Karangan

Kebaikan Mengamalkan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

Panduan buat para pelajar yang akan mengambil peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Adakah anda kekurangan idea atau isi-isi penting yang menarik untuk digunakan dalam huraian penulisan karangan Bahasa Melayu? Sekiranya ya, berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan makanan seimbang kepada tubuh badan sebagai rujukan untuk pelajar.

Penulisan karangan yang cemerlang lazimnya merangkumi pendahuluan yang menangkap minat pembaca, isi-isi penting yang tepat dan penutup yang merumuskan penulisan karangan dengan baik. Selain itu, penggunaan tatabahasa dan frasa menarik seperti penanda wacana serta peribahasa adalah digalakkan untuk pelajar gunakan dalam penulisan karangan masing-masing.

peta minda kepentingan makanan seimbang kepada tubuh badan Kebaikan Mengamalkan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

Kebaikan Dan Kepentingan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

Isi-isi penting

  • Membekalkan zat dan nutrien yang cukup
  • Mengurangkan risiko menghadapi penyakit
  • Memberikan kesihatan mental yang stabil
  • Meningkatkan kecantikan rupa paras
  • Mampu mengawal kadar obesiti
  • Membantu pembesaran fizikal yang lebih sempurna

Baca juga: Contoh-Contoh Karangan SPM Bahasa Melayu Terbaik

Contoh Karangan Kepentingan Makanan Seimbang Kepada Tubuh Badan

Pendahuluan

Pengambilan makanan seimbang adalah diet atau corak pemakanan yang mengutamakan jenis-jenis makanan tertentu di mana kandungan yang berkhasiat menjadi elemen utama dalam pemakanan seseorang. Amalan ini sering kali diwar-warkan oleh pakar kesihatan bagi menggalakkan setiap ahli masyarakat mempraktikkan pemakanan yang betul dalam rutin harian. Berdasarkan statistik melalui Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2015 menunjukkan Malaysia telah menjadi sebuah negara obes, di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Senario ini mungkin akan berterusan dengan perkembangan industri makanan segera di Malaysia dan gimik penjualan makanan secara tular di mana kesihatan menjadi perkara yang semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Justeru, diat ini adalah salah satu usaha yang boleh diketengahkan bagi melonjak semula kesihatan rakyat secara am. Persoalannya, apakah kepentingan makanan seimbang kepada tubuh badan kita?

Isi 1

Makanan yang seimbang adalah mustahak kerana ia membekalkan zat dan nutrien yang berkhasiat untuk tumbesaran tubuh badan manusia. Tubuh kita merupakan organisma yang memerlukan zat dan nutrien yang cukup bagi menjalankan fungsi-fungsi organ. Seterusnya dapat membantu penghasilan tenaga, pembuangan sisa toksik dalam badan dan pelbagai lagi fungsi lain. Tamsilnya, pengambilan diet yang mengandungi produk tenusu seperti susu dan keju dapat menambah penghasilan kalsium dalam badan dan menguatkan tulang dan gigi manusia. Zat besi yang terkandung dalam daging dan juga sayur bayam misalnya dapat memastikan sistem peredaran darah dalam tubuh menjadi lebih efisien dan befungsi dengan lancar. Oleh itu, golongan kanak-kanak seharusnya mengamalkan pemakanan yang betul agar zat dan nutrien yang optimum dapat dinikmati dan tumbesaran fizikal menjadi lebih baik.

Isi 2

Selain itu, ianya penting bagi mengurangkan risiko seseorang daripada menghidapi penyakit-penyakit yang berbahaya. Kebanyakan di antara kita gemar memakan makanan segera dan makanan ringan yang tidak berkhasiat tetapi sedap di tekak. Untuk makluman semua, makanan ini mengandungi kolesterol, garam, gula dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan ringan atau segera, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti, diabetes, hipertensi dan juga strok. Justeru, pemakanan cara betul yang menetapkan kuantiti jenis makanan yang wajar untuk kita ambil dapat mengelakkan kita daripada menghidapi penyakit malah meningkatkan tahap kesihatan diri secara langsung. Bak kata peribahasa Melayu, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna. Pakar kesihatan telah pun memperkenalkan piramid makanan sebagai panduan kepada semua dalam merencana pemakanan yang seimbang. Kini ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengamalkan diet sihat ini supaya manfaatnya dapat dinikmati bersama.

Isi 3

Dalam masa yang sama, amalan ini dapat memberikan kesihatan mental yang stabil serta perkembangan memori yang lebih cekap dan berkesan. Terdapat frasa yang menyatakan bahawa apa yang kita makan akan menjadi darah dan daging kita kerana secara analoginya, jika kita mengambil makanan yang baik maka baiklah fizikal dan mental kita. Berdasarkan kajian saintifik, otak manusia adalah pusat kawalan seluruh sistem badan yang dipengaruhi oleh nutrien-nutrien yang terdapat dalam diet kita. Mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran impuls dalam sistem saraf badan kita. Intihannya, pemakanan sedikit sebanyak mempengaruhi pembentukan diri secara fizikal dan mental seseorang. Persis kata mutiara daripada Imam As Syafie bahawa makan secara berlebihan atau tidak berkhasiat membuatkan badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah.

Isi 4

Akhir sekali, pemakanan yang betul amat penting untuk diamalkan oleh setiap individu kerana ia membantu meningkatkan kecantikan rupa paras. Dalam zaman yang mengutamakan imej dan penampilan mutakhir ini, anda boleh mendapatkan rupa paras yang diidam-idamkan hanya dengan mengamalkan diet yang betul. Realitinya, masyarakat di Malaysia mudah terpedaya dengan produk kosmetik dan makanan tambahan yang menggunakan taktik penjualan penuh helah demi mendapatkan keuntungan. Hasilnya, ramai yang menderita dek kerana kesan sampingan yang diperoleh akibat mengambil produk yang tidak melepasi saranan Kementerian Kesihatan. Situasi ini menjadi bukti bahawa masyarakat kita mementingkan kecantikan rupa paras dan mudah untuk mengambil jalan pintas dengan mengambil produk makanan tambahan. Izharnya, amalan ini membantu meningkatkan ketrampilan diri tanpa sebarang kesan sampingan dan ianya lebih mudah untuk didapati berbanding produk makanan tambahan yang memerlukan kos yang lebih banyak.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kepentingan yang akan diperoleh dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Mungkin anda tidak sedar dalam jangka masa pendek tetapi jika diamalkan secara konsisten pada jangka masa panjang, ia akan meninggalkan kesan yang lebih holistik kepada diri kita khasnya dari sudut kesihatan. Semoga masyarakat kita sedar bahawa penjagaan kesihatan hendaklah diutamakan kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat. Pihak kerajaan pula seharusnya melaksanakan kempen yang lebih berkesan secara meluas supaya setiap golongan masyarakat mendapat didikan yang betul dan cara yang tepat untuk mengamalkannya demi menghasilkan komuniti yang sihat dan sejahtera. Diharapkan inisiatif yang dirancang mendapat kerjasama dan sambutan daripada rakyat supaya aspirasi menjadikan negara kita negara yang sihat dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

Related :