Karangan

Cara-Cara Mengatasi Amalan Rasuah Di Malaysia

Sejak kebelakangan ini, negara kita digemparkan dengan perilaku rasuah yang berlaku dalam kalangan pemimpin negara sehingga menjadi berita di luar negara. Implikasi daripada gejala rasuah ini akan memburukkan imej negara dan juga kita sebagai rakyat. Berikut dikongsikan contoh karangan Cara-Cara Mengatasi Amalan Rasuah Di Malaysia untuk rujukan semua.

Gejala rasuah ini telah mencemarkan imej negara kerana masyarakat asing beranggapan masyarakat kita memerlukan sogokan atau rasuah untuk menjalankan tugas yang diamanahkan. Oleh itu, setiap di antara kita bertanggungjawab membendung gejala rasuah daripada berlaku supaya imej negara dan diri kita diperbaiki seterusnya mendapat peluang untuk bekerja atau menjalankan urusan berdasarkan merit dan pencapaian kita.

contoh karangan cara cara mengatasi amalan rasuah

Cara-Cara Mengatasi Amalan Rasuah Di Malaysia

Isi isi penting

  • Memberikan pendidikan tentang amalan rasuah
  • Mnguatkuasakan undang-undang
  • Memastikan sektor awam beroperasi dengan jujur, telus dan bertanggungjawab
  • Memberikan gaji yang bertepatan dan bermaruah
  • Menjalankan kempen yang berkesan dan efektif
  • Menjatuhkan hukuman yang berat kepada pemberi dan penerima rasuah

Contoh Karangan Cara-Cara Mengatasi Amalan Rasuah Di Malaysia

Pendahuluan

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kepada tanah air kita kerana mendapat kemerdekaan dan bebas daripada penjajah. Sehingga hari ini, polemik yang sering dibincangkan kerana menganggu-gugat kedaulatan negara adalah mengenai isu perkauman. Tetapi sebaliknya, masyarakat kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk hidup bersama sesiapa sahaja walaupun berlainan bangsa, agama dan budaya lebih-lebih lagi pada era globalisasi ini. Kebanyakan di antara kita cakna dan menerapkan nilai hormat serta toleransi antara satu sama lain. Polemik sebenar yang mengancam kedaulatan negara ini adalah gejala salah laku rasuah. Jelas di kaca televisyen dan media sosial kita dapat melihat gejala ini berlaku di setiap peringkat dan yang menyedihkan adalah rasuah dalam kalangan kakitangan awam. Hal ini kerana mereka menggunakan dana yang sepatutnya dinikmati atau memberi manfaat kepada orang awam. Pepatah Melayu berkata, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Mari kita bincangkan cara-cara mengatasi amalan rasuah di Malaysia untuk membanteras gejala ini serta-merta.

Isi 1

Langkah pertama untuk menghalang salah laku rasuah berlaku di negara ini adalah dengan memberikan pendidikan kepada masyarakat umum tentang amalan rasuah.  Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, rasuah bermaksud pemberian atau sogokan. Secara definisi, Seseorang akan memberi rasuah kepada individu yang berkuasa atau bertanggungjawab dengan harapan untuk mendapat balasan dalam bentuk kerja atau projek. Pemberian hadiah yang bernilai tinggi kepada seseorang yang di luar kemampuannya tetapi mempunyai kelebihan untuk menolong pemberi hadiah tersebut juga dianggap sebagai merasuah. Budaya ini perlu dijelaskan dan diingatkan kepada setiap anggota masyarakat khususnya golongan muda. Walaupun mereka baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tetapi mereka merupakan generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara ini. Sekiranya setiap rakyat mampu menilai sama ada sesuatu tindakan itu dianggap sebagai rasuah atau tidak, barulah budaya atau amalan rasuah dinegara ini dapat ditindas sehingga ke akar umbi.

Isi 2

Selaras dengan langkah yang diusahakan di atas, amalan rasuah dapat dibanteras dengan pelaksanaan undang-undang dan hukuman yang tegas. Umum mengetahui kita mempunyai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penguatkuasa yang memantau dan bertindak ke atas salah laku yang melibatkan rasuah. Namun, keterbatasan jumlah pegawai dan sumber untuk mereka menguatkuasakan undang-undang adalah terhad maka kita sebagai orang awam juga bertanggungjawab menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa. Selain itu, Badan Kehakiman Negara juga perlu memastikan perbicaraan yang melibatkan rasuah dilaksanakan dengan pantas dan adil supaya pelaku rasuah tidak bebas untuk memutar-belitkan kenyataan dan mengubah salah laku mereka. Jika pelaku rasuah dibicarakan dengan pantas dan dihukum untuk menjalani hukuman penjara tanpa sebarang prejudis, nescaya ramai yang akan menjauhi amalan buruk ini. Persis kata peribahasa, menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jelas bahawa dengan melaksanakan undang-undang dan hukuman yang tegas, amalan rasuah dapat dibanteras secara menyeluruh.

Isi 3

Kaedah lain untuk membendung gejala rasuah di negara kita adalah dengan memastikan sektor awam beroperasi secara jujur, telus dan bertanggungjawab.  Dalam sesebuah organisasi, pengurus merupakan jawatan yang paling penting untuk menguruskan tugas organisasi tersebut dan menjadi contoh kepada pekerja yang lain. Begitu juga dengan sektor awam di negara kita di mana jika pentadbiran negara dilaksanakan dengan baik dan menyingkirkan mereka yang parasit seperti mengamalkan gejala rasuah, pasti sektor lain akan turut serta. Tamsilnya, kes yang berlaku dalam kalangan kakitangan kerajaan, menyerahkan projek kepada mereka yang melobi harga yang paling tinggi dan bukan berdasarkan kemampuan sebuah syarikat tersebut. Hasilnya, projek disiapkan pada kos yang minima kerana berlaku banyak serahan kerja dan orang awam hanya mendapat infrastruktur yang ala kadar. Situasi ini sepatutnya boleh dielakkan jika kakitangan awam terutamanya pemimpin negara melantik syarikat yang mempunyai merit serta rekod yang baik. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Isi 4

Amalan rasuah juga boleh diatasi dengan menawarkan gaji yang bertepatan dan bermaruah untuk semua ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana jika kita mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk menampung keperluan dan kehendak diri serta keluarga, keinginan untuk menerima rasuah pasti dapat dielakkan. Sebagai individu dan keluarga, kita akan berasa gembira kerana keperluan dan kemahuan kita dipenuhi tanpa perlu melakukan perkara yang terlarang. Sebagai contoh, anggota polis yang ditugaskan menjaga keselamatan masyarakat awam hanya dibayar gaji yang cukup untuk diri dan keluarga kecil serta menetap di kuarters yang kecil dan uzur. Mereka mudah untuk disogok oleh pihak lain yang tidak bertangungjawab demi mendapatkan wang lebihan.  Kesannya, jenayah boleh disembunyikan dan aktiviti terlarang boleh berleluasa. Contoh ini bukan menyapu rata semua anggota polis tapi sekadar contoh bahawa wang boleh membeli intergriti seseorang. Tegasnya, dengan membayar gaji yang bertepatan dan bermaruah, gejala rasuah pasti dapat diatasi.

Penutup

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh diadaptasi di negara kita untuk membendung gejala rasuah yang semakin membarah. Masyarakat umum perlu sentiasa diingatkan supaya tidak terjebak dengan gejala ini kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Pemberi dan penerima rasuah wajar dihukum dengan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai. Semoga setiap di antara kita menjalankan obligasi masing-masing khususnya penguatkuasa agar polemik ini diselesaikan dengan cepat. Kesannya, masyarakat kita akan bertambah intergriti dan dipercayai oleh negara asing untuk menjalankan urusan dan perihal-perihal lain yang boleh meningkatkan imej negara di persada dunia

Related : langkah untuk, perlu dilakukan,