Karangan
Punca Dan Langkah Menangani Jenayah Ragut Di Malaysia
Sebagai seorang pelajar yang merupakan warganegara Malaysia, mata pelajaran Bahasa Melayu pastinya menjadi subjek yang mudah untuk dijawab. Namun, ramai dalam kalangan pelajar mengalami kesulitan untuk menjawab soalan yang melibatkan penulisan karangan. Oleh itu, berikut adalah contoh karangan langkah-langkah menangani jenayah ragut di Malaysia sebagai rujukan untuk semua.
Penulisan karangan yang bertemakan kemasyarakatan dan negara sering kali dijadikan pilihan soalan. Oleh itu, pelajar perlu melakukan latihan tambahan bagi membiasakan diri menjawab soalan yang berkaitan dengan tema ini. Selain itu, penambahan frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana adalah digalakkan bagi menambah elemen bahasa Melayu untuk menghuraikan penulisan yang dikarang oleh pelajar.
Isi Kandungan
Cara Membendung Dan Langkah Menangani Jenayah Ragut Di Malaysia
Isi-isi penting
- memberikan kesedaran umum kepada masyarakat
- menguatkuasakan undang-undang
- menambah baik ciri-ciri keselamatan bandar
- mempelajari seni pertahan diri
- meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan
- bersederhana dan tidak menayangkan kemewahan di khalayak awam
Baca juga: Senarai Kesalahan Ejaan Dan Imbuhan Bahasa Melayu
Contoh Karangan Langkah-Langkah Menangani Jenayah Ragut Di Malaysia
Pendahuluan
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan kerancakan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri. Antaranya adalah jenayah ragut yang sering kali menjadi tajuk berita di siaran televisyen mahupun di dada akhbar. Jenayah ragut di Malaysia kebanyakannya menggunakan modus operandi yang sama iaitu mensasarkan golongan yang lemah seperti wanita dan warga emas dan menggunakan motorsikal untuk meragut dan beredar dengan pantas. Perbuatan jijik dan tidak bermaruah ini mungkin berleluasa akibat pengaruh dadah dan masalah sosial lain yang mempengaruhi penjenayah untuk melakukan jenayah ragut. Bagi membendung perkara ini daripada menjadi semakin teruk dan melindungi golongan yang berpotensi menjadi mangsa, kita perlu mengenal pasti langkah-langkah untuk menangani jenayah ragut di Malaysia.
Isi 1
Langkah pertama yang perlu diusahakan adalah memberikan kesedaran umum kepada masyarakat tentang jenayah ragut. Kementerian Komunikasi Dan Multimedia perlu bekerjasama dengan penerbit-penerbit tempatan dalam media cetak, digital dan sosial untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang aktiviti yang tidak bermoral ini. Misalnya, tayangan iklan kesedaran yang menunjukkan situasi yang berpotensi menjadi sasaran mudah kepada pelaku jenayah untuk meragut mangsa. Selain itu, stesen radio boleh membuat pesanan khidmat masyarakat secara berkala bagi memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan ancaman penjenayah. Di media sosial pula, golongan selebriti boleh menunjukkan tauladan yang baik kepada peminat mereka dengan sentiasa berhati-hati dan bersikap sederhana di khalayak ramai bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah. Kesannya, setiap golongan masyarakat sedar dan berwaspada dengan penjenayah sekiranya kempen kesedaran yang efektif dilaksanakan dengan konsisten.
Isi 2
Dalam waktu yang sama, pihak berkuasa juga sewajarnya menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku jenayah ragut. Hal ini demikian kerana jenayah ragut telah mengakibatkan mangsa cedera parah dan kehilangan nyawa. Peragut yang berjaya ditangkap akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 392 hingga Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Peragut juga sepatutnya membayar kerugian yang dihadapi mangsa akibat perlakuan penjenayah tersebut. Justifikasinya adalah kerana terdapat kes yang meragut nyawa insan yang merupakan punca rezeki sesebuah keluarga dan akibat daripada perlakuan jenayah ragut tersebut, keluarga yang terkesan terpaksa menghadapi kesukaran mencari rezeki baharu. Tambahan pula, terdapat mangsa yang trauma untuk menjalani kehidupan biasa mereka selepas diragut dengan kasar dan membahayakan. Justeru, pelaku jenayah ragut sewajarnya dihukum dengan adil dengan menanggung segala kerugian yang berlaku kepada mangsa akibat perbuatan kotor mereka.
Isi 3
Statistik menunjukkan bahawa kes jenayah ragut kebanyakannya berlaku di kawasan bandar. Hal ini disebabkan oleh kepadatan penduduk dan terdapat golongan yang menghadapi desakan hidup seterusnya memilih untuk melakukan jenayah sebagai jalan penyelesaian. Perkara ini boleh dibendung sekiranya ciri-ciri keselamatan di setiap kawasan dipertingkatkan. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dapat membantu pihak berkuasa dalam memantau dan menjadi bahan bukti sekiranya perlakuan jenayah dapat dirakam oleh kamera yang dipasang. Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah melaksanakan konsep bandar selamat dengan mengasingkan laluan pejalan kaki dengan laluan motor, memasang lampu limpah di kawasan yang gelap dan terhalang daripada pandangan awam serta membersihkan kawasan semak-samun yang menjadi kawasan persembunyian penjenayah. Dengan kesempatan teknologi hari ini, setiap ahli masyarakat juga seharusnya memuat turun aplikasi kecemasan di telefon pintar masing-masing sebagai salah satu cara menjaga keselamatan daripada ancaman penjenayah. Intihannya, bandar yang selamat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan bahagia.
Isi 4
Langkah lain yang boleh dilakukan bagi menangani jenayah ragut adalah dengan mempelajari seni mempertahankan diri. Kaedah ini bukan sahaja dapat melindungi diri kita daripada jenayah ragut tetapi juga jenayah lain yang melibatkan pergelutan secara fizikal. Dengan mempelajari seni mempertahankan diri, kita akan mendapat ilmu bagaimana cara untuk bertindak sekiranya diragut oleh penjenayah. Ia secara tidak langsung akan mempengaruhi tindakan kita terhadap penjenayah dan mengurangkan risiko kecederaan terhadap diri sendiri. Di alam maya juga telah tular video-video yang menunjukkan cara sekiranya kita berhadapan dengan peragut yang mensasarkan beg atau barang kemas yang dipakai. Peribahasa Melayu ada berkata, sediakan payung sebelum hujan yang bermaksud kita seelok-eloknya membuat persediaan atau persiapan yang baik sebelum menghadapi suatu musibah atau dugaan. Pihak berkuasa boleh menaja kelas mempertahankan diri bagi golongan yang berpotensi seperti golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas dalam usaha melawan aktiviti jenayah ragut dan jenayah lain dalam negara.
Penutup
Tuntasnya, banyak langkah yang boleh dilaksanakan bagi menangani jenayah ragut di Malaysia. Sebelum nasi menjadi bubur, mekanisme kawalan yang drastik perlu diimplementasikan bagi menjamin kesejahteraan orang-orang awam. Setiap pihak seharusnya mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing dan tidak bersikap berpeluk tubuh dalam usaha memerangi aktiviti jenayah dalam negara. Imej negara pernah dicalarkan oleh ahli politik yang mengamalkan korupsi dalam pentadbiran negara. Kita tidak boleh biarkan imej negara dijatuhkan sekali lagi akibat kegagalan membendung jenayah yang berpunca daripada masyarakat kita sendiri. Semoga perjuangan kita dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara menjadi contoh kepada negara lain yang memerangi musuh yang sama.