetahuam yang tinggi telah menghalakan panahnya ke benua Siam untuk membunuh Cau Pandan. Cau Pandan berasa dadanya seperti dipanah dan muntah darah lalu mati.

Peleraian

Sultan Muzaffar Syah mangkat selepas memerintah Melaka selama 42 tahun. Raja Abdullah yang merupakan anakanda menggantikan takhta Melaka dengan gelaran Sultan Mansur Syah

Teknik Penceritaan

  1. Teknik pemerian : pengarang memerihalkan perwatakan Seri Amerta
  2. Teknik monolog dalaman : Sultan Muzaffar Syah bermonolog dalaman ketika baginda mendengar penjelasan daripada Tun Perak
  3. Teknik imbas kembali : Seri Nara Diraja teringat akan peristiwa bapanya membeli azimat.
  4. Teknik dialog : Dialog antara Sultan Muzaffar Syah dengan Seri Nara Diraja.

Latar

Latar Masyarakat

  • Masyarakat/ Golongan Istana yang terdiri daripada pemerintah, negeri hulubalang
  • Masyarakat yang mengamalkan ilmu pengetahuan
  • Masyarakat yang baik hati
  • Masyarakat yang berpecah belah

Latar Masa

  • Zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka
  • Zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah
  • Zaman Tun Perak menjadi bendahara Melaka

Latar Tempat

  • Melaka – pemerintahan Sultan Melaka
  • Siam – asal Paduka Babunnya
  • Muar – askar Siam di bawah pimpinan Awi Dicu berada di Muar selepas menyerang Melaka
  • Kelang – asal Tun Perak
  • Batu Pahat – Askar siam yang ingin menyerang Melaka

Gaya Bahasa

  1. Simile : dialog antara Sultan Muzaffar Syah dengan Seri Nara Diraja.
  2. Repitisi : Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu.
  3. Hiperbola : Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.
  4. Bahasa Melayu Klasik : terpermanai lagi, kemakanan matanya
  5. Bahasa istana : baginda, titah, tuanku, mangkat
  6. Bahasa Arab : keramat, ditalak

Nilai 

  1. Bijaksana (Tun Perak bijaksana apabila mengikat puntung api pada pokok kayu bakau, nyirih dan tumpu api-api pada waktu malam hingga cahaya api itu menggambarkan askar Melaka yang ramai sehingga menakutkan askar Siam)
  2. Berani (Tun Perak berani menentang askar Siam yang ramai jumlahnya hingga dua kali percubaan Siam menyerang Melaka menemui kegagalan)
  3. Baik hati (Sultan Muzaffar memberikan askarnya yang menang peperangan dengan sepasang persalinan)
  4. Bersatu padu (Semua lelaki Kelang berkumpul dan bersatu untuk menentang askar Siam.)
  5. Keikhlasan (Seri Nara Diraja sepakat menyokong Paduka Raja dengan ikhlas untuk menjadi bendahara supaya rakyat Melaka bersatu padu dan kuat)

Pengajaran

  1. Kita perlu bersatu padu dalam memastikan kedaulatan negara terjaga
  2. Kita hendaklah menggunakan ilmu pengetahuan untuk melakukan tindakan yang betul
  3. Kita seharusnya ikhlas dalam melakukan sesuatu perbuatan
  4. Kita mestilah bijak menggunakan strategi untuk menyelesaikan masalah
  5. Kita sewajarnya berani menghadapi ancaman musuh demi negara

Sekian sahaja perkongsian nota Prosa Burung Terbang Dipipiskan Lada : Sinopsis, Tema, persoalan, nilai dan pengajaran untuk rujukan semua.