Nota

Novel Hempasan Ombak : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran

Sebagai pelajar, anda perlu sentiasa mengulang kaji untuk bersedia sebelum menduduki peperiksaan. Antara cara untuk mengulang kaji adalah dengan menyediakan nota-nota ringkas untuk memudahkan pemahaman dan membantu ingatan. Berikut dikongsikan nota-nota penting Novel Hempasan Ombak : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran untuk rujukan semua.

Penulisan karya ini merupakan hasil Zailiani Taslim yang berasal dari Klang, Selangor. Beliau merupakan seorang graduan Maktab Perguruan Sultan Idris, Perak dalam jurusan Pengajian Melayu dan Pendidikan Seni. Namun, beliau telah berkecimpung dalam bidang penulisan sejak berusia 13 tahun di akhbar dan amajalah terbitan tempatan. Antara karya lain beliau yang turut digunakan dalam komponen sastera adalah Pantun Berjimat Cermat bagi Tingkatan 1 2010 dan pelbagai lagi.

Nota Novel Hempasan Ombak (Tingkatan 3)

Di bawah dikongsikan nota-nota berkenaan Novel Hempasan Ombak : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran. Selain itu, turut disertakan nota berkenaan plot, teknik plot, gaya bahasa, watak dan perwatakan.

Sinopsis

Bab 1 – Warisan?

Haji Badrul yang merupakan pemilik sebuah perniagaan batik bernama Syarikat Batik Nusantara telah meninggal dunia. Kematiannya telah melemahkan perniagaan keluarganya. Farid, anak kepada Haji Badrul berfikir untuk meneruskan perusahaan batik ayahnya walaupun tidak mempunyai ilmu perniagaan yang tinggi. Farid berasa tanggungjawab tersebut tidak perlu ditanggung oleh ibunya Hajah Zaoyah seorang yang sudah berusia 56 tahun. Abangnya Lotfi sudah 10 tahun berada di kerusi roda, abang keduanya Farhan telah meninggal dunia sewaktu belajar di UKM dan adik-adiknya Hanysyah dan Hisyam masih muda. Akhirnya Farid membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan keluarganya. Tomsiah yang merupakan seorang kerani syarikat yang berdedikasi telah membantu Farid. Kak Tom memberitahu Farid bahawa hutang syarikat bukan dengan pihak bank tetapi dengan pembekal. Dia juga telah memberikan nombor telefon En. Mokhsein kepada Farid untuk membantunya memahami selok-belok perniagaan.

Bab 2 – Menggapai Awan

Menurut doktor, Haji Badrul meninggal dunia disebabkan oleh barah dalam perut. Tetapi terdapat khabar angin yang mendakwa ayah Farid telah disantau. Farid menerimanya sebagai takdir daripada Tuhan dan yakin dirinya perlu bersabar dan usaha mencari ilmu untuk berjaya dalam perniagaan. Terdapat sebilangan ejen yang mengambil kesempatan ke atas Farid dengan tidak membayar hutang walaupun perniagaan mereka beroperasi seperti biasa. Farid berbual dengan Pak Nik yang merupakan pekerjanya dan Pak Nik berkata pengeluaran terpaksa dikurangkan kerana bekalan bahan mentah juga semakin kurang. Dan batik-batik keluaran mereka kurang laris di pasaran.  Kak Tom meminta Farid untuk mengutip hutang daripada ejen-ejen yang tidak melunaskan bayaran mereka

Bab 3 – Titian Naga

Hajah Zaoyah bersama keluarganya semua makan malam bersama. Beliau menyedari Faris semakin kurus dan kurang bersosial kerana sibuk dengan perniagaannya. Farid meluahkan masalahnya setelah didesak oleh ibu dan abangnya. Dia malu dengan dirinya sendiri kerana terdapat bangsa lain yang sebaya dengannya mampu untuk menguruskan perniagaan. Ibunya berpesan untuk tidak akan menggadaikan syarikat ayahnya dan ingin menggadaikan barang kemas serta tanah untuk menyelamatkan syarikat mereka.

Bab 4 – Azam Usahawan Muda

Farid tiba di tapak bangsal batik perusahaanya sejak awal pagi. Pak Nik kagum dan lihat keazaman yang dimiliki Farid mirip seperti ayahnya Haji Badrul. Farid ingin mencontohi rakannya Abdul Kaber berketurunan India yang menjual kain dan Chew Teck Heng yang menjual Mi. Mereka berniaga kecil-kecilan tetapi berjaya kerana berkat kesabaran dan kecekapan dalam bidang perniagaan. Di dalam mesyuarat syarikatnya, Farid memberikan idea-idea yang bernas iaitu usha meningkatkan kualiti batik perusahaanya dan promosi yang lebih efektif. Kak Tom pula mencadangkan aset yang kurang produktif perlu dijual agar beban syarikat dikurangkan.

Bab 5 – Langkah Pertama

Farid telah berjumpa dengan En. Mokhsein. Beliau merupakan seorang yang merendah diri dan mengamalkan gaya hidup sederhana telah tertarik dengan sikap Farid sebagai anak muda. Mereka berbincang tentang perniagaan dan peluang yang ada bagi mereka. En Mokhsein berterus terang bahawa dia terhutang budi dengan bapa Farid yang lebih banyak mengajarnya tentang perniagaan. Beliau juga berpendapat seperti Pak Nik bahawa masalah utama yang dihadapi syarikat Farid adalah khianat daripada syarikat lain atas kejayaan arwah bapanya dulu. En. Mokhsein mencadangkan Farid untuk mencari pasaran baharu dan idea yang baik untuk berjaya.

Bab 6 – Ilham daripada Zuraida

Farid berkunjung ke kedai Zuraida dan rakannya terkejut dengan kehadirannya. Zuraida telah membantu keluarganya mengusahakan kedai pakaian di bazar MARA sejak sepuluh tahun lalu. Zuraida berkata perniagaannya kecil jika dibandingkan dengan perniagaan Farid. Dia juga berkata di banyak bermodalkan petua ibunya untuk sabar dan melayan pelanggan dengan baik. Farid pulang ke pejabat dan bercerita kepada Kak Tom tentang perjumpaannya bersama En. Mokhsein dan Zuraida.

Bab 7 – Batik, Cinta

Farid mempelawa Zuraida untuk makan tengahari bersama di Restoran Mail. Zuraida memuji kehebatan Farid yang mengambil alih perniagaan keluarganya. Farid merendah diri dan meluahkan masalah bahawa di menghadapi krisis dan perlukan bantuan. Zuraida menawarkan bantuannya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Zuraida memberikan pelbagai idea dan cara untuk Farid membuat perubahan di dalam syarikatnya. Selesai makan, mereka menuju ke kedai Zuraida dan Farid merasakan bibit-bibit cinta dengan Zuraida.

Bab 8 – Corak Baharu

Farid kemudian memikirkan corak batik baharu yang lebih moden dan mampu menarik minat pembeli di pasaran. Dia meminta nasihat daripada En. Mokhsein tentang perojek untuk memodenkan pengeluaran batiknya. Beliau berjanji akan membantu Farid dari aspek pasaran agar tidak jatuh ke tangan ejen yang tidak bertanggungjawab lagi. Farid juga tidak bercadang untuk menamatkan pengeluaran batik tradisi tetapi dimodenkan untuk pasaran ketika itu.

Bab 9 – Batik Sumber Rezeki

Bangsal baru yang dibina oleh Syarikat Batik Nusantara telah dirasmikan oleh En. Mokhsein. Dia juga telah membawa sepupunya, Hartini Noor yang merupakan seorang graduan seni reka fabrik daripada UiTM dan telah melanjutkan pelajaran ke sebuah akademi seni tampak di Australia. Kehadiran wanita tersebut membuatkan Zuraida cemburu dan meninggalkan majlis tersebut. Hartini meminta Farid memanggilnya kakak dan beliau berkongsi dengan Farid tentang pengalamannya serta sejarah batik asli.

Bab 10 – Maafkan aku, Eda

Farid muncul di gerai Zuraida pada pukul 10.15 pagi. Zuraida terkejut Farid masih ada masa untuk berjumpa dengannya walaupun sudah ada primadoona batik moden iaitu Hartini. Farid kurang senang dengan perasaan cemburu Zuraida dan menjelaskan kepadanya bahawa Hartini hanyalah pekerja kontrak dan telah bertunang dengan jejaka pilihannya. Tambahan pula umurnya 25 tahun membuatkan Farid memanggilnya sebagai kakak. Hartini Noor telah berjaya membimbing pekerja Farid dengan teknik yang baik. Farid mengajak Zuraida untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mempromosikan jualan batiknya dan yakin dengan kemampuan Zuraida. Pada petang itu, Zuraida hadir ke bengkel Farid dan terpukau dengan hasil kerja Hartini namun dia bersikap merendah diri dan tidak mahu dianggap sebagai primadona. Usaha Hartini wajar dipuji kerana dia tidak mengambil sebarang upah dan berhasrat untuk mengangkat martabat batik.

Bab 11 – Bara Dendam

Pemilik Syarikat Rajawali, Mukhtar berasa marah kerana jualan batiknya merosot walaupun diberi 35% komisen. Sebelum ini, dia berpuas hati perniagaan batik Haji Badrul merosot selepas kematian Haji Badrul. Kini dia amat marah kerana batik moden semakin menambat hati pengguna. Mukhtar mula berasa risau selepas mendapt tahu Farid berjumpa dengan En. Mokhsein untuk berkongsi ilmu perniagaan dan berbaik dengan Zuraida anak saudaranya. Dia pergi ke kedai Zuraida dan memarahinya kerana menjual produk Farid. Zuraida mempertahankan haknya dan telah diugut oleh Mukhtar untuk tidak lagi menjual barangan Farid. Zuraida timbul perasaaan syakwasangka terhadap Mukhtar yang mungkin menjadi dalang kepada kemusnahan perniagaan Farid sebelum ini. Farid pula mendapat surat layang kerana kemajuan perniagaannya.

Bab 12 – Samseng

Farid telah mendapat panggilan daripada Zuraida pada waktu pagi kerana ingin berjumpa dan bercakap tentang hal penting. Zuraida memberitahu Farid bahawa ada orang mengugutnya gerai akan dirobohkan jika terus menjual batik milik Farid. Zuraida kemudian menutup gerainya dan mengajak Farid ke rumahnya di Kampung Tanjung. Ibu Zuraida suka Farid berkawan dengan anaknya dan berharap Mukhtar tidak mengganggu hubungan anaknya. Di bengkel syarikat Farid pula, Mahmood membuat kacau kononnya Masri dan Azmi merupakan bekas pekerja syarikat majikannya yang dirampas Farid. Hartini meminta bantuan Pak Nik kerana ketakutan dan kekacauan tersebut telah membuatkan Mahmood mencurahkan lilin panas ke muka Masri.

Bab 13 – Api

Keluarga Hajah Zaoyah telah terjaga pada jam 2 pagi kerana berlaku kebakaran di bangsal batik baharunya. Farid berusaha memadamkan api tetapi tidak berjaya. Farid berasa sangat sedih bangsal yang baru dibinanya tidak sampai sebulan kini musnah. Hajah Zaoyah telah menyerahkan surat layang yang diterima oleh Farid kepada Pak Nik untuk membuat laporan polis. Keesokannya semua pekerjanya datang terkejut termasuk Hartini. Namun mereka kagum dengan ketenangan dan kesabaran Farid. Pihak polis telah mengesahkan kebakaran berkait dengan surat layang serta kekacauan oleh Mahmood. Inspektor Ruzman menjelaskan bahawa Mukhtar pemilik Syarikat Batik Rajawali adalah punca segalanya

Bab 14 – Ombak

Mukhtar telah ditahan oleh pihak polis dan didakwa bersalah. En. Mokhsein yang baru pulang dari Singapura terkejut dengan kejadian tersebut tetapi turut menerima ugutan sejak berbaik dengan Farid. En. Mokhsein memberikan berita gembira kepada Farid bahawa terdapat syarikat di Singapura dan Kuala Lumpur yang ingin melanggan batik moden keluaran syarikat Batik Nusantara. Farid berasa terhutang budi dengan En. Mokhsein, Zuraida, Hartini yang telah banyak membantu dia menaikkan semula perniagaan keluarganya. Zuraida melanjutkan pelajaran ke UiTM dalam bidang pentadbiran perniagaan. Mukhtar dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun. Mokhsein menjemput Farid dan Zuraida ke majlis perkahwinan Hartini di Kuantan. Hajah Zaoyah mengusik Farid untuk berkahwin tetapi dia berhasrat untuk menyambung pelajaran terlebih dahulu.

Tema

Novel ini mempersembahkan tema tentang kegigihan seorang remaja untuk memajukan syarikat.

Persoalan

  1. Persoalan kasih sayang antara ahli keluarga
  2. Persoalan cabaran dalam menjalankan perniagaan
  3. Persoalan kepentingan pendidikan dalam kehidupan
  4. Persoalan manusia yang tolong-menolong
  5. Persoalan sikap memandang rendah

Watak Dan Perwatakan

Farid

  • Watak utama yang berusia 19 tahun
  • Menerajui Syarikat Batik Nusantara
  • Seorang yang bertanggungjawab dan penyayang terhadap ahli keluarga dan rakan baik
  • Bersikap rasional dalam mengambil tindakan
  • Hidup sederhana dan bermasyarakat

Mokhsein

  • Pemilik Syarikat Nadi Zaman
  • Seorang yang bijak menyusun strategi perniagaan
  • Bersikap baik hati dan mengenang budi

Hajah Zaoyah

  • Balu kepada Allahyarham Haji Badrul, Pemilik Syarikat Batik Nusantara
  • Ibu berusia 56 tahun dan mempunyai enam orang anak
  • Gigih menghadapi cabaran dalam perniagaan
  • Berani menanggung risiko untuk memajukan perniagaan

Zuraida

  • Rakan sekelas Farid dari Tingkatan satu hingga lima di Sekolah Menengah Seri Budiman
  • Berniaga pakaian di bazar MARA di Jalan Banggol
  • Bersikap berpandangan jauh dan mudah cemburu

Plot

Permulaan – Farid yang baru sahaja tamat menduduki SPM terpaksa menerajui syarikat milik keluarganya setelah ayahnya Haji Badrul meninggal dunia. Ibunya Hajah Zaoyah menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Farid. Dia telah mengadakan mesyuarat bersama pekerjanya

Perkembangan – Zuraida ingin membantu Farid menjual batiknya di gerai Zuraida dan mencadangkan Farid untuk menghasilkan corak batik baharu. Farid bertemu dengan En. Mohksein untuk mendapat nasihat perniagaan. Farid telah membuka bengkel baharu untuk penghasilan batik moden. En. Mohksein merasmikan bengkel tersebut dan membawa Hartini Noor, anak saudaranya.

Perumitan – Mukhtar, pemilik syarikat Rajawali telah berasa marah kerana batiknya tidak mendapat sambutan. Mukhtar juga mendapat tahu anak saudaranya Zuraida telah menjual batik keluaran Farid dan mengugut untuk tidak menjualnya. Farid pula menerima surat layang. Di bengkel Farid pula berlaku kekacauan oleh Mahmood, Azmi dan Masri.

Klimaks – Bengkel batik baharu milik Farid telah terbakar. Dia menerima dugaan ini dengan redha. Pihak polis telah mengesyaki perlakuan jenayah terbabit dalam kebakaran tersebut. Inspektor Ruzman telah memberkas Mahmood dan mendapati dia adalah bekas jenayah dan merupakan pekerja syarikat Rajawali.

Peleraian – Tiga hari lepas kejadian, Mokhsein datang ke bengkel Farid selepas pulang dari Singapura. Mokhsein berjaya mendapatkan pelanggan daripada Singapura dan Kuala Lumpur untuk Farid. Mukhtar telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Zuraida pula melanjutkan pelajaran ke UiTM dalam bidang pentadbiran perniagaan. Farid juga berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya.

Teknik Plot

  1. Monolog – “Pengorbanan….. .” Farid separuh berbisik.
  2. Kejutan – “Tolong keluar bang. Keluar! ” Hartini mula bertegas
  3. Saspens – Adalah syarikat lain dengki dekat kamu tu.
  4. Imbas muka – Suatu ketika, pengembaraan kita menguruskan perniagaan sebegini akan lebih acap
  5. Imbas kembali – Dia sering mengikuti ayahnya menghantar batik keluaran syarikatnya ke serata tempat
  6. Dialog – “Eda dapat agaklah Farid tentu bosan dengar cerita Eda fasal berniaga kecil-kecilan. Berniaga di kaki lima!”
  7. Pemerian – Farid cuba menutup telinganya daripada mendengar desas-desus punca kematian ayahnya

Latar

Latar Tempat

  • Firma Nadi Zaman – lokasi Farid bertemu Mokhsein untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar dalam dunia perniagaan
  • Bazaar MARA Jalan Bonggol – lokasi Zuraida berniaga pakaian
  • Balai Polis Daerah Kuala Terengganu – Farid memberi kenyataan tentang peristiwa kebakaran bangsal moden syarikatnya kepada pegawai polis
  • UiTM – Zuraida menyambung pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan
  • Mahkamah Rendah Kuala Terengganu – Tempat Mokhtar dibicarakan dan telah dijatuhkan hukuman terhadap kes kesalahan membakar bangsal moden Farid

Latar Masa

  • Waktu Malam – Pada waktu malam, Farid dan keluarganya makan malam bersama
  • Pagi Sabtu – Farid berkunjung ke kedai Zuraida
  • Sebulan – Hartini menjadi tenaga pengajar batik moden kepada pekerja Farid

Latar Masyarakat

  • Masyarakat yang berniaga sebagai punca pendapatan diri dan keluarga
  • Masyarakat yang gigih berusaha dan berkorban demi mencapai kejayaan
  • Masyarakat yang mementingkan pendidikan dan pengetahuan
  • Masyarakat yang dengki dengan pencapaian orang lain
  • Masyarakat yang kreatif dan inovatif

Gaya Bahasa

  • Peribahasa – kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
  • Sinkope – “Tak kisahlah tu”
  • Repetisi – “Kerja, kerja. Makan, makan”
  • Simile – Syarikat yang ditubuhkan sejak hujung 60-an itu bagai pelita yang meliuk-liuk apinya
  • Personafikasi – rasa serba salah mula mencekik dirinya
  • Hiperbola – Lidah api menjilat ganas apa-apa sahaja yang tercapai.

Nilai

  1. Kasih Sayang – Hajah Zaoyah amat menyayangi anak-anaknya. Sebagai ibu, dia sanggup berkorban menjaga anaknya-anaknya.
  2. Kegigihan – Farid gigih berusaha untuk mengembangkan perusahaan batiknya sehingga dia berjaya
  3. Keberanian – Farid berani menanggung risiko untuk mengembangkan pemasaran syarikat batiknya dengan membina bengkel baharu
  4. Bertanggungjawab – Farid bertanggungjawab meneraju syarikat keluarganya setelah ayahnya meninggal dunia.
  5. Hormat-menghormati –  Farid selaku pengurus Syarikat Batik Nusantara dan para pekerjanya seramai 57 orang saling menghormati antara satu dengan yang lain

Pengajaran

  1. Kita hendaklah tabah dalam menghadapi dugaan dalam hidup
  2. Kita perlulah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan
  3. Kita seharusnya mengelak daripada bersikap hasad dengki terhadap pencapaian orang lain
  4. Kita hendaklah mementingkan kasih dan sayang antara ahli keluarga
  5. Kita seharusnya bersikap sederhana dalam apa jua aspek kehidupan

Contoh Soalan 

A) Huraikan tiga nilai yang dimiliki oleh watak utama dalam Novel Hempasan Ombak

  1. Nilai pertama adalah kegigihan. Contoh peristiwa kepada nilai ini ialah Farid gigih berusaha untuk mengembangkan perusahaan Batik Nusantara walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
  2. Nilai  kedua adalah bertanggungjawab pada watak Farid. Contohnya, Farid bertanggungjawab menyelesaikan masalah kewangan syarikat Batik Nusantara setelah ditinggalkan oleh ayahnya.
  3. Nilai ketiga adalah nilai kesederhanaan.  Contohnya Farid mengekalkan sikap bersederhana dalam menjalani kehidupan walaupun dia menduduki jawatan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Batik Nusantara dengan menaiki motosikal jika ada urusan luar.

B) Berdasarkan novel Hempasan Ombak, kemukakan tiga contoh peristiwa yang sesuai dengan latar tempat yang diberikan

Bangsal Batik : 

  1. En Mokhsein merasmikan bangsal baharu yang diusahakan Farid untuk Syarikat Batik Nusantara
  2. Zuraida berasa cemburu dengan Hartini Noor yang datang sewaktu majlis perasmian bangsal dilangsungkan
  3. Kejadian kebakaran yang berlaku memusnahkan bangsal batik Syarikat Farid.

C) Huraikan tiga persoalan dalam Novel Hempasan Ombak beserta contoh peristiwa

  1. Persoalan cabaran dalam dunia perniagaan – Farid menghadapi persaingan dengan syarikat-syarikat lain
  2. Persoalan kasih sayang sesama ahli keluarga – Hajah Zaoyah sanggup menggadaikan tanah dan barnag kemas untuk membantu Farid memajukan perusahaan keluarganya.
  3. Persoalan kesederhanaan dalam kehidupan – Farid menggunakan kereta Peugoet milik ayahnya walaupun mempunyai wang dan kedudukan.

Semoga perkongsian nota berkenaan Novel Hempasan Ombak : Sinopsis, Tema, Persoalan & Pengajaran dapat membantu semua.

Related : arwah ayahnya, 1 tingkatan 2,