Karangan

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Perhatian kepada pelajar yang akan mengambil kertas peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu. Tahukah anda bahawa terdapat banyak tajuk yang merangkumi pelbagai tema berpotensi untuk menjadi soalan karangan Bahasa Melayu? Sebagai rujukan pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan langkah-langkah memajukan sektor pertanian di Malaysia.

Bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang, pelajar seharusnya melakukan latihan tambahan serta mendapatkan bimbingan dan panduan daripada guru. Selain itu, objektif penulisan karangan adalah untuk menguji tahap kemampuan pelajar menggunakan tatabahasa yang betul dan tepat dalam menghuraikan isi-isi penting. Penggunaan penanda wacana dan peribahasa yang sesuai juga mampu menjadikan penulisan karangan pelajar lebih menarik.

peta minda langkah memajukan sektor pertanian negara Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Usaha Dan Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Isi-isi penting

  • Mengubah kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini
  • Memberi bantuan insentif dan bengkel kemahiran
  • Menggalakkan pengguna membeli produk tani tempatan
  • Membuka kawasan pertanian baru
  • Menawarkan sistem pemasaran tanpa orang tengah
  • Menganjurkan pameran pertanian tempatan di luar negara

Baca juga: Langkah-langkah Memajukan Sektor Pelancongan Di Malaysia

Contoh Karangan Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pertanian Di Malaysia

Pendahuluan

Dalam meniti arus kemodenan hari ini, sektor pertanian di dalam negara sering kali dipandang enteng dan tidak mendapat perhatian oleh pentadbir negara. Malahan masyarakat konvensional masih mempunyai stigma fikiran bahawa pertanian adalah suatu pekerjaan yang kuno dan tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Perkara ini menjadi faktor-faktor yang membantutkan usaha bagi meningkatkan kemampuan industri tani domestik menjadi salah satu pemain utama dalam ekonomi negara. untuk makluman semua pertanian merangkumi aktiviti perladangan sawit dan getah, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam, lembu, dan hidupan laut seperti ikan dan udang. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memajukan sektor pertanian di Malaysia?

Isi 1

Langkah pertama untuk memajukan sektor pertanian dengan mengubah kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini. Industri tani mengalami kelembapan dalam kemajuan dek kerana petani dan syarikat perladangan masih menggunakan kaedah lama yang menghasilkan kuantiti produk yang tidak banyak dan berlaku banyak kerosakan. Hal ini disebabkan oleh kos untuk mengubah kaedah pertanian adalah tinggi dan pengguna tidak akan membeli sekiranya harga produk pertanian meningkat. Petani kecil dan syarikat pertanian bertindak untuk mengekalkan kaedah lama dan mencipta keuntungan daripada mengambil risiko kerugian. Maka, anjakan paradigma seharusnya diusahakan supaya hasil pertanian menjadi lebih berkualiti dan kuantiti produk dapat ditingkatkan. Sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya masyarakat diperlukan agar sektor yang menghasilkan sumber mentah bekalan makanan dan minuman kita dapat dibawa ke tahap yang lebih baik.

Isi 2

Selaras dengan langkah pertama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan bantuan bimbingan dan insentif daripada pihak yang bertanggungjawab. Penerapan kaedah baru yang menggunakan teknologi tinggi memerlukan kepakaran pekerja yang mampu membimbing petani menghasilkan produk yang terbaik. Lambakan graduan yang terhasil pada ketika ini boleh diberikan peluang untuk menyertai sektor pertanian dan menyumbangkan kepakaran masing-masing dalam meningkatkan kemampuan industri pertanian domestik. Selain itu, sektor pertanian juga layak mendapatkan bantuan insentif sebagai modal untuk mereka beralih kepada penggunaan kaedah pertanian yang berteknologi tinggi. Kewujudan agensi-agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) sepatutnya menjadi penggerak kepada inisiatif untuk memajukan sektor pertanian dalam negara. Dengan adanya peruntukkan bajet yang mencukupi dan bimbingan yang tepat, pasti kemajuan sektor pertanian dapat dijalankan dengan baik.

Isi 3

Pada masa yang sama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan menggalakkan pengguna membeli produk tani tempatan. Menurut laporan tahunan oleh Bank Negara Malaysia, negara kekal sebagai pengimport makanan dengan sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan diimport. Ini bermakna Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian dalam bekalan makanan. Jika dilihat pada sudut geografi, Malaysia dikurniakan sumber seperti air dan tanah yang sesuai dan cukup untuk menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu industri utama dalam negara. Oleh itu, sebagai rakyat yang cinta akan negara perlu sedar kita berkemampuan untuk menghasilkan bekalan makanan domestik kita. Produk tani tempatan juga telah dipelbagaikan di mana satu jenis hasil seperti buah strawberi boelh menjadi sambal, jem dan juga jus minuman. Justeru, dengan membeli dan menyokong produk-produk hasil pertanian tempatan, kita telah memberikan secara terus suntikan insentif yang diperlukan industri tersebut untuk mengorak langkah dalam kemajuan yang sepatutnya dilaksanakan.

Isi 4

Bagi menyokong langkah di atas, ladang-ladang pertanian yang baru perlu dibuka dengan lebih banyak mengikut kadar pertumbuhan dan permintaan pengguna. Hal ini demikian kerana apabila terciptanya permintaan yang tinggi, kuantiti produk perlu ditambah bagi menampung keperluan pengguna. Dengan pembukaan ladang atau kawasan pertanian yang baru, kaedah pertanian yang terkini boleh diasimilasikan sekaligus membentuk pertanian terancang dan lebih berkesan berbanding kaedah lama. Perkara ini boleh direalisasikan jika setiap pihak yang terlibat bekerjasama demi membantu memajukan sektor pertanian dalam negara. Tamsilnya, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di mana dengan kerjasama kerajaan negeri, sebahagian tanah telah digazetkan sebagai kawasan pertanian kekal dan menggalakkan aktiviti pertanian secara komersial dan berskala besar. Inisiatif ini perlu disemarakkan lagi supaya masyarakat tahu dan lihat bahawa hasil pertanian adalah menguntungkan dan membantu meningkatkan ekonomi diri dan negara.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di Malaysia. Sejarah menunjukkan bahawa negara kita pernah menjadi pusat dagangan dunia dalam membekalkan barang dagangan seperti hasil pertanian ke seluruh pelusuk dunia. Sekiranya sektor pertanian diangkat sebagai industri utama dalam negara, Malaysia berpotensi menjadi hub produk pertanian di rantau Asia Tenggara. Tambahan pula, industri halal yang semakin mendapat perhatian masyarakat dunia wajar disinergikan bersama sektor pertanian negara yang lazimnya menghasilkan produk-produk yang “Halalan Toyyiban”. Semoga masyarakat bersikap cakna dalam potensi yang ada pada industri pertanian dan pemimpin negara membuka mata dan peluang kepada rakyat untuk menghasilkan produk pertanian yang terbaik serta mampu dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Bak kata peribahasa Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.