Karangan

Punca-Punca Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak

Kebelakangan ini, kes-kes jenayah yang melibatkan golongan kanak-kanak semakin meningkat dan membimbangkan masyarakat kita. Kes penderaan di taska sehingga menyebabkan kematian malah penderaan yang dilakukan oleh ibu atau bapa sendiri juga menjadi tajuk berita yang menggemparkan dan menguji tahap perikemanusiaan semua. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan Punca-Punca Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak untuk panduan semua.

Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menubuhkan mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak bagi menampung kes jenayah yang berkaitan berlaku di dalam negara ini. Perkara ini jelas menunjukkan kita perlu menangani masalah yang membarah dalam kalangan masyarakat kita dengan mencari punca serta penyelesaian yang memberi kesan terbaik demi keharmonian masyarakat serta kanak-kanak di Malaysia.

Contoh-Karangan-Punca-Punca-Berlakunya-Penderaan-Kanak-Kanak

Contoh Karangan Punca-Punca Berlakunya Penderaan Kanak-Kanak

Isi-isi penting

  • Gagal mengurus tekanan dan emosi
  • Kesempitan hidup dan kedudukan ekonomi yang mencabar
  • Kurang didikan agama dan moral
  • Ibu dan bapa juga mangsa penderaan sewaktu kanak-kanak
  • Persekitaran yang tidak sihat
  • Pendidikan tentang mengurus anak-anak tidak dipelajari

Pendahuluan

Pada tahun 2020, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bahawa sebanyak 3,000 kes penderaan fizikal kanak-kanak telah direkodkan di dalam negara ini. Kes yang melibatkan kanak-kanak ini termasuk penderaan seksual, emosi dan pengabaian hidup mereka. Penderaan kanak-kanak bukanlah isu yang ringan, dan ia melibatkan pelbagai faktor yang mendorong kepada kejadian tersebut. Peribahasa Melayu ada berkata, anak di pangkuan dibiarkan, kera di hutan disusukan. Ibu dan bapa yang tidak menjalankan amanah untuk mendidik dan menjaga kebajikan anak-anak perlu dihukum serta diberikan kesedaran. Setiap individu pada hari ini perlu cakna bahawa perkahwinan bukan satu perkara yang mudah sebaliknya pelbagai tanggungjawab yang perlu dipikul apatah lagi dengan kehadiran zuriat yang merupakan anugerah daripada Tuhan. Oleh itu, mari kita bincangkan bersama punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak dalam masyarakat kita.

Isi 1

Salah satu punca paling asas ialah ibu atau bapa yang mendera anak-anak gagal mengurus tekanan dan emosi dalam keluarga. Keluarga yang menghadapi masalah ketidakstabilan emosi, atau konflik keluarga boleh mencetuskan tindakan yang melibatkan penderaan kanak-kanak. Kanak-kanak yang akan menjadi mangsa apabila orang dewasa tidak mampu menguruskan stres mereka dengan cara yang positif. Apabila anak melakukan sedikit kesilapan yang boleh dimaafkan tetapi sebaliknya dipukul sehingga menyebabkan kecederaan dan trauma kepada anak-anak. Individu yang mempunyai masalah psikologi atau emosi yang tidak tertangani mungkin cenderung melepaskan perasaan mereka melalui penderaan kanak-kanak. Mereka mungkin memerlukan bantuan profesional untuk mengendalikan masalah psikologi atau emosi mereka secara positif. Justeru, penting untuk kita sentiasa bermuhasabah diri dan bergaul dengan rakan atau ahli keluarga yang boleh memberi nasihat yang berguna untuk kita mengurus diri, keluarga dan juga anak-anak.

Isi 2

Pada masa yang sama, punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan kesempitan hidup dan kedudukan ekonomi yang mencabar keluarga. Dalam mendepani era revolusi industri ketika ini, kos sara hidup meningkat dari tahun ke tahun. Bagi mereka yang tidak bernasib baik, tanggungan perbelanjaan untuk keluarga akan menjadi satu beban. Kesannya, ibu dan bapa terpaksa bekerja dan anak-anak tidak dapat apa yang mereka mahukan sehingga mengganggu keharmonian sebuah keluarga. Sekiranya ibu dan bapa gagal membentuk keharmonian, maka bermulalah kekeruhan hubungan ahli keluarga sehingga boleh mencetus penderaan dalam kalangan anak-anak. Tekanan untuk mencari wang ditambah dengan ragam keluarga yang tidak menyenangkan hati akan menyebabkan kemarahan mudah untuk menyelebungi diri dan dilepaskan kepada orang sekeliling seperti anak-anak. Izharnya, kedudukan ekonomi keluarga yang tidak kukuh menjadi antara punca penderaan kanak-kanak berlaku.

Isi 3

Kurang didikan agama dan moral juga adalah salah satu punca penderaan kanak-kanak berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Pendidikan agama yang menyeluruh dalam masyarakat kita tidak menjamin seseorang individu untuk mengamalkannya. Dengan nilai keduniaan yang semakin mempengaruh berbanding nilai agama dan moral, penghayatan agama menjadi lemah dan tidak kuat. Setiap agama menggalakkan kebaikan dan keperibadian yang mulia. Oleh yang demikian, mereka yang melakukan penderaan terhadap kanak-kanak mungkin tidak mempunyai pegangan agama yang kuat dan berfikir secara rasional. Sebagai ibu dan bapa yang bertanggungjawab kepada anak-anak, golongan ini seharusnya mendalami ilmu agama yang banyak mengajar dan memberi panduan untuk membesarkan keluarga secara hikmah dan rasional. Intihannya, amalan ilmu agama dan moral dalam diri setiap individu memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa pada hari ini.

Isi 4

Akhir sekali, punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan ibu atau bapa juga mangsa penderaan sewaktu mereka kecil. Kurangnya pengetahuan dan kesedaran tentang cara mendidik anak juga merupakan punca penderaan kanak-kanak. Beberapa individu mungkin tidak sedar bahawa cara mereka mendidik anak-anak mereka melibatkan kekerasan atau tindakan yang merugikan fizikal dan emosi kanak-kanak. Oleh itu, ibu dan bapa pada hari ini mempunyai pelbagai sumber untuk mempelajari ilmu berkenaan keluarga sama ada melalui buku atau Internet. Kita tidak boleh lagi menyamakan kehidupan masa lalu dengan masa kini kerana banyak perbezaan dari segi norma masyarakat dan juga perkembangan kehidupan yang mengubah cara pemikiran dan emosi seseorang terutamanya anak-anak. Izharnya, jika ibu dan bapa juga merupakan mangsa penderaan sewaktu mereka kanak-kanak, jadilah pemecah rantaian yang tidak sihat ini dengan mendidik anak-anak melalui kaedah yang lebih positif dan berkesan.

Penutup

Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak adalah satu isu serius yang memerlukan perhatian penuh daripada ahli masyarakat dan pihak berkuasa. Menyedari punca-punca penderaan kanak-kanak adalah langkah pertama dalam mengatasinya. Perlu ada usaha bersama dari pihak keluarga, masyarakat, dan juga pemimpin negara untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai persekitaran yang selamat dan mendukung pertumbuhan sihat. Anak-anak hendaklah diibaratkan seperti kain putih, ibu bapa dan masyarakat bertanggungjawab mencorakkan kain tersebut supaya menjadi cantik, menarik serta kaya dengan ilmu dan budaya masyrakat kita. Mari kita bersama-sama membantu melindungi generasi akan datang dari penderaan dan memastikan setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam suasana penuh kasih sayang, selamat dan sejahtera.

Rel : cendawan tumbuh selepas hujan, kes penderaan kanak kanak, tempat kerja, berlakunya kes penderaan, masalah kewangan, kalangan ibu bapa,