Karangan
Langkah Mengatasi Vandalisme Dalam Kalangan Remaja & Pelajar
Adakah anda mencari contoh penulisan karangan Bahasa Melayu secara atas talian? Sekiranya ya, anda seharusnya merujuk contoh tersebut bagi mengetahui idea atau isi-isi penting yang berkaitan dengan soalan yang anda inginkan dan bukannya meniru secara bulat-bulat. Sebagai rujukan kepada pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah mengatasi vandalisme dalam kalangan remaja.
Polemik ini selalunya dijadikan tajuk soalan penulisan karangan supaya menjadi iktibar kepada para pelajar. Selain dapat menguji kemampuan pelajar terhadap penguasaan Bahasa Melayu, pembelajaran dalam bentuk pengajaran juga akan diperoleh daripada para pelajar sekiranya berjaya menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang.
Isi Kandungan
Usaha-Usaha Menangani Gejala Vandalisme Dalam Kalangan Remaja/ Pelajar
Isi-isi penting
- Mengenal pasti punca berlakunya vandalisme
- Setiap orang menjadi mata pihak berkuasa
- Menyediakan ruang khas untuk remaja berkarya
- Menguatkuasakan denda kepada pesalah laku
- Menggalakkan penglibatan remaja dalam aktiviti luar bilik darjah
- Peranan media massa menunjukkan tauladan terbaik
Baca juga: Faedah Pelajar Membawal Bekal Ke Sekolah
Contoh Karangan Langkah-Langkah Mengatasi Vandalisme Dalam Kalangan Remaja
Pendahuluan
Vandalisme boleh didefinisikan sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Mutakhir ini, masalah vandalisme semakin berleluasa dalam kalangan remaja sama ada di sekolah mahupun di tempat-tempat awam. Berdasarkan kenyataan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar di sekolah adalah vandalisme. Pelajar merupakan remaja yang mudah terpengaruh dan sukar untuk menerima nasihat ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Salah laku vandalisme yang merosakkan harta benda awam bukan sahaja merugikan pelbagai pihak malah memburukkan imej masyarakat dan juga negara terhadap sikap golongan remaja. Sebagai langkah mencari solusi kepada masalah yang membelunggu generasi masa hadapan negara, wajar untuk kita bincangkan langkah-langkah mengatasi vandalisme dalam kalangan remaja.
Isi 1
Prakarsa utama dalam menyelesaikan masalah vandalisme dalam kalangan remaja adalah dengan mengenal pasti punca berlakunya kegiatan salah laku ini. Perbuatan merosakkan harta benda awam sama ada di sekolah mahupun di tempat-tempat awam sering berlaku kerana golongan remaja ingin melepaskan geram atau amarah terhadap sesuatu perkara yang mereka hadapi. Sifat memberontak yang timbul dalam kalangan mereka pastinya berpunca daripada tekanan hidup sehingga menenggelamkan sifat-sifat mahmudah yang pernah mereka amalkan. Tetapi terdapat juga segelintir remaja yang hanya melakukan vandalisme kerana berasa seronok dan terpengaruh dengan aksi yang ditayangkan di media sosial mahupun televisyen. Justeru, adalah mustahak untuk pihak sekolah ataupun pihak berkuasa mendekati golongan ini dan berinteraksi dengan hemah bersama mereka dalam mengenal pasti punca kepada perilaku mereka. Jika mereka mempunyai masalah dalaman keluarga, pihak sekolah boleh menawarkan perkhidmatan kaunseling sebagai langkah untuk memastikan mereka tidak berasa tertekan dan mengulangi perbuatan vandalisme.
Isi 2
Langkah seterusnya bagi mengatasi masalah vandalisme adalah setiap orang berperanan menjadi mata kepada pihak berkuasa atau pihak sekolah. Bagi menangkap mereka yang melakukan kesalahan, kita memerlukan bukti yang kukuh dan saksi merupakan salah satu cara untuk mengesahkan perilaku pesalah. Seandainya anda sedang melalui sebuah kawasan dan terlihat perbuatan vandalisme, anda seharusnya melaporkannya kepada pihak berkuasa jika di tempat awam atau kepada guru jika berada di sekolah. Mereka yang melakukan kegiatan ini selalunya bertindak ketika tiada mata yang memerhati kerana mereka sedar bahawa perilaku tersebut adalah salah dan hanya mendatangkan keburukan. Setelah melaporkan kegiatan vandalisme yang berlaku, pihak berkuasa atau guru hendaklah menggunakan hemah dalam menangkap pesalah kerana mereka merupakan remaja yang berumur setahun jagung. Sebagai seorang dewasa, guru atau pihak berkuasa seharusnya menunjukkan bahawa untuk melepaskan geram atau menangkap pesalah tidak semestinya menggunakan kekerasan. Sebaliknya, dengan cara komunikasi yang betul dan pemahaman terhadap situasi pesalah laku tersebut. Tegasnya, semua ahli masyarakat perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaporkan kegiatan vandalisme ke pihak berkuasa agar masalah yang membelenggu golongan remaja ini dapat dibendung.
Isi 3
Di samping itu, langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi vandalisme dalam kalangan remaja adalah dengan menyediakan ruang khas untuk mereka berkarya atau melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Kebanyakan daripada pelaku vandalisme melakukan kegiatan ini di waktu lapang mereka. Oleh itu, jika pihak kerajaan prihatin dalam memastikan golongan remaja negara ini menjadi generasi yang berguna kepadad masyarakat, mereka seharusnya menyediakan infrastruktur atau kemudahan yang boleh digunakan oleh golongan remaja. Sebagai contoh, gelanggang sukan yang percuma dan diselenggara dengan baik dapat memberikan akses yang mudah kepada golongan remaja mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan. Jika dilihat pada sudut yang berlainan, terdapat di antara mereka yang mempunyai nilai kreativiti yang baik apabila melakukan vandalisme yang berbentuk contengan atau lukisan. Sekiranya kreativiti ini disalurkan ke arah yang betul ia akan mendatangkan keuntungan bukan sahaja kepada diri mereka sendiri malahan kepada industri kreatif tempatan. Jika inisiatif ini berjaya diusahakan ia ibarat sampan sudah di air, dayung sudah di tangan bagi golongan remaja. Kini ianya bergantung kepada diri mereka untuk mendapatkan manfaat yang sepatutnya atau hanya membuang masa yang sia-sia.
Isi 4
Setelah melaksanakan langkah-langkah di atas, pihak berkuasa seharusnya menguatkuasakan peraturan dan mengenakan hukuman denda kepada pesalah laku vandalisme. Hal ini demikian kerana segala ruang untuk para remaja telah diberikan dan perkara yang salah adalah tetap salah. Dengan memperketatkan undang-undang, golongan remaja akan berasa takut untuk melakukan kegiatan vandalisme kerana ia bakal meninggalkan kesan buruk kepada mereka dan juga nama keluarga masing-masing. Pesalah laku boleh dikategorikan sebagai pesalah juvenil di mana mereka yang melakukan jenayah di bawah umur 18 akan dipanggil gelaran tersebut. Situasi ini bukan sahaja memberikan stigma buruk kepada mereka malah akan menjejaskan masa hadapan mereka apabila ingin bekerjaya nanti. Selain itu, Pihak berkuasa pula janganlah bersikap seperti hangat-hangat tahi ayam dalam menghukum mereka yang bersalah. Hal ini adalah supaya undang-undang menjadi teras pembentukan masyarakat yang adil dan saksama. Kesannya, golongan remaja tidak mempunyai keberanian untuk melakukan kegiatan vandalisme seterusnya dapat membanteras individu yang bersikap melempar batu kemudian sembunyi tangan.
Penutup
Sebagai konklusi kepada perbincangan di atas, pelbagai langkah boleh digarap untuk memastikan masalah vandalisme dalam kalangan remaja dapat diatasi. Ibu dan bapa mempunyai perana yang besar dalam mendidik anak-anak ke arah kebaikan kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Pastinya dengan bimbingan, kata-kata nasihat serta kasih sayang yang diberikan oleh ibu dan bapa dapat melahirkan anak-anak yang mendengar kata dan bersifat baik. Bagi membentuk keperibadian seseorang, ia hendaklah dibentuk di peringkat awal khususnya pada lingkaran umur remaja. Persis peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, setiap pihak perlu menjalankan peranan masing-masing dalam membantu golongan remaja menghadapi badai kehidupan mereka dan seterusnya membimbing mereka ke arah kejayaan yang memberikan manfaat kepada manusia sejagat.
Related : telefon awam untuk membina berganding bahu untuk mengatasi masalah generasi muda imej negara ibu bapa perlu penguatkuasaan undang undang meningkatkan kesedaran