Karangan

Peranan Anak-Anak Membahagiakan Ibu Bapa Dan Keluarga

Para pelajar pastinya runsing untuk menjawab soalan pilihan penulisan karangan Bahasa Melayu. Hal ini kerana lazimnya, pelbagai tema berlainan yang diketengahkan dan menguji kemampuan bahasa serta pengetahuan am pelajar. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan peranan anak-anak membahagiakan ibu bapa.

Ibu dan bapa adalah insan yang paling rapat dengan para pelajar selain rakan-rakan dan guru-guru. Justeru, hubungan yang erat dan mesra antara pelajar sebagai anak yang baikbersama ibu dan bapa masing-masing menentukan kebahagiaan sesebuah keluarga. Ibarat peribahasa Melayu, air yang dicincang tidak akan putus. Justeru, anak-anak juga perlu memainkan peranan untuk membahagiakan ibu dan bapa.

peta minda peranan anak anak membahagiakan ibu bapa Peranan Anak-Anak Membahagiakan Ibu Bapa Dan Keluarga

Tanggungjawab Anak-Anak Terhadap Ibu Bapa

Isi-isi penting

  • Menghormati ibu dan bapa
  • Mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik
  • Mendedikasikan kejayaan kepada mereka
  • Mendoakan kesejahteraan mereka
  • Meluangkan masa bersama
  • Memastikan kesihatan mereka terjamin

Baca juga: Masalah Remaja Melarikan Diri Dari Rumah

Contoh Karangan Peranan Anak-Anak Membahagiakan Ibu Bapa

Pendahuluan

Mutakhir ini, kes-kes penceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun dan sering kali memenuhi siaran akhbar dan berita. Situasi ini menunjukkan kerapuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita sehinggakan ramai anak-anak menjadi mangsa kepada masalah rumah tangga antara ibu dan bapa mereka. Pelbagai faktor yang mendorong kepada keruntuhan institusi keluarga, salah satu daripadanya adalah sikap kurang cakna terhadap peranan masing-masing dalam sebuah keluarga. Stigma masyarakat dahulu ialah seorang bapa perlu menjamin kebajikan dan nafkah kepada isteri dan anak-anak dijamin. Manakala ibu pula memastikan urusan di rumah dan didikan anak-anak dilaksanakan dengan baik. Bak kata pepatah, lain dahulu lain sekarang. Kebanyakan pasangan suami isteri hari ini bekerja dan urusan di rumah serta tugas menyara keluarga dilaksanakan bersama-sama. Pasangan ibu dan bapa yang saling bantu-membantu dilihat sebagai model kepada keluarga bahagia pada masa kini. Persoalan yang timbul adalah apakah peranan anak-anak membahagiakan ibu dan bapa serta menjamin hubungan silaturrahim yang baik dalam keluarga?

Isi 1

Antara peranan yang perlu dilakukan oleh anak-anak dalam memastikan kebahagiaan ibu dan bapa adalah menghormati mereka dengan adab dan perilaku yang baik. Peribahasa Melayu berkata, yang elok itu budi, yang indah itu bahasa. Kita sedia maklum bahawa ibu dan bapa telah membanting tulang membesarkan kita dari kecil sehingga dewasa. Sekiranya anak-anak bersikap biadap atau lancang percakapannya pasti akan luluh hati nurani mereka melihat anak-anak mereka bersikap begitu. Sebaliknya, anak-anak perlu menjadi seorang yang lebih baik daripada ibu dan bapa masing-masing kerana kita mempunyai daya keterbukaan yang lebih berbanding mereka pada zaman dahulu. Dengan nilai-nilai murni yang baik diamalkan oleh anak-anak terhadap ibu dan bapa mereka, ianya pasti dapat membentuk keperibadian yang mulia dalam diri mereka dan juga terhadap orang sekeliling. Secara tidak langsung, masyarakat yang penyayang dan saling menghormati dapat dilahirkan. Intihannya, anak-anak yang menghormati ibu dan bapa memberikan sebaik-baik kebahagiaan kepada mereka dan maruah keluarga.

Isi 2

Peranan lain yang boleh dilakukan oleh anak-anak demi kebahagiaan ibu dan bapa adalah dengan mengubah kehidupan ibu dan bapa ke arah lebih baik. Perkara ini memakan masa yang lama tetapi jika dilakukan sedikit demi sedikit ia pasti membuahkan hasil yang bermanfaat. Ibarat sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Kebanyakan masyarakat kita pada hari ini lahir daripada kampung dan berpindah ke bandar untuk mencari rezeki dan peluang kerja yang lebih baik. Oleh itu, apabila anak-anak telah berjaya dan mendapat kestabilan hidup di bandar, janganlah kita lupa kepada ibu dan bapa yang tinggal di kampung mahupunyang telah meninggal dunia. Anak-anak perlu memastikan kebajikan ibu dan bapa terjamin dengan menghulurkan wang pada setiap bulan mengikut kemampuan masing-masing. Jika rumah yang didiami mengalami kerosakan dan sebagainya pastikan ia diperbaiki supaya mereka rasa tenteram dan selesa. Tambahan pula, membawa ibu dan bapa melancong, makan di restoran yang sedap dan juga menunaikan umrah adalah contoh memberi kebahagiaan kepada ibu dan bapa. Natijahnya, bersikap murah hati terhadap ibu dan bapa merupakan antara cara kita membalas jasa mereka.

Isi 3

Ibu dan bapa pasti akan berasa bahagia melihat anak-anak mereka berjaya dalam apa jua perkara yang diceburi mereka. Oleh sebab yang demikian anak-anak juga berperanan mendedikasikan kejayaan yang dikecapi kepada ibu dan bapa mereka. Sebagai contoh, pelajar di sekolah mendapat keputusan yang cemerlang, menempatkan diri di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang terkemuka serta berjaya mendapatkan gulungan ijazah yang bermakan bagi mereka. Selain kejayaan dalam akademik, anak-anak juga boleh memberi kejayaan dalam karier pekerjaan yang diceburi. Tamsilnya, daripada meniaga sebagai penjaja di tepi jalan dan kemudian berjaya membuka restoran untuk menampung pelanggan yang bertambah. Pasti ibu dan bapa akan berasa puas setelah bersusah payah pada ketika dahulu membesarkan dan mendidik anak-anak, kini mereka berjaya menjadi seorang yang menyumbang kepada keluarga, diri sendiri dan juga masyarakat. Dengan slogan usaha tangga kejayaan, anak-anak perlu kekal bersemangat dan tidak mengenal erti putus asa demi mencapai kejayaan agar memberi kebanggaan kepada ibu dan bapa. Kesannya, kebahagiaan ibu dan bapa akan menjadi pendorong untuk anak-anak menjadi lebih berjaya.

Isi 4

Akhir sekali, anak-anak boleh membahagiakan ibu dan bapa dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Dalam agama Islam, keredhaan ibu dan bapa adalah mustahak dalam kita melakukan apa sahaja perkara di dunia. Oleh sebab itu, dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa, kesihatan dan keselamatan mereka, ia pasti dapat membuka pintu-pintu rezeki dan fadilat yang lain untukanak dan ahli keluarga. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilaksanakan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Perspektif ini juga boleh dilihat kepada golongan yang sudah kehilangan ibu dan bapa masing-masing. Hanya doa yang dapat kita sampaikan kepada mereka sebagai tanda penghargaan dan bekalan untuk mereka di alam tersebut. Maka, kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa di sisi masing-masing pastikan anda meluangkan masa bersama dan cuba sehabis baik dalam membuatkan mereka bahagia dan sejahtera.

Penutup

Kesimpulannya, jelaslah bahawa banyak peranan yang perlu dimainkan oleh anak-anak dalam memastikan kebahagiaan ibu dan bapa. Mungkin dahulu kita lihat ibu dan bapa kita mempunyai hubungan yang tidak akrab dengan atuk atau nenek kita. Justeru, kita perlu bersikap terbuka dan berani untuk melakukan peranan sebagai anak yang memastikan kedua-dua orang tua iaitu ibu dan bapa kita kekal bahagia. Bak kata peribahasa Melayu, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Semoga usaha yang dibuat bagai menatang minyak yang penuh oleh anak-anak demi ibu dan bapa dihargai dan sedikit sebanyak membalas jasa-jasa mereka ketika membesarkan anak pada masa dahulu. Diharapkan dengan institusi keluarga yang bahagia berjaya diwujudkan, masyarakat penyayang akan terbentuk kerana rumahku syurgaku. Seterusnya melahirkan negara yang prihatin dan saling sayang menyayangi.