Karangan

Peranan Iklan Dan Media Massa Dalam Melahirkan Pengguna Yang Bijak

Pengguna yang bijak juga antara topik yang kerap dijadikan soalan atau latihan kepada para pelajar menjelang peperiksaan peringkat sekolah ataupun peperiksaan awam. Pelajar boleh bersedia dengan merujuk isi-isi penting dan membuat latihan dalam menghuraikan isi tersebut. Berikut adalah contoh isi dan karangan berkaitan dengan peranan iklan dalam melahirkan pengguna yang bijak.

Contoh dibawah adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif pelajar dalam penulisan karangan. Penambahan penggunaan peribahasa yang tepat dan penanda wacana dengan topik yang dibincangkan akan membuatkan penulisan karangan pelajar lebih menarik. Pelajar juga diingatkan untuk merujuk guru-guru supaya penulisan karangan pelajar tidak lari daripada kehendak soalan.

Pengaruh Pengiklanan Dalam Melahirkan Pengguna Yang Bijak

peta minda peranan iklan dalam melahirkan pengguna bijak Peranan Iklan Dan Media Massa Dalam Melahirkan Pengguna Yang Bijak

Isi-isi penting

  • Memberikan maklumat yang terperinci dan tepat tentang produk
  • Mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan
  • Bebas daripada sebarang penipuan dan helah
  • Membuat perbandingan dengan produk lain secara telus
  • Menggunakan bahasa yang mudah, difahami dan sampai maksudnya kepada orang awam
  • Menggunakan segala platform seperti media sosial

Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Peranan Iklan Dalam Melahirkan Pengguna Yang Bijak

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, segala maklumat diperoleh hanya menggunakan hujung jari. Penggunaan telefon bimbit pintar semakin menjadi asas kehidupan harian seseorang. Proses melayari jalur lebar membuatkan kita melihat iklan-iklan digital yang keluar di sudut tepi atau sebelum mendapat akses ke sebuah laman sesawang. Iklan-iklan ini sebenarnya mampu mempengaruhi fikiran kita dalam membeli atau menggunakan khidmat yang dipromosikan di media sosial, televisyen atau papan tanda iklan di sekitar jalan raya. Kita sebagai masyarakat madani seharusnya mempunyai kelebihan dalam situasi ini supaya menjadi pengguna yang bijak. Natijahnya, iklan juga berperanan dalam melahirkan pengguna yang bijak.

Isi 1

Pada asasnya, iklan adalah medium yang digunakan usahawan atau syarikat untuk menyampaikan produk mereka kepada masyarakat. Justeru, iklan berperanan dalam memberikan maklumat yang tepat dan terperinci tentang produk-produk mereka. Agensi pengiklanan selalunya lebih mengutamakan cara penyampaian berbanding mengutamakan produk yang ingin dipromosi. Sebagai contoh, mereka boleh melakonkan situasi yang sering berlaku dalam kehidupan kita dan gunakan produk mereka sebagai langkah penyelesian kepada masalh yang dihadapi. Pendekatan yang mudah dapat membuktikan bahawa produk tersebut mampu menyelesaikan masalah dan sekaligus berbaloi untuk dibeli.

Isi 2

Selain itu, agensi pengiklanan sewajarnya mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh agensi kerajaan dalam menghasilkan sebuah iklan. Sepertimana pembungkusan produk, ikalan atau promosi perlu menonjolkan intipati atau sumber produk yang betul serta kesannya yang mungkin bermanfaat kepada pengguna. Terdapat kes dimana pengusaha yang tidak bertanggungjawab menjual produk yang didaftarkan sebagai produk makan tetapi dipasarkan sebagai produk kesihatan. Perkara seperti ini mengundang akibat yang sungguh besar sehingga mampu mengakibatkan pengguna mengalami penyakit. Janganlah kita dikaburi dengan kemewahan harta dan wang sehingga menyebabkan masalah kepada pengguna. Berniagalah secara telus dan jujur agar rezeki yang diperoleh mendapat berkat dan dihargai oleh pengguna.

Isi 3

Iklan-iklan di media massa tidak kira digital atau bahan cetakan, perlu bebas daripada sebarang penipuan dan helah. Sebagai contoh, pendekatan seperti mengiklankan testimoni oleh pengguna produk menjadi sesuatu trend yang digunakan usahawan dan agensi pengiklanan. Namun, ada diantara mereka menipu dengan melebih-lebihkan manfaat atau faedah yang diperoleh daripada penggunaan produk tersebut lalu menyumbang kepada ketidak percayaaan pengguna terhadap produk itu. Tambahan pula, pembeli atas talian juga turut menjadi mangsa penipuan kerana apa yang dipromosikan atau digambarkan berbeza dengan produk yang tiba di rumah mereka. Perkhidmatan pembelian atas talian ini sepatutnya menjadi pemudah cara kita dalam era kemodenan ini tetapi perkara seperti ini memburukkan kemudahan teknologi yang sepatutnya mendatangkan faedah yang baik kepada kita.

Isi 4

Di samping itu, agensi pengiklanan juga menggunakan pendekatan membanding produk mereka dengan produk lain yang seteru dengan perniagaan mereka. Kaedah ini seperti peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air dimana kelebihan diberikan kepada produk yang menggunakan cara sebegini. Hal ini kerana mereka telah membuktikan bahawasanya produk mereka lebih baik berbanding daripada produk lain dan menunjukkan dengan jelas kepada pengguna untuk memilih produk yang berbaloi untuk mereka. Pendekatan ini juga mampu menghasilkan daya persaingan yang sihat antara pengeluar produk dalam mencapai penjualan yang baik sekaligus menyumbang kepada kerancakkan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat hari ini. Oleh itu, pengguna seharusnya dapat memilih produk dengan rasional sekiranya iklan-iklan seperti ini dipromosikan.

Penutup

Tuntasnya, agensi pengiklanan atau syarikat berperanan penting dalam melahirkan pengguna yang bijak dalam kalangan masyarakat kita. Masyarakat kita sudah semakin bijak dalam memastikan apa yang dibeli berbaloi dan berguna kepada mereka. Tekanan ekonomi dan kenaikan kadar saraan hidup telah mengubah rakyat kita untuk menjadi pengguna yang lebih bijak. Sekiranya semua pengusaha atau penjual mematuhi apa yang telah dirangka maka tidak mustahil daya pembelian rakyat akan bertambah di samping menyumbang kepada ekonomi negara. Semoga kita berjaya melahirkan pengguna yang bijak sebelum melangkah ke alam revolusi industri 4.0.