Nota

Cara-Cara Penyebaran Islam di Asia Tenggara

Perhatian kepada pelajar yang akan menduduki kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sejarah. Sudahkah anda mengulangkaji topik-topik yang berpotensi menjadi soalan dalam peperiksaan? Sekiranya belum, berikut dikongsikan nota berkaitan cara-cara penyebaran Islam di Asia Tenggara (faktor dan pengaruh) sebagai rujukan buat para pelajar.

Pembelajaran subjek Sejarah berkenaan penyebaran Islam di Asia Tenggara mempunyai objektif supaya pelajar mampu menghuraikan dan membahaskan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Selain itu, pelajar perlu menerangkan proses penyebaran Islam di Asia Tenggara seterusnya mengklasifikasikan pengaruh Islam di Asia Tenggara.

Faktor Penyebaran Islam di Asia Tenggara

Di bawah adalah nota ringkas berkaitan cara-cara penyebaran Islam di Asia Tenggara untuk rujukan semua. Ia merangkumi faktor perdagangan, perkahwinan, pengislaman raja dan golongan bangsawan, kelahiran kerajaan Islam, pusat kebudayaan, peranan mubaligh dan keistimewaan agama Islam.

Baca juga: Nota Sejarah Tamadun Awal Di Asia Tenggara

Perdagangan

  • Dakwah Islamiah disebarkan ke Asia Tenggara oleh para pedagang Arab, China dan India.
  • Mereka telah lama menjalinkan hubungan perdagangan di pelabuhan utama di Asia Tenggara seperti Selat Melaka, Teluk Siam, Indo China dan Makasar
  • Islam menjadi ikutan kerana kemurnian Islam dan tingkah laku pendakwah serta pedagang
  • Semangat dakwah telah mewujudkan perkampungan pedagang Islam sebagai tempat perbincangan ilmu dan disertai para ulama
  • Sifat pedagang dan ulama yang berhemah, lemah-lembut dan mahmudah
  • Pedagang islam mempunyai hubungan baik dengan pemerintah tempatan hingga diberi keistimewaan seperti kebebasan berdakwah dan jawatan seperti syahbandar

Perkahwinan

  • Perkahwinan siasah dimana berlaku dalam kalangan kerabat diraja. Contohnya, Sultan Mansur Syah dan Muzaffar Syah di Melaka mengahwinkan puteri mereka dengan Raja Siak, Kampar, Inderagiri dan Jambi.
  • Perkahwinan biasa yang berlaku dalam kalangan ulama atau pedangan Islam dari India atau Arab dengan orang tempatan.

Pengislaman Raja dan Golongan Bangsawan

  • Rakyat mempunyai ketaatan yang kukuh kepada raja maka apabila raja memeluk Islam rakyat juga mengikutinya.
  • Contohnya, pengislaman Megat Iskandar Syah di Melaka telah diikuti oleh keluarga, pembesar dan rakyat.

Kelahiran Kerajaan Islam

  • Kerajaan Perlak, Samudera-Pasai merupakan kerajaan Islam terawal di Asia Tenggara
  • Kerajaan Melaka, Tun Perak yang merupakan Bendahara Melaka telah memperluaskan kuasa dan kemudiannya mengislamkan kawasan seperti Aru, Rokan dan Siak
  • Kerajaan Johor dan Riau, kerajaan ini berusaha menawan semula Melaka bagi mengelakkan Portugis yang menawan Melaka menjadi pusat penyebaran agama kristian di alam Melayu
  • Kerajaan Demak, selepas menawan Majapahit, Islam telah disebarkan keseluruh Jawa serta diikuti oleh kerajaan Islam di Jawa seperti Pajang dan Mataram
  • Kerajaan Acheh, Sultan Iskandar Muda telah menjadikan Acheh kerajaan yang kuat dan menyekat penyebaran agama Islam. Acheh menaungi negeri-negeri kecil di Sumatera Utara dan menawan beberapa negeri di Tanah Melayu untuk menghalang penyebaran Kristian. Acheh juga digelar sebagai Serambi Makkah
  • Kerajaan Pattani, Raja Phaya Tu Nakpa telah menganut Islam dan menukar nama kepada Sultan Mahmud Syah. Kedatangan pendakwah dan pedagang Islam dari Arab dan Parsi serta peranan Sultan Mudzaffar Syah telah menyebarkan Islam keseluruh Pattani.
  • Kerajaan Brunei, Catatan China menyatakan Brunei pernah menghantar pembesarnya Pu Ali ke China. Pendakwah Syariff Ali yang berasal daripada keturunan Nabi Muhammad S.A.W pernah menyebarkan Islam di Brunei. Kesan pengislaman Brunei telah berkembang ke wilayah sekitar seperti Sulu dan Mindanao
  • Kerajaan Champa, bukti kedatangan Islam ke sini ada pada batu nisan dan prasasti yang mencatat syarat tentang pembayaran cukai dan hutang

Pusat Kebudayaan

  • Pusat kebudayaan bertindak sebagai pusat keilmuan dan penyebaran Islam seperti di Perlak, Samudera Pasai, Riau dan Acheh
  • Di Samudera Pasai telah menjadi pusat penterjemahan kitab Arab ke Melayu seperti Kitab al-Dural al-Manzun dihantar oleh Sultan Mansur Shah (Melaka) untuk diterjemah ulama Pasai dan diterjemah oleh Makdun Patakan.
  • Buku kesusasteraan zaman Kerajaan Melayu Melaka dipengaruhi gaya tulisan Arab seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah yang menjadi bahan bacaan serta semangat untuk menentang musuh dalam peperangan
  • Di Acheh, karya Bustanus Salatin adalah contoh syair dan puisi penulis tempatan yang menarik minat pembaca untuk menghayati Islam. Muncul ulama yang hasilkan karya pemikiran Islam seperti Hamzah Al-Fansuri (Syarabul Asyikin dan Syair Burung Pingai) Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Samsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel.
  • Di Johor, hasil sastera ditulis seperti Tuhfat al-Nasif dan Peringatan Sejarah Johor.

Peranan Mubaligh

  • Syeikh Ismail, Fakir Muhamad, Syarif Amir Sayyid al-Syirazi dan Tajuddin al-Asfahani di Pasai
  • Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan Maulana Yusuf di Melaka
  • Mubaligh berperibadi jujur dan lemah-lembut dalam menyebarkan Islam
  • Di Melaka, ulama mengajar secara tidak formal pada mulanya kemudian secara formal. Tempat mengajar di masjid, istana dan rumah
  • Institusi awal di pondok (Tanah Melayu) atau pasentran (Jawa). Di Acheh pondok dikenali sebgaai Dayah.
  • Muncul ulama tempatan seperti Hamzah al-Fansuri. Ulama menjadi penasiihat raja.
  • Di Jawa, Wali Songo menjadikan Demak sebagai pusat pergerakan dakwah Islamiah. Masjid Agung Demak telah dibina menjadi markas dakwah Islamiah

Keistimewaan Agama Islam

  • Kemurnian Agama Islam merangkumi semua bidang termasuk konsep:
    • Tuhan yang maha Esa
    • Keadilan, hak individu dan masyarakat
    • Kehidupan yang harmoni
    • Menyanjung akhlak yang mulia
    • Konsep kebahagiaan dunia dan akhirat
    • Berfikir secara rasional

Perkongsian nota berkaitan cara-cara penyebaran Islam di Asia Tenggara diharapkan memberi manfaat kepada pelajar. Semoga anda dipermudahkan untuk menjawab peperiksaan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah.