Karangan
Langkah-Langkah Untuk Memajukan Industri Kecil dan Sederhana
Pelajar perlu mengikuti perkembangan ekonomi negara kerana soalan berkaitan ekonomi boleh dikeluarkan sebagai tajuk dalam penulisan karangan. Latihan daripada guru dan bimbingan mereka akan memberi input kepada para pelajar bagaimana cara untuk menjawab penulisan karangan mengikut isi-isi yang berkaitan dan sesuai untuk digunakan. Berikut adalah contoh karangan langkah-langkah untuk memajukan industri kecil dan sederhana atau ringkasnya IKS di Malaysia.
Para pelajar boleh merujuk isi-isi penting sebagai panduan dan mengolah karangan sendiri mengikut daya kreatif dan pemikiran kritis masing-masing. Bagi mendapat markah yang baik dan cemerlang para pelajar digalakkan menggunakan frasa menarik dan peribahasa dalam karangan. Perolahan isi yang seimbang dengan penggunaan tatabahasa yang baik pasti akan memberikan pelajar markah yang cemerlang dalam penulisan karangan.
Isi Kandungan
Langkah Untuk Memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Di Malaysia
Isi-isi penting
- Penawaran pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif
- Pengalihan teknologi pembuatan daripada tradisional kepada moden
- Usaha sama dengan universiti tempatan dalam penyelidikan dan pembangunan
- Memperkasa jenama produk
- Menyertai ekspo perdagangan di peringkat antarabangsa
- Memberikan anugerah dan pengiktirafan
Contoh Karangan Langkah Memajukan Industri Kecil dan Sederhana
Pendahuluan
Pada zaman pascakemerdekaan ini, industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia merupakan antara industri yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Menurut Perbadanan IKS Malaysia, IKS bagi sektor pembuatan ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang. Manakala bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain, IKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang. Kepentingan dan sumbangan IKS kepada kemajuan negara adalah mustahak maka, pelbagai langkah harus dirangka dalam menambah baik industri ini.
Isi 1
Langkah pertama dalam memajukan IKS adalah dengan menawarkan pembiayaan, geran, pinjaman dan insentif kepada pengusaha-pengusaha pada kadar yang menarik dan mampu. Dewasa ini, pelbagai inisiatif telah ditawarkan oleh ramai pihak seperti kerajaan, kerajaan negeri dan juga institusi kewangan. Pihak ini seharusnya mendekati pengusaha-pengusaha IKS dalam memperkenalkan skim mereka dan memastikan mereka faham dengan tawaran dan pulangan yang boleh mereka peroleh. Bagi pengusaha yang baru pula, mereka sebaiknya membandingkan segala skim, geran atau insentif dan memohon pakej yang berbaloi serta mampu bagi mereka untuk membayar semula apa yang dijanjikan. Persis peribahasa, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang bermaksud sekiranya kita ingin melaksanakan sesuatu, kita hendaklah melakukan segala yang diperlukan untuk berjaya mencapai apa yang dikehendaki.
Isi 2
Selain itu, IKS perlu mengalihkan teknologi pembuatan daripada tradisional kepada moden. Penggunaan mesin yang berteknologi boleh meningkatkan hasil keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia amat mempengaruhi pemasaran untuk pembekalan yang berterusan. Sebagai contoh pembuatan keropok yang menggunakan pembungkusan vakum lebih mendapat kepercayaan pembeli sekaligus memudahkan penghantaran atau pun eksport kerana ia seiring dengan produk multinasional yang lain. Penambahan infrastruktur dalam perusahaan adalah berisiko namun ia adalah langkah untuk bersaing dan keuntungan boleh dicapai dalam jangka masa yang panjang. Maka, perkongsian perunding pakar dan khidmat nasihat dalam IKS adalah penting bagi menambah input dalam perusahaan yang dilaksanakan.
Isi 3
Di samping itu, IKS seharusnya mendekati universiti atau institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan produk mereka. Hal ini kerana pada pengamatan saya, tiada simbiosis berlaku antara sektor perindustrian dan sektor pendidikan. Perkara ini yang mewujudkan situasi dimana graduan kurang mendapat peluang pekerjaan kerana keperluan industri berbeza dengan kebolehan graduan. Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan mengenal pasti masalah yang dihadapi atau inovasi yang boleh dilakukan dalam IKS dijadikan topik bagi projek ilmiah mahasiswa dan mahasiswi. Mekanisme ini dapat membantu mahasiswa dan mahasiswi untuk mempraktikkan teori yang mereka pelajari bersama idea baharu sekaligus membantu memajukan produk yang dihasilkan oleh IKS seterusnya mampu menjadi produk yang berdaya saing diperingkat antarabangsa.
Isi 4
Langkah lain yang boleh dilakukan dalam memajukan industri kecil dan sederhana ini adalah dengan memperkasakan jenama produk. Jenama merupakan antara sudut penting yang perlu dilihat oleh pengusaha bagi memastikan sasaran penjualan mereka berkembang dan diterima ramai. Daripada nama produk, pembungkusan, cara pemasaran hinggalah kepada kualiti produk, pengusaha dengan usaha sama pihak berkaitan seharusnya mempelajari formula terbaik bagi menghasilkan produk bertaraf antarabangsa. Penjenamaan adalah penting kerana bukan sahaja meninggalkan kesan pada pengguna tetapi ia membolehkan pelanggan mengetahui apa yang diharapkan dari syarikat IKS. Ini adalah cara membezakan pengusaha IKS daripada pesaing lain dan membuktikan produk IKS adalah pilihan yang lebih baik.
Penutup
Kesimpulannya pelbagai inisiatif boleh dirancang dalam memajukan industri kecil dan sederhana di Malaysia. Pembangunan IKS harus diberikan keutamaan kerana industri ini merupakan sektor yang menyokong dan meningkatkan taraf perindustrian di Malaysia. IKS juga secara langsung menambah kemajuan masyarakat setempat dengan peluang pekerjaan yang diberikan. Maka, setiap pihak terutamanya pengusaha-pengusaha IKS perlu berani dalam melakukan anjakan paradigma untuk membawa produk IKS mereka menjadi produk multinasional dan mampu berdaya saing di peringkat global. Persis kata peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Usaha kecil yang dilaksanakan secara konsisten hari ini akan menjadi titik tolak kejayaan pada masa hadapan.