Nota
Novel Bima Sakti Menari : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai & Pengajaran
Melalui Komponen Sastera (KOMSAS), pelajar dikehendaki membaca dan menganalisa pelbagai karya sastera Bahasa Melayu. Bagi menguji tahap penguasaan pelajar terhadap Bahasa Melayu, pelbagai isi tersurat dan tersirat akan disoal dalam peperiksaan. Oleh itu, berikut dikongsikan nota-nota berkaitan Novel Bima Sakti Menari untuk rujukan semua.
Untuk pengetahuan semua, novel ini merupakan karya penulis yang bernama Sri Rahayu Binti Mohd Yusop. Beliau yang menerima pendidikan di Sekolah Tun Fatimah dan Universiti Otago, New Zealand dalam ijazah sarjana muda TESL kini merupakan seorang guru di peringkat sekolah menengah. Karya ini menjadi salah satu novel di dalam KOMSAS Tingkatan 5 kerana ia mengetengahkan penceritaan yang menarik tentang alam sekitar dan pencemaran cahaya.
Isi Kandungan
Sinopsis & Tema Novel Bima Sakti Menari (Komsas Form 5)
Di bawah, pelajar dapat melihat perkongsian nota ringkas Novel Bima Sakti Menari yang terdiri daripada sinopsis, tema, persoalan, watak, latar, nilai dan pengajaran
Baca juga : Cara Daftar Kelas PdPR KPM
Sinopsis
Novel Bima Sakti Menari mengisahkan Nurul Hafsa yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Hafsa dikunjungi oleh pelajar dari Jepun untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap namun gagal kerana langit terlalu cerah. Beliau yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor.
Nurul Hafsa mengambil keputusan untuk melihat sendiri kelip-kelip di Kampung Kuantan. Beliau kecewa kerana tidak banyak kelip-kelip di situ, apatah lagi anak sungainya dipagar untuk menghalang bot atau sampan melaluinya. Budiman mengajak Nurul Hafsa menemui ‘lelaki kelip-kelip’ atau nama sebenarnya Muhammad Taufik yang merupakan pemilik anak sungai tersebut. Muhammad Taufik berbuat demikian agar populasi kelip-kelip tidak terancam. Nurul Hafsa membentangkan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Menteri Besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam. Rancangannya ditentang oleh Dato’ Johann Arlington dan dia mengatur rancangan untuk mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergerakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut.
Berita kemalangan Muhammad Taufik mengejutkan Nurul Hafsa. Ketua Inspektor Lim mengesyaki kemalangan itu dirancang oleh musuhnya. Selepas peristiwa itu, Nurul Hafsa pula menjadi mangsa apabila diculik dan abangnya, Budiman cedera dipukul. Muhammad Taufik cuba membebaskan Nurul Hafsa dengan mengikut arahan penculik untuk berjumpa di stesen minyak Petronas. Nurul Hafsa dibebaskan tetapi Muhammad Taufik pula diculik. Nurul Hafsa cuba menyelamatkan Muhammad Taufik dengan membuat laporan polis di IPD Kuala Selangor. Balai Polis Bestari Jaya menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa terdapat aktiviti bukan perladangan dan pihak polis membentuk Pasukan Gerak Khas. Pasukan ini menyerbu dan berjaya menembak tiga lelaki dan beberapa orang lelaki keluar menyerah diri. Muhammad Taufik diselamatkan oleh Ketua Inspektor Lim.
Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas dengan menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan beliau dan musuh perniagaannya, Dato’ Johann Arlington pula bakal dihadapkan kemuka pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tua Nurul Hafsa.
Tema
Karya penulisan ini mengetengahkan tema kegigihan anak muda dalam usaha untuk melestarikan alam sekitar.
Persoalan
1) Persoalan tanggungjawab terhadap alam sekitar
- Nurul Hafsa dan abangnya Budimanprihatin terhadap pencemaran cahaya yang berlaku di Kuala Selangor dan bersama-sama menyelamatkan Kuala Selangor daripada pembangunan yang tidak terancang
2) Persoalan kebijaksaan dalam menangani masalah
- Nurul Hafsa telah memberikan hujah yang bijak apabila pengunjung tidak dapat melihat bintang pada malam tersebut
3) Persoalan kasih sayang antara ahli keluarga
- Puan Wickham mengambil berat tentang projek Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan oleh anaknya Muhammad Taufik walaupun mereka sukar untuk bertemu
4) Persoalan semangat setia kawan
- Budiman dan Nurul Hafsa mencari Taufik apabila telah dimaklumkan tentang kecederaannya lalu menelefon ambulans untuk membawa taufik ke hospital
5) Persoalan bekerjasama dalam menyiapkan tugasan
- Taufik, Nurul Hafsa, dan Budiman bekerjasama untuk menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Lumpur untuk dibentangkan di hadapan menteri besar dan pegawai lain
Watak Dan Perwatakan
Watak Utama
Nurul Hafsa
- Anak bongsu Haji Yassir dan adik Budiman
- Bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor
- Seorang yang berani
- Seorang yang penyayang
- seorang yang bersikap setia kawan
Muhammad Taufik
- Anak tunggal Tan Sri Muhaimin dan Puan Maryam (Marion Wickham Abdullah)
- Seorang pencinta alam sekitar
- Seorang yang taat kepada ibu dan bapa
- Seorang yang berani
Budiman
- Anak Sulung Haji Yassir abang Nurul hafsa
- Guru Sains di SMK Tanjung Keramat
- Seorang pencinta alam sekitar
- Seorang yang penyayang
Watak Sampingan
Tan Sri Muhaimin
- Bapa kepada Muhammad Taufik
- Seorang yang bertanggungjawab terhadap anaknya walaupun telah bercerai
- Seorang yang bersyukur
Maryam Wickham
- Ibu kepada Muhammad Taufik
- Seorang yang penyayang
Latar
Tempat
- Balai cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor – Sekumpulan pelajar dari Jepun duduk di alas platform melengkung dan mengelilingi kubah balai cerap
- Kampung Kuantan – Nurul Husna bersama ayahnya datang untuk melihat kelip-kelip
- Hospital Besar Tanjung Karang – Taufik menerima rawatan setelah cedera akibat dipukul oleh beberapa orang yang tidak dikenali
- Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor – majlis pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan Puan Maryam
- Pejabat Daerah Kuala Selangor – Nurul Hafsa membentangkan isu pencemaran cahaya dan kesannya terhadap keadaan langit serta populasi kelip-kelip di hadapan pegawai daerah dan panel penasihatnya di dalam bilik mesyuarat
Masa
- Pagi – Budiman yang terjaga pada pukul lima pagi dan tidak dapat melelapkan mata membuat keputusan untuk melawat Taufik di hospital
- Tengahari – Tan Sri Muhaimin makan makanan yang dimasak oleh bekas isterinya dengan berselera tanpa sepatah kata
- Jumaat – Taufik menerima nota daripada penculik yang memintanya datang ke stesen Petronas pada hari Jumaat pukul 8.30 pagi
Masyarakat
1) Masyarakat yang cinta akan alam sekitar – Taufik, Hafsa, Budiman dan Marion Wickham yang mencintai alam sekitar
2) Masyarakat yang terdiri daripada golongan korporat – Dato’ Johann Arlington-Majid dan Tansri Muhaimin merupakan golongan korporat yang terlibat dengan perniagaan berkaitan lampu
3) Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur – Tan Sri Muhaimin berkahwin dengan wanita berbangsa Kaukasia iaitu Maryam @ Marion Wickham Abdullah
4) Masyarakat yang bertanggungjawab – Tan Sri Muhaimin bertanggungjawab kerana menjaga dan membesarkan anak tunggalnya selepas bercerai dengan isterinya Puan Wickham
5) Masyarakat yang berani – Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berani membuat pembentangan cadangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor di hadapan Menteri Besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam
Nilai
- Keberanian – Muhammad Taufik berani bertindak pergi seorang diri selepas mendapat nota untuk menyelamatkan Nurul Hafsa yang telah diculik oleh orang upahan Dato Johann Arlington-Majid
- Kerjasama – Budiman, Hafsa dan Taufik bekerjasama menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor untuk dibentangkan
- Kasih Sayang – Budiman yang sentiasa menemani adiknya Nurul Hafsa
- Tanggungjawab – Budiman bertanggungjawab menemani adiknya Nurul Hafsa untuk berjumpa dengan Muhammad Taufik bagi menjaga hubungan adiknya dengan lelaki bukan mahram walaupun pertemuan mereka untuk berbincang tentang projek Kawasan Simpan Langit Gelap
- Kesyukuran – Haji Yassir bersyukur lalu memeluk Nurul Hafsa dan menangis kegembiraan kerana anaknya itu telah berjaya diselamatkan selepas diculik oleh orang-orang suruhan Dato’ Johann Arlington
Pengajaran
- Kita mestilah mengamalkan ilmu yang dimiliki dengan sebaiknya
- Kita sewajarnya bersikap kerjassama dalam melaksanakan kerja secara berkumpulan
- Kita hendaklah bertanggungjawab dalam menjaga amanah dan menjalankan tugas
- Kita seharusnya bersyukur atas setiap nikmat yang Tuhan kurniakan
- Kita perlulah sentiasa taat kepada perintah ibu dan bapa kita selagi ia tidak melanggar syariat agama dan kemanusiaan
Sekian sahaja perkongsian nota yang berkaitan dengan Novel di atas. Harap ia membantu anda dalam mencari jawapan kepada persoalan yang ditujukan.
Related : sinopsis novel, penculikan nurul hafsa, ayahnya tan sri muhaimin