Karangan

Peranan Keluarga Dalam Mengatasi Masalah Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja

Lazimnya, soalan bagi penulisan karangan Bahasa Melayu akan mengetengahkan isu yang menjadi polemik kepada masyarakat hari ini. Pelajar yang bersikap cakna dan mengambil tahu akan perkembangan semasa berkaitan isu tempatan pasti dapat menjawab soalan yang berkaitan dengan baik. Sebagai panduan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan peranan keluarga dalam mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Soalan yang bertemakan golongan remaja pastinya mudah untuk pelajar menjawab kerana ia berkait dengan kehidupan pelajar secara realiti. Oleh itu, pelajar pasti dapat memberikan idea serta isi-isi penting yang bernas di samping menggunakan gaya bahasa yang pragmatik dalam penulisan karangan masing-masing. Dua perkara yang tersebut dapat menentukan tahap penguasaan bahasa pelajar serta pengetahuan am.

peta minda peranan keluarga mengatasi masalah lumba haram Peranan Keluarga Dalam Mengatasi Masalah Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja

Peranan Keluarga Dalam Menangani Gejala Lumba Haram (Rempit) Dalam Kalangan Remaja

Isi-isi penting

  • Memberi perhatian dan kasih sayang yang cukup
  • Mengawasi aktiviti dan tingkah laku
  • Mendidik ilmu keagamaan dan moral
  • Memastikan mereka dalam persekitaran yang positif
  • Membenarkan penggunaan motor untuk perkara tertentu sahaja
  • Memberikan motivasi dan hala tuju hidup

Baca juga: Kelulusan Diperlukan Untuk Mohon JMTI

Contoh Karangan Peranan Keluarga Dalam Mengatasi Masalah Perlumbaan Haram Dalam Kalangan Remaja

Pendahuluan

Mat rempit merupakan gelaran yang seringkali diberikan kepada mereka yang terlibat dengan perlumbaan haram menggunakan motorsikal. Aktiviti berbahaya ini saban tahun menjadi polemik kepada masyarakat kita dan telah membarah sejak dahulu lagi. Menurut kajian, golongan yang terlibat dengan perlumbaan haram kebanyakan adalah remaja daripada keluarga yang tidak berada. Ketidak mampuan untuk memiliki kenderaan seperti kereta telah menjadikan motorsikal sebagai pengangkutan utama golongan tersebut. Oleh sebab ibu dan bapa sibuk bekerja demi menampung kos menyara keluarga, anak-anak daripada golongan remaja dibiarkan tanpa pengawasan sehingga mereka melibatkan diri dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti perlumbaan haram. Sebagai langkah mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu komuniti, wajar untuk kita bincangkan peranan keluarga dalam mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Isi 1

Setiap di antara kita mempunyai tanggungjawab dan amanah. Ibu dan bapa serta ahli keluarga yang telah dewasa seharusnya memberi perhatian dan kasih sayang yang cukup kepada ahli keluarga yang lebih muda supaya mereka tidak terlibat dengan perlumbaan haram. Jika ditelusuri, golongan remaja yang terlibat dengan kegiatan ini kurang mendapat perhatian daripada ibu dan bapa mereka kerana kekangan masa dan masalah rumah tangga. Bagi melahirkan masyarakat yang prihatin dan sejahtera, kita perlu meluangkan masa bersama ahli keluarga kita bagi memenuhi tuntutan kasih dan sayang sebagai seorang manusia. Apabila kita meluangkan masa bersama anak-anak terutamanya remaja, sesi perkongsian masalah dan luahan cerita daripada anak-anak akan berlaku. Siuasi ini seharusnya menjadi norma setiap keluarga dan secara tidak langsung, hubungan silaturahim akan menjadi lebih akrab. Seandainya ibu dan bapa memberi kasih dan sayang kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh, mereka pasti tidak akan melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membahayakan nyawa mereka.

Isi 2

Peranan lain yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga bagi mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja adalah dengan mengawasi aktiviti dan tingkah laku mereka. Golongan remaja khususnya mempunyai keberanian yang kadang kala disalahguna terhadap perkara yang tidak betul. Mereka telah berani untuk menipu ibu dan bapa atau ahli keluarga yang lain tentang perihal dan aktiviti yang mereka lakukan di waktu senggang. Maka, ahli keluarga berperanan mengawasi aktiviti mereka dengan mengambil tahu ke mana mereka pergi, dengan siapa dan apakah tujuan mereka keluar dari rumah. Sedangkan, pelbagai aktiviti lain yang bermanfaat serta menghiburkan boleh dilakukan di rumah dengan kemudahan Internet serta telefon pintar. Jika mereka bersikap degil, berinteraksilah dengan penuh hikmah untuk menasihati mereka atau bertegas ibarat ugut-ugut beruk sahaja. Anak-anak sebenarnya mewarisi perangai atau ragam ibu dan bapa mereka. Oleh yang demikian, tauladan yang baik hendaklah bermula dari rumah supaya menjadi ikutan para remaja.

Isi 3

Di samping itu, ibu dan bapa seharusnya mendidik ilmu keagamaan dan moral kepada anak-anak sebagai langkah mencegah mereka terhadap perkara-perkara yang tidak diingini seperti menyertai perlumbaan haram. Kebanyakan daripada golongan remaja hari ini terlalu leka dan lalai menghadap telefon pintar untuk mendapatkan hiburan. Perkara ini seharusnya dikawal kerana pada peringkat umur mereka, pendidikan agam dan moral adalah penting bagi membina jati diri yang utuh. Setiap agama menggalakkan amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang memudaratkan. Perlumbaan haram bukan sahaja mengancam nyawa pelumba tersebut tetapi melibatkan semua pengguna jalan raya. Disebabkan kecuaian dan keseronokan mereka berlumba, kemalangan jalan raya berlaku dan meragut nyawa mereka yang tidak bersalah. Akibatnya, pesalah laku akan dipenjara dan mensia-siakan kehidupan mereka. Izharnya, jika golongan remaja mempunyai pegangan agama yang kukuh serta bermoral tinggi, mereka tidak akan melakukan kegiatan haram ini yang mengundang bahaya kepada diri sendiri dan juga orang awam.

Isi 4

Akhir sekali, peranan yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga dalam mengelakkan remaja menyertai atau terlibat dengan perlumbaan haram adalah dengan memastikan mereka dalam persekitaran yang positif. Maksud persekitaran yang positif adalah rakan-rakan yang mereka gaul dan aktiviti yang disertai mereka tidak berkait dengan sebarang kegiatan yang tidak berfaedah. Misalnya, ibu dan bapa boleh menggalakkan golongan remaja ini terlibat secara aktif dalam bidang sukan. Hal ini kerana ia bukan sahaja dapat mengisi masa lapang bahkan memberikan manfaat yang pelbagai. Sekiranya mereka berminat dalam perlumbaan motorsikal, bimbinglah mereka menggunakan saluran yang betul dan sah. Industri sukan permotoran di negara kita juga mempunyai peluang yang banyak sehingga melahirkan pelum bertaraf dunia seperti Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi. Tegasnya, jika minat dan matlamat remaja tersebut dibimbing dan mempunyai persekitaran yang positif, mereka pasti dapat menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan juga negara.

Penutup

Secara tuntasnya, keluarga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah penglibatan golongan remaja dalam perlumbaan haram. Sehingga hari ini, polemik ini masih lagi tidak dibendung dan tiada tindakan yang memberikan impak sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Ibarat melepaskan batuk di tangga. Kita perlu sedar bahawa golongan remaja merupakan golongan yang mempunyai pelbagai potensi demi masa hadapan masyarakat dan negara. Pihak kerajaan perlu bijak mengurus minat dan arah yang ditunjukkan golongan remaja ini supaya ia mendatangkan hasil kepada negara. Tamsilnya, kejayaan industri permotoran Malaysia di persada antarabangsa membuktikan bahawa minat dan bakat boleh diketengahkan dengan baik dan memberi sumbangan kepada negara dalam bentuk pelancongan serta penganjuran perlumbaan bertaraf dunia. Semoga setiap pihak bersepakat mencari mekanisme dalam mengatasi masalah ini dan seterusnya melahirkan generasi yang membawa kemajuan kepada negara.