Karangan

Langkah-Langkah Persediaan Melanjutkan Pelajaran ke IPT

Variasi tajuk soalan karangan bahasa Melayu yang diberikan kepada para pelajar di sekolah. Oleh itu, pelajar perlu sentiasa mencari rujukan dan contoh-contoh karangan sebagai persediaan dalam menjawab soalan penulisan karangan bahasa Melayu. Berikut adalah contoh karangan langkah-langkah persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT untuk rujukan pelajar-pelajar.

Pemberian isi-isi penting dalam penulisan karangan secara seimbang akan membantu pelajar untuk mendapatkan markah yang baik dan cemerlang. Bimbingan dan panduan daripada guru masing-masing juga mustahak dalam memastikan pelajar tidak melakukan kesilapan dalam menjawab soalan. Selain itu, penggunaan frasa-frasa menarik dan peribahasa juga menambah daya penarik kepada penulisan karangan para pelajar.

Langkah-Langkah Persediaan Pelajar Untuk Melanjutkan Pelajaran ke IPT (Institusi Pengajian Tinggi)

peta minda melanjutkan pelajaran ke ipt Langkah-Langkah Persediaan Melanjutkan Pelajaran ke IPT

Isi-isi penting

  • memilih kursus yang diminati dan sesuai
  • menganalisis pasaran kerja yang terkini
  • memastikan dana yang cukup
  • memperlengkap diri dalam aspek seperti kelayakan akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum
  • melihat kredibiliti dan keboleh pasaran graduan IPT yang dipilih
  • menghadiri ceramah atau syarahan oleh graduan IPT berkaitan dengan melanjutkan pelajaran

Baca juga: Permohonan Kemasukan Ke UA, Politeknik, IPG, Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti & ILKA

Contoh Karangan Langkah-Langkah Persediaan Melanjutkan Pelajaran ke IPT

Pendahuluan

Pada zaman pascakemerdekaan ini, ia merupakan impian seseorang individu untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Mutakhir ini, impian tersebut merupakan realiti yang menjadi lumrah dek kerana lambakan IPT samada awam mahupun swasta telah dibangunkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Rentetan itu, ramai lepasan sekolah menengah berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat dalam IPT kerana mereka dijanjikan pekerjaan dan pendapatan yang stabil sekiranya mempunyai sijil ijazah apabila melangkah masuk ke alam pekerjaan kelak. Namun begitu, negara kita tidak bersedia dengan baik dan menyebabkan pengangguran lepasan IPT ini bertambah. Oleh itu, pelajar-pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran seharusnya mengenal pasti langkah persediaan sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT.

Isi 1

Langkah pertama adalah dengan memilih kursus atau bidang pelajaran yang diminati dan sesuai dengan pelajar. Langkah ini penting disebabkan ramai di antara pelajar yang tidak berjaya menghabiskan pengajian mereka kerana mereka tidak berminat akan kursus yang diambil. Perkara ini adalah mustahak kerana dengan minat, ia akan membantu para pelajar untuk fokus dan lebih menghayati atau mendalami subjek-subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, pelajar lebih meminati bidang kesenian tetapi mengambil jurusan kejuruteraan maka ia memerlukan usaha yang lebih bagi pelajar tersebut untuk melepasi ujian dan mendapatkan ijazah. Pelajar perlu lebih mengenali diri dan kemampuan masing-masing agar tidak mensia-siakan masa dan peluang apabila melanjutkan pelajaran kelak. Ibu bapa dan keluarga seharusnya memberi sokongan moral kepada ahli keluarga yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang pilihan mereka demi kebaikan  bersama di masa hadapan.

Isi 2

Selain itu, pelajar juga perlu bertindak rasional dalam membuat keputusan yang menentukan masa hadapan pelajar-pelajar. Sebelum memohon untuk melanjutkan pelajaran pelajar hendaklah menganalisis pasaran kerja yang terkini supaya jurusan yang diambil oleh para pelajar menjanjikan peluang pekerjaan sejurus selepas menamatkan pengajian. Kita boleh menyaksikan hari ini bahawa kadar pengangguran graduan lepasan IPT semakin tinggi dan membimbangkan. Ramai dalam kalangan mereka terpaksa lari daripada bidang pelajaran mereka untuk mencari pekerjaan dek kerana tekanan ekonomi hari ini. Justeru, pelajar yang baru berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dinasihatkan supaya memilih jurusan yang sejajar dengan permintaan ekonomi negara khususnya dan dunia amnya. Revolusi Industri 4.0 yang menjadi polemik negara hari ini harus disokong oleh pelajar dengan memilih bidang teknologi dan kemahiran yang menjamin pengajian pelajar di peringkat tinggi merupakan tindakan yang tidak sia-sia.

Isi 3

Langkah seterusnya dalam persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT adalah dengan memastikan pelajar mempunyai dana yang cukup. Kita tidak boleh menafikan dana yang banyak diperlukan apabila melanjutkan pelajaran ke IPT. Kos-kos seperti yuran pengajian, yuran asrama dan duit belanja untuk makan dan minum harus ditanggung pelajar sepanjang tempoh pengajian di IPT. Namun begitu pelbagai inisiatif boleh dilakukan oleh para pelajar untuk mendapat suntikan bantuan dalam bentuk kewangan apabila melanjutkan pelajaran. Permohonan biasiswa adalah alternatif terbaik dalam memastikan pelajar dapat menyelesaikan yuran pengajian di samping mendapat keputusan yang terbaik dalam pengajian masing-masing sebagai syarat untuk mendapatkan tajaan biasiswa. Bukan sahaja dapat melangsaikan hutang pengajian tanpa perlu mengeluarkan duit sendiri malahan pelajar berpeluang besar dalam alam pekerjaan kerana diiktiraf sebagai penerima penajaan biasiswa.

Isi 4

Dalam pada itu, langkah utama yang perlu digarap oleh para pelajar adalah dengan memperlengkap diri dalam aspek seperti kelayakan akademik dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Ini merupakan syarat umum bagi seorang pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Jika para pelajar berminat untuk menjadi seorang yang bekerja dalam golongan profesional seperti doktor, arkitek, mahupun penjawat awam kerajaan, pelajar perlu mempunyai kelayakan akademik yang terbaik dan cemerlang kerana ia menunjukkan kemampuan diri para pelajar dalam mempelajari sesuatu dan kesungguhan yang dimiliki. Penglibatan yang aktif dalam kokurikulum pula mencerminkan keperibadian pelajar-pelajar. Syarat-syarat ini penting bagi IPT dan majikan diwaktu kelak untuk menilai kebolehan dan nilai unik yang terdapat dalam diri pelajar masing-masing. Intihannya, pelajar hendaklah sentiasa menambah nilai kemahiran diri dalam pelbagai aspek supaya kelak menjadi nilai yang berguna dalam mengejar cita-cita.

Penutup

Secara tuntas, kita dapat lihat langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelajar dalam persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT. Persediaan fizikal dan mental merupakan persediaan yang paling asas yang juga mustahak untuk dipastikan oleh pelajar apabila melanjutkan pelajaran supaya tidak menghadapi kejutan budaya dan berputus asa dalam mengejar cita-cita yang mulia ini. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya menggabung jalinkan elemen dalam memastikan pelajar berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan seterusnya berjaya mendapatkan pekerjaan sejurus tamat pengajian di IPT. Pelajar perlu dibimbing oleh ibu bapa dan guru dalam melakukan pilihan terbaik supaya mereka dapat menambahkan potensi diri mereka dan kemudian menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negara di masa hadapan. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu yakni, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.