Karangan
Langkah Mengatasi Masalah Ponteng Sekolah Di Kalangan Pelajar
Ponteng merupakan suatu perbuatan yang sinonim dan dekat dengan pelajar-pelajar di sekolah. Topik sebegini sesuai untuk dijadikan tajuk soalan karangan Bahasa Melayu kerana pelajar mampu memberikan isi-isi penting yang berkaitan dan juga bernas. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah membanteras gejala ponteng dalam kalangan pelajar untuk panduan semua.
Penuliasan karangan Bahasa Melayu menguji kebolehan pelajar untuk mengaitkan tajuk soalan karangan dengan penggunaan bahasa pelajar. Maka, pelajar perlu menguasai tatabahasa, penggunaan bahasa dan mengetahui frasa-frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana yang sesuai untuk dimasukkan dalam penulisan karangan masing-masing. Selain itu, pelajar dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada guru sekiranya melakukan latihan tambahan secara bersendirian agar penulisan karangan pelajar menepati soalan.
Isi Kandungan
Langkah-Langkah Membanteras Gejala Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar
Isi-Isi Penting
- Peranan sekolah dalam menetapkan undang-undang yang berkesan di sekolah
- Peranan ibu bapa dalam menjaga tingkah laku anak-anak
- Peranan masyarakat untuk menegur pelajar yang ponteng
- Peranan media massa dalam mengetengahkan kesan ponteng kepada pelajar
- Pelajar harus bermuhasabah diri
Baca juga: Contoh Surat Rasmi Tidak Hadir Ke Sekolah Atas Pelbagai Alasan Yang Munasabah
Contoh Karangan Langkah-Langkah Membanteras Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar
Pendahuluan
Dalam mendepani arus modenisasi hari ini, kita sering dikejutkan di televisyen dan dada akhbar akan gejala sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda. Antaranya adalah gejala ponteng sekolah yang akan merugikan masa pelajar yang terlibat melakukan aktiviti yang tidak sihat ini. Isu ini telah menjadi satu indikator penanda aras kelemahan sistem pendidikan di Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Adakah pelajar bosan dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan? Persoalan ini sering menjadi perbincangan ahli masyarakat yang mempersoalkan kenapa pelajar ingin melakukan gejala ini sebaliknya duduk dan mempelajari sesuatu di sekolah dengan penuh disiplin. Oleh itu, wajar untuk dibincangkan apakah langkah yang perlu diambil bagi membanteras gejala ponteng dalam aklangan pelajar.
Isi 1
Inisiatif utama yang boleh dilaksanakan adalah menetapkan undang-undang yang lebih berkesan di sekolah. Sekolah merupakan institusi pengajian yang sepatutnya dihormati dan dinikmati oleh setiap individu yang menggunakan infrastruktur tersebut. Namun begitu, kesan daripada gagal membuat keputusan dan membezakan di antara perkara baik dan buruk telah menyebabkan beberapa pelajar sanggup memonteng sekolah. Banyak faktor yang mempengaruhi perilaku seseorang pelajar yang bermasalah. Sebagai pihak sekolah, peranan yang boleh diambil adalah mengetatkan peraturan seperti memberikan khidmat kaunseling, menghantar pelajar ke program sukarelawan dan melaporkan kepada polis jika kesalahan pelajar melebihi had yang ditetapkan sekolah. Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menganjurkan aktiviti berbentuk motivasi dan kesedaran murid tentang seronoknya persekolahan berbanding membuang masa memonteng dan melepak di tempat-tempat awam.
Isi 2
Langkah seterusnya adalah terletak kepada peranan ibu bapa pelajar dalam memberi perhatian dan mendidik mereka. Sebenarnya, adab dan tingkah laku anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa dalam membentuknya menjadi seorang individu yang berfikiran waras dan penuh sopan dan santun. Guru di sekolah hanya memberikan didikan berbentuk fakta dan pengetahuan yang memberi manfaat untuk masa hadapan pelajar. Gejala ponteng dalam kalangan pelajar mungkin berlaku kerana kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja atau menghadapi krisis dalam rumahtangga. Dalam situasi ini, pelajar tidak boleh disalahkan sebaliknya ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka bersedia dan selesa dengan keadaan keluarga masing-masing supaya mampu memberikan fokus kepada pembelajaran di sekolah. Ingatlah, “segala-galanya bermula di rumah”. Begitulah ungkapan kalimah tokoh filsuf terkenal, Franklin D Franklin, Maka ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama membentuk karakter anak-anak agar mereka tidak mencetuskan gejala yang tidak memberi manfaat pada hari akan datang.
Isi 3
Di samping itu, masyarakat juga wajar memainkan peranan bagi menangani masalah ponteng dalam kalangan pelajar. Sebagai anggota masyarakat, kita hendaklah bersikap prihatin dengan menegur dan bertanya kepada pelajar jika kita terserempak dengan mereka di luar sekolah pada waktu persekolahan berlangsung. Tetapi, kita perlu menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mendekati atau memberikan nasihat kepada pelajar yang memonteng. Hal ini kerana, golongan muda dewasa ini tidak termakan dengan ugutan dan tengkingan yang kononnya menakut-nakutkan mereka akan akibat perbuatan mereka. Sebaliknya, kita boleh menasihati mereka dengan bertanya kenapa mereka memonteng sekolah dan terbuka dengan pendapat daripada mereka. Selepas mendengar alasan yang diberikan oleh mereka, kita boleh mencadangkan solusi kepada mereka yang mungkin mempunyai masalah dalam pembelajaran. Sebagai contoh, menasihati mereka untuk menyertai aktiviti sukan yang membolehkan mereka tidak tertumpu kepada pengajian di kelas sahaja. Tambahan pula, sukan mampu menjadi karier yang mempunyai permintaan dalam negara ini.
Isi 4
Selain itu, pihak yang mampu memainkan peranan penting dalam membanteras gejala ponteng dalam kalangan pelajar adalah media massa. Tahap keberkesanan media massa dalam memberikan informasi kepada masyarakat mampu menjadi sandaran kepada pembentukan masyarakat yang lebih baik. Media massa haruslah memainkan peranan untuk menyebarkan iklan-iklan nasihat dengan penerapan nilai-nilai moral supaya dapat member pengajaran kepada semua pihak. Penanyangan cerita-cerita, program atau iklan-iklan yang bersifat negatif seperti cerita berunsur gengster hendaklah disekat. Hal ini demikian kerana ia akan mendorong remaja terutamanya para pelajar untuk meniru aksi-aksi tersebut seperti merokok, menghisap dadah, gam, berlumba haram dan secara tidak langsung akan terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Oleh itu, media massa banyak member peranan dalam usaha untuk membentuk akhlak masyarakat dan menangani gejala sosial khususnya ponteng sekolah.
Penutup
Tuntasnya, banyak inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi membanteras gejala ponteng dalam kalangan pelajar. KIta juga boleh simpulkan bahawa segala inisiatif memerlukan kerjasama daripada semua pihak agar generasi muda kita mampu menjadi generasi yang lebih baik berbanding generasi terdahulu. Dengan membentuk golongan muda yang berdisiplin dan mementingkan pembelajaran, nescaya masa hadapan negara akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring dengan wawasan kemakmuran bersama yang diwara-warkan oleh kerajaan hari ini.