Nota
Novel Di Sebalik Dinara : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Selain penulisan karangan, komponen sastera juga adalah bahagian mata pelajaran Bahasa Melayu yang selalunya dianggap sukar oleh pelajar. Hal ini kerana, mereka perlu membaca, menganalisis dan menilai semua komponen sastera yang dipelajari sebelum menduduki peperiksaan. Bagi memudahkan proses mengulangkaji pelajar, berikut dikongsikan nota berkenaan Novel Di Sebalik Dinara : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran sebagai rujukan.
Untuk makluman, novel ini ditulis oleh Dayang Noor atau nama sebenarnya Noor Aziza pada tahun 2012 dan diterbitkan oleh UTM & Utusan Publications. Penulis yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai pertandingan sayembara anjuran Utusan bagi karya Di Sebalik Dinara. Walaupun hanya mendapat saguhati, novel ini berjaya dipilih dalam KOMSAS kerana mempunyai tema yang menarik iaitu fiksyen spekulasi berlatar belakangkan sains dan teknologi.
Isi Kandungan
Nota Novel Di Sebalik Dinara : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Di bawah adalah koleksi nota Novel Di Sebalik Dinara : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Selain itu, turut dirangkumkan adalah watak dan perwatakan, plot, latar dan juga gaya bahasa.
Sinopsis
Bab 1 – Farisha yang merupakan seorang jurutera keselamatan sistem selesai bermesyuarat di Nusajaya. Di Lapangan Terbang Senai, dia berkenalan dengan Aqram sepanjang perjalanan ke KLIA. Farisha terkejut apabila melihat pintu rumahnya dipasang retinal scanner dan terpaksa menunggu Shida, kawan serumahnya untuk masuk ke dalam apartment mereka. Farisha ingin berehat kerana keesokan hari, dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Aqram yang duduk disebelah Farisha berjaya mencuri cawan minuman Farisha semasa si dalam kaapl terbang dan bekerjasama dengan Dr. Maxi untuk mengkaji DNA Farisha.
Bab 2 – Keesokannya, Farisha dan pembantunya Rosman menghadiri sebuah simposium. Dia kecewa Philips Young hanya menyampaikan ucaptama beliau melalui hologram. Farisha bertemu dengan Aqram tanpa diduga dan Aqram menyatakan keinginan mencari jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Aqram sebenarnya sudah sebulan menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.
Bab 3 – Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram berikutan tawaran untuk menjadi jururunding untuk sebuah projek. Aqram bersetuju membincangkan perkara ini di Puchong, iaitu di rumah Karl. Tetapi sebelum itu, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr. Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka untuk menggodam komputer Soft Lab. Farisha meminta sedikit waktu sebelum membuat keputusan. Mereka juga melihat Karl yang terlantar kerana sakit barah sebelum pulang.
Bab 4 – Farisha bersetuju untuk berjumpa dengan Aqram di Soft Lab, Cyberjaya. Dia menumpang kereta Shida yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di tempat sama. Pejabat Soft Lab yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi yang canggih mengujakan Farisha sehingga dia menemui Dinara di Pusat Data. Farisha menjalankan tugasnya untuk menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara sehingga waktu petang dan pulang bersama Shida. Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang mengenai rancangan mereka. Mereka perlukan Farisha dan Shida di Soft Lab dan Dr. Maxi memakan ingatan Alia, sebuah cyborg canggih supayarancangan mereka tidak diganggu.
Bab 5 – Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab. Aqram menjelaskan kepada Farisha bahawa Karl yang membangunkan Dinara dan ia kini diancam sebuah virus setelah diceroboh. Pada petang itu, Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak akan bersamanya kerana mendapat tawaran yang lebih lumayan di Senawang dan Farisha berasa tugasnya amat berat. Cyborg Alia bertengkar dengan Dr. Maxi kerana tindakan memadam ingatannya dan cemburu dengan kehadiran perempuan lain di sisi Karl. Farisha mengalami mimpi ngeri sehingga terlambat bangun.
Bab 6 – Keesokannya, Farisha lewat dan berasa kepalanya berat serta tidak sedar Alia telah memasukkan cip ke dalam tubuhnya untuk berkomunikai dengan Karl. Karl telah meminta tolong daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Alia menjadi cemburu dan marah kerana tidak mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl. Selepas beberapa ketika, Farisha sedar dan segar apabila makan pil yang diberikan oleh Aqram. Shida membincangkan dengan Farisha tentang kehilangan seorang penyelidik bernama Medina yang bekerja di Soft Lab.
Bab 7 – Farisha, Shida dan Rosman berjumpa pada sebelah malam di pejabat Secured Shell untuk meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Farisha tiba-tiba sakit kepala setelah melihat sebuah cahaya putih yang memancar ke arahnya. Mereka terus pulang. Dua hari selepas itu, Farisha diundang untuk makan malan di rumah Abang Azraai bersama keluarganya Kak Mariah, anak-anaknya Aina dan Dina. Farisha telah mendapat tahu abangnya mengalami sakit jantung dan dirinya merupakan anak angkat kepada ibu dan ayahnya.
Bab 8 – Keesokannya Farisha pengsan dan dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr. Maxi hairan kerana Farisha tiada latar belakang penyakit yang membimbangkan. Mereka bergegas ke arkib untuk berjumpa Shida dan bertanyakan hal yang sama.
Bab 9 – Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar merancang Plan B iaitu untuk menggantikan Farisha dengan Shida tetapi mereka berdua amat berbeza. Shida pulang ke rumah untuk mencari bukti penyakit Farisha namun tidak jumpa tetapi mendapat tahu Shida merupakan anak angkat. Shida dan Rosman melawat semula Farisha yag kelihatan lemah di hospital. Farid dan Amin datang ke katil Farisha untuk masuk ke ruang fikiran Farisha yang sebelum ini dilingdungi oleh Wall. Farisha yang lemah telah membuatkan Wall menjadi lemah. Aqram pula mencari amkklumat pada badan Farisha menggunakan sebuah alat dan menunjukkan kesihatan Farisha pada tahap yang tidak memuaskan. Dr. Maxi menyarankan Shida akan menggantikan tempat Farisha.
Bab 10 – Shida telah dibedah untuk menanam microchip seperti Farisha tanpa sedar oleh Alia. Tetapi tindak balasnya lebih teruk dan Dr. Maxi berdegil lalu memberhentikan ujikaji selepas lima minit. Dalam masa yang sama, Farisha berkomunikasi dengan “Mummy” di bawah sedar. Farid dan Amin berasa hairan melihat seorang perempuan tua yang menyuruh mereka melakukan perkara tersebut menjerit gembira. Farid menyanggah perbuatan perempuan tersebut kerana sanggup melakukan ujikaji terhadap anaknya sendiri. Dia tidak peduli asalkan beliau telah membuktikan dirinya lebih hebat daripada “lelaki itu”. Manakal Shida tetap murung dan tidak pulang ke rumah, tidak bercakap, makan ataupun minum. Aqram gagal untuk memasuki minda Shida.
Bab 11 – Farisha yang boleh bangun dan berjalan mendapatkan penjelasan daripada Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai berkata Farisha menjadi adik angkatnya kerana ingin menyelamatkannya daripada dijadikan bahan ujian. Terdapat beberapa orang yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan Farisha. Farisha memberitahu di dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azrai berasa cemas dan membawa Farisha keluar dari hospital. Alia ditugaskan oleh Dr. Maxi untuk mempengaruhi otak Shida dan akhirnya Dr. Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl. Karl mengarahkan untuk membawa Farisha ke situ kerana virus di dalam Dinara bukan sahaja akan memusnahkan Dinara tetapi ribuan manusia. Farisha yang dalam perjalanan ke Kulai bersama Azraai telah diculik oleh orang suruhan ibunya. Di Soft Lab, Karl bercakap melalui Shida bahawa Khairul anwar merupakan seorang budak pengemis yang telah diganti ingatannya dan Karl telah memukul seorang wanita sehingga cacat.
Bab 12 – Farid dan Amin yang menculik Farisha dalam perjalanan ke Seremban untuk bertemu dengan ibunya Marilyn. Di Soft Lab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu wanita cacat itu adalah dirinya yang dipukul oleh Karl serta nama asalnya adalah Rusmina. Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar yang menyaksikan perbualan tersebut turut berasa sedih. Menurut laporan daripada Dinara, Dr Maxi memberitahu Aqram dan Khairul Anwar bahawa ujikaji tersebut pernah dijalnkan terhadap Medina. Alat pengesan pintar Rosman mengesan arah Farisha dilarikan iaitu menuju ke Soft Lab Cyberjaya. Farisha tersedar di dalam kereta bersama Farid dan Amin dan berasa marah serta ketakutan untuk berjumpa dengan ibunya. Sebaliknya Farisha mahu dihantar ke abangnya Azraai tetapu tidak dipeduli. Di Soft Lab, Alia berkomunikasi dengan Karl dan mendapat tahu bahawa Karl gagal mendapatkan cinta Medina. Alia masih berasa cemburu. Di sebuah stesen minyak, Marilyn berjumpa dengan Farisha tetapi ditempelak dan memarahi ibunya kerana ingin membunuhnya dahulu. Suis alat pemintas untuk melemahkan wall Farisha dihidupkan
Bab 13 – Dr Haris yang merawat Karl menyatakan kesihatannya semakin teruk tetapi Dr. Maxi terus cuba untuk berkomunikasi dengan Karl. Melalui Shida, Karl sedar dan bertindak menggunakan komputer untuk menghapuskan virus dalam Dinara. Marilyn akhirnya tiba bersama Farisha, Farid dan Amin. Rahsia dibongkar iaitu Marilyn / Medina merupakan ibu Farisha dan Karl bapanya yang sanggup mengeksploitasi anaknya untuk kajian di Soft Lab. Marilyn bermusuh dengan Karl kerana telah mensabotaj fikirannya, akibat tindakan itu Marilyn menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha. Dr. Maxi dan Aqram menyelamatkan Farisha dan dibawa kepada keluarga angkatnya.
Bab 14 – Karl semakin tenat dan semua kenalannya, bergilir-glir mendekati Karl. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya namun tiada jawapan. Karl meninggal dunia dan mayatnya dibakar serta abunya ditabur di Selat Melaka. Shida masih bersikap aneh dan mengajak Aqram untuk pulang ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara. Aqram yakin masih terdapat Karl di dalam Shida.
Tema
Novel ini mengetengahkan tema berkenaan penggunaan teknologi maklumat yang begitu canggih sehingga boleh menguasai pemikiran manusia . Akhirnya hilang rasa kemanusiaan walaupun dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
Persoalan
- Persoalan nilai kemanusiaan yang musnah akibat kerakusan mengejar kecanggihan sistem teknologi maklumat
- Persoalan hubungan kekeluargaan yang musnah di mana seorang bapa sanggup untuk mengeksploitasi anak demi kepentingan visi dan misi mengejar kemajuan teknologi
- Persoalan kasih dan sayang antara manusia walaupun bukan daripada darah daging sendiri
- Persoalan rumah tangga yang musnah akibat tindakan suami atau bapa yang mementingkan diri sendiri
- Persoalan ketaksuban sesetengah manusia mengejar kemajuan sains dan teknologi
Watak dan Perwatakan
Farisha
- Merupakan watak utama
- Berumur 26 tahun
- Gadis yang pakar dan bijak dalam penggodaman teknologi
- Anak kandung kepada Medina/ Marilyn dan Karl
- Seorang adik yang penyayang dan berhati-hati dalam membuat keputusan
Karl
- Bapa kandung Farisha
- Seorang saintis hebat yang berjaya mencipta pelbagai teknologi
- Saling bersaing dan kemudian bermusuh dengan Medina/ Marilyn dalam bidang teknologi
- Menghidapi kanser usus tahap 4 dan dirawat di bilik khas dalam rumah agamnya di Puchong
Medina/ Marilyn
- Wanita berketurunan Portugal
- Seorang yang bijak dan hebat dalam bidang sains
- Banyak membantu Karl dalam kerja-kerja penyelidikan
- Akhirnya berdendam dengan Karl kerana persaingan dunia sains
Shida
- Merupakan rakan serumah Farisha
- Merupakan seorang penulis yang berkelulusan dalam bidang undang-undang
- Ditawarkan untuk menulis rencana dan biografi Dinara
- Menjadi pengganti Farisha untuk berhubung dengan Karl secara bawah sedar
Aqram
- Seorang lelaki yang ditemui Farisha di Lapangan terbang Senai dan duduk di sebelahnya dalam penerbangan ke Kuala Lumpur
- Merupakan pekerja di Soft Lab
- Cyborg ciptaan Karl yang menggunakan tubuh adik kandung Karl bernama Akeem
Alia
- Merupakan pekerja di Soft Lab
- Cyborg pertama ciptaan Karl yang menggunakan tubuh bekas isteri Karl bernama Rusmina.
- Kuat cemburu dengan mana-mana wanita yang rapat dengan Karl kerana Alia sangat menyayangi Karl
Binaan Plot
Permulaan – Farisha dan Aqram berkenalan di lapangan terbang dan kemudian bertemu lagi di sebuah konvensyen berkaitan pengisian komputer.
Perkembangan – Aqram menawarkan Farisha untuk menjadi jururunding di Soft Lab dengan tujuan untuk membantunya menggodam virus demi menyelamatkan Dinara
Perumitan – Farisha mengetahui dirinya merupakan anak angkat dan berasa sungguh sedih. Berlaku konflik di antara Karl dengan Medina/ Marilyn kerana Karl mengeksploitasi fikirannya dengan menggunakan seorang banduan bagi tujuan ujikaji
Klimaks – Rahsia terbongkar di mana Medina/ Marilyn ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya untuk kepentingan kajiannya di Soft Lab dengan mengaktifkan sistem Dinara
Peleraian – Karl meninggal dunia tetapi pemikirannya masih tersimpan di dalam Shida. Hal ini kerana Shida mengajak Aqram pulang ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara
Teknik Plot
Suspens – “Karl yang seksa aku sehingga aku cacat. Kemudian dia jadikan aku Alia. Nama sebenarku Rosmina”
Pemerian – Farisha berjalan susp-sasap untuk melepasi selautan manusia yang memenuhi balai berlepas Lapangan Terbang Senai
Dialog – Perbualan antara Aqram dan farisha di dalam pesawat dan di Hotel Renaissance
Imbas kembali – Azraai mengimbas kembali peristiwa 26 tahun lalu di mana keluarganya menerima Farisha sebagai anak angkat.
Latar
Latar Tempat
- Lapangan Terbang Senai – Farisha berjalan susup-sasap untuk melepasi selautan manusia yang memenuhi balai berlepas Lapangan Terbang Senai
- Soft Lab – Tetapi kali ini dia tiada pilihan, terpaksa juga menaiki monorel dan LRT untuk ke pejabat Soft Lab di Cyberjaya
- Rumah Karl – “Kita akan berbincang di rumah Karl salah seorang penyelidik Soft Lab
- Nusajaya – Masa tu Isha selau berulang-alik ke Nusajaya
- Port Dickson – Selepas subuh pada hari Ahad, beberapa puluh orang pekerja Soft Lab berkumpul di Port Dickson untuk upacara itu.
Latar Masa
- Pagi – Ketika jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi, bayang Rosman masih belum kelihatan
- Petang – “Pukul 4.30 petang mungkin boleh. Saya bercadang hendak melihat keadaan Farisha sekitar pukul 6.00 petang nanti,” Shida memberikan cadangan
- Malam – Atas desakan Rosman, Farisha menghantar satu e-mel kepada Aqram pada malam itu juga, selepas selesai sesi bengkel yang ketiga
- Subuh – Selepas subuh pada hari Ahad, beberapa puluh orang pekerja Soft Lab berkumpul di Port Dickson untuk upacara itu.
Latar Masyarakat
- Masyarakat yang maju dan celik dalam bidang sains dan teknologi
- Masyarakat yang tinggal di bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan teknologi dan pengangkutan
- Masyarakat yang mementingkan kasih dan sayang dalam keluarga – Azraai dan Farisha merupakan adik beradik yang saling menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain
- Masyarakat yang bersaing untuk menunjukkan kemampuan diri – misalnya Medina/ Marilyn dan Karl yang saling bersaing
- Masyarakat yang memegang amanah dan menunaikan janji – Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar yang menjaga Farisha atas amanah Karl
Gaya Bahasa
- Kata pinjaman – Bahasa Inggeris seperti retinal scanner, physical back up
- Personafikasi – hanya bumi dari radio teksi yang menyulam keheningan
- Sinkope – saja, kejap, dah, tak
- Simile – seperti tidak mahu dilepaskan, bagaikan memeberi amaran
- Hiperbola – angkat-angkat kening
- Metafora – dada turun naik, mengangkat bahu
- Kata Ganda – susup-sasap, kedua-dua
Nilai
- Kasih sayang – Hubungan antara Azraai dan Farisha yang menunjukkan kasih dan sayang antara ahli keluarga
- Kebijaksanaan – Farisha merupakan seorang gadis yang bijak dalam teknologi yang menggodam istem komputer.
- Bertanggungjawab – Azraai yang bertanggungjawab menjaga Farisha walaupun bukan keluarga kandung
- Keberanian – Keberanian Aqram yang mendekati Farisha untuk mendapatkan DNA dan mengenalinya demi menyelamatkan Dinara
- Ketabahan – Farisha yang tabah menghadapi pelbagai dugaan sehingga diculik dan dipergunakan oleh ibu dan bapa kandungnya.
Pengajaran
- Kita seharusnya menggunakan kemajuan sains dan teknologi untuk manfaat bersama dan tidak melanggar etika kemanusiaan
- Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita kerana tanpa mereka kita tidak punyai apa-apa
- Kita wajib untuk menunaikan amanah yang diberikan kepada kita kerana jika tidak, nescaya orang tidak akan percaya kepada diri kita
- Kita perlu bersikap tabah dan bersabar dalam menghadapi dugaan hidup agar masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan baik
- Kita sebaiknya mengelak daripada bersikap mementingkan diri sendiri kerana ia akan merugikan dan menyakitkan perasaan orang sekeliling kita.
Latihan
Lengkapkan sinopsis novel ‘Di Sebalik Dinara’ dengan perkataan atau rangkai kata yang sesuai.
Novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor berkisar tentang seorang gadis bernama Farisha yang dikatakan memiliki ciri-ciri keistimewaan kerana mampu menyelamatkan sebuah syarikat komputer yang besar iaitu (a) ____________.
Farisha dan Rosman merupakan rakan kongsi syarikat perunding keselamatan sistem komputer yang dikenali sebagai (b) ____________. Akram berusaha untuk membawa Farisha masuk ke dalam Soft Lab kerana amat memerlukan (c) ____________ Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Kebetulan, rakan serumah Farisha, iaitu (d) ____________ telah ditawarkan sejumlah wang RM40 ribu untuk menulis sebuah rencana dan sebuah buku biografi tentang Dinara.
(e) ____________ sebenarnya hasil kerja Karl dan Medina. Semasa di Soft Lab, Farisha berasa pening kepala. Farisha berada di bawah sedar dan mampu (f) ____________ dengan Karl dalam keadaan tersebut.
Karl telah mereka khas (g) ____________ yang tertanam di tubuh Farisha. Keadaan ini membolehkan Karl menyalurkan (h) ____________ kepada Farisha. Dr. Maxi berjaya menyakinkan Shida agar (i) ____________ tempat Farisha. Dua batang jarum mudah lentur ditusukkan ke tengkuk Shida untuk tujuan bahan uji kaji.
Azraai memberitahu bahawa nama sebenar ibu kandung Farisha ialah (j) ____________ wanita Portugal. Nama ayahnya pula tidak tercatat dalam fail. Azraai segera membawa Farisha keluar dari hospital dan mencari tempat untuk (k) ____________ Farisha. Hal ini demikian kerana ada pihak yang mahu mengancam keselamatan Farisha.
Semasa Shida berada di bawah sedar, Karl terlah (l) ____________ dalam tubuh Shida.
Karl yang menjalankan uji kaji sains telah mengubahkannya menjadi imej baharu. Alia pula memperkenalkan dirinya yang sebenar. Dia menjadi cacat kerana diseksa oleh Karl. Nama sebenarnya ialah (m) _________
tetapi Karl telah (n) _________ menjadi Alia. Medina memberitahu bahawa 30 tahun yang lampau Karl telah mengubah Marilyn menjadi (o) ____________. Karl juga menjadikan Farisha sebagai bahan uji kajinya.
Akram menjelaskan bahawa punca dendam Medina terhadap Karl adalah apabila Karl (p) __________ Medina semasa menjalankan uji kaji.
Akibatnya, Medina menjadi hampir separuh gila. Akram pula membocorkan rahsia dirinya, iaitu dia telah diberikan (q) ____________ yang baharu. Umurnya 60 tahun bukan 30 tahun. Nama asalnya ialah Akeem dan merupakan (r) ____________ kepada Karl. Dia terencat akal. Uji kaji Karl terhadap Akram berjaya.
Tepat jam 7.00 malam, Karl menghembuskan nafasnya yang terakhir. Wasiat Karl adalah agar mayatnya dibakar dan abunya ditabur di Selat Melaka. Upacara menabur abu mayat dilakukan di Port Dickson. Semasa mahu pulang, kejutan berlaku apabila Shida (s) ____________ kata-kata yang pernah diucapkan oleh Karl. Farisha terkesima apabila mengetahui bahawa Karl yang berkata-kata melalui (t) ____________ Shida.
(42 markah)
Pilihan Jawapan:
- mengungkapkan
- Rusmina
- mikrocip
- Secured Shell Sdn. Bhd.
- Soft Lab
- identiti
- Medina
- kepakaran
- Dinara
- Shida
- menyembunyikan
- Rusmina
- berada
- Marilyn
- berkomunikasi
- menggantikan
- adik
- pemikirannya
- menukarnya
- tubuh
- mensabotaj
Semoga perkongsian berkaitan nota Novel di atas dapat membantu pelajar mengulang kaji dan bersedia sebelum menduduki peperiksaan.
Related : meninggalkan agamanya, mengumumkan karl meninggal, melelapkan mata, untuk menjatuhkan, projek dinara, anugerah inovasi peringkat kebangsaan, dr maxi khairul anwar, 20 tahun,