Karangan
Ketagihan Media Sosial Dalam Kalangan Remaja Dan Kesan Buruk
Tahukah anda bahawa penulisan karangan Bahasa Melayu adalah medan menguji kemampuan pelajar dalam penggunaan bahasa serta pengetahuan am? Sekiranya tidak, pelajar perlu menambah baik dua perkara tersebut dengan melakukan latihan tambahan serta memperbanyakkan membaca. Sebagai rujukan kepada pelajar, dibawah dikongsikan contoh karangan punca ketagihan media sosial dalam kalangan remaja.
Pelajar seharusnya mengambil kesempatan untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan tajuk seperti di bawah kerana ia bersangkut-paut dengan kehidupan anda. Pengolahan idea yang menarik serta penggunaan gaya bahasa yang pragmatik pasti dapat membantu pelajar mendapatkan markah yang cemerlang dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.
Isi Kandungan
Punca Peyalahgunaan Media Sosial Dalam Kalangan Remaja Dan Kesan Negatif
Isi-isi penting
- Pusat sosial yang interaktif
- Mendapat hiburan secara percuma
- Tidak mendapat perhatian keluarga
- Pengaruh rakan sebaya
- Tekanan realiti hidup
Baca juga: Kesan Penggunaan Kad Kredit Kepada Masyarakat
Contoh Karangan Punca Ketagihan Media Sosial Dalam Kalangan Remaja
Pendahuluan
Dalam meniti era modenisasi hari ini, kita acapkali terbuai dengan ciptaan teknologi yang meninggalkan kesan buruk kepada diri dan masyarakat. Kemampuan untuk memiliki gajet seperti telefon pintar telah menyebabkan setiap golongan terdedah kepada informasi tanpa batasan melalui capaian Internet. Akhir-akhir ini, perkembangan media sosial telah memberikan impak terhadap sosiobudaya masyarakat bukan sahaja di negara kita bahkan masyarakat dunia. Kewujudan aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram telah menyebabkan ribuan pengguna Internet di Malaysia menggunakannya untuk bersosial. Menurut kajian digital oleh organisasi bukan kerajaan, jumlah pengguna Internet menunjukkan peningkatan kepada 25 juta pengguna pada tahun 2018. Statistik ini membuktikan bahawa lebih 80 peratus penduduk di Malaysia menggunakan Internet dan daripada jumlah tersebut Malaysia merupakan negara ke 9 paling aktif sebagai pengguna laman sosial. Persoalannya, apakah punca ketagihan media sosial dalam kalangan remaja yang menjadi polemik ketika ini?
Isi 1
Antara faktor ketagihan golongan remaja terhadap penggunaan media sosial adalah kerana ia merupakan pusat sosial yang interaktif. Umum sedia maklum, media sosial dapat memberikan manusia berinteraksi antara satu sama lain secara langsung tanpa mengira waktu dan lokasi hanya dengan capaian Internet. Kesannya, perkongsian informasi menjadi lebih pantas tanpa sebarang kawalan atau tapisan. Selain menjadi saluran informasi dunia yang pantas, media sosial juga mempunyai paparan antara muka yang interaktif dan menarik sehingga menyebabkan setiap pengguna untuk meluangkan masa yang banyak menggunakan aplikasi tersebut. Golongan remaja kebanyakannya mempunyai masa lapang yang lebih lama berbanding golongan dewasa yang bekerja. Oleh sebab yang demikian, para pembangun aplikasi media sosial mengetengahkan ciri-ciri yang menarik minat golongan remaja yang merupakan pengguna aktif mereka. Sebagai contoh, penstriman video kini menjadi lebih mudah dan pelbagai aktiviti interaktif yang melibatkan pengguna media sosial untuk menghabiskan masa di alam maya tersebut. Implikasinya, golongan remaja perlu sedar bahawa media sosial memang merupakan sasaran pengguna para pembangun aplikasi namun kita perlu menggunakannya dengan hemah supaya tidak memudaratkan diri.
Isi 2
Di samping itu, media sosial telah menyebabkan golongan remaja ketagih terhadap penggunannya adalah kerana mereka akan mendapat hiburan secara percuma. Dalam tekanan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup, hiburan seperti menonton wayang, bersukan dan melancong memerlukan kos yang tinggi. Oleh sebab itu, golongan remaja lebih gemar menonton video dan menghabiskan masa di media sosial sebagai hiburan. Tamsilnya, pasukan bola sepak tempatan mahupun di negara asing menggunakan media sosial untuk berinteraksi dan meluaskan pengaruhnya kepada peminat di serata dunia. Perkongsian video sorotan perlawanan menjadi tontonan utama peminat bola sepak kerana dapat melihat aksi-aksi menarik yang dirangkum dalam jangka masa yang pendek. Selain itu, fenomena penstriman video semakin mendapat perhatian dan dikatakan bakal menjadi bentuk hiburan menggantikan rancangan televisyen. Hal ini kerana, golongan remaja lebih berminat melihat hiburan yang berbentuk realiti dan secara langsung berbanding rancangan yang mengikut skrip. Intihannya, golongan remaja perlu diberi ruang untuk berhibur dengan cara lain seperti bersukan agar tidak tersangkut pada alam maya dan bukan realiti.
Isi 3
Jika dipandang pada sudut lain, ketagihan penggunan media sosial dalam kalangan remaja berlaku kerana tidak mendapat perhatian yang baik daripada keluarga. Situasi ini sering berlaku di kawasan urban di mana ibu dan bapa keluar bekerja sehingga tiada masa bersama anak-anak demi menampung keluarga. Maka anak-anak terutamanya golongan remaja akan menghabiskan masa di media sosial. Tambahan pula, golongan remaja yang tersepit dalam maslah rumah tangga antara ibu dan bapa mereka, pastinya mencari dunia lain seperti media sosial untuk keluar daripada tekanan hidup mereka. Hal ini demikian kerana, Justeru, ibu dan bapa sebenarnya berperanan besar dalam memastikan anak-anak tidak ketagihan terhadap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Di zaman yang penuh dugaan dan cabaran, perhatian dan kasih sayang daripada ibu dan bapa adalah mustahak dalam membentuk anak-anak yang baik. Izharnya, golongan remaja memerlukan perhatian yang sama banyak walaupun mereka telah berganjak umurnya daripada kanak-kanak kerana cabaran yang mereka lalui menjadi lebih sukar.
Isi 4
Akhir sekali, punca ketagihan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja adalah pengaruh rakan sebaya. Golongan remaja cenderung untuk berjumpa dan meluangkan masa dengan rakan sebaya untuk mendapatkan ketenangan dan kegembiraan. Namun begitu, terdapat segelintir daripada mereka yang mudah terpengaruh dengan melakukan perkara yang sia-sia. Persis peribahasa Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Golongan remaja juga gemar menggunakan sosial media kerana selebriti dan artis daripada seluruh dunia menggunakan platform ini sebagai cara untuk mendekati peminat mereka. Oleh yang demikian, remaja perlu sedar bahawa mereka dalam peringkat umur yang penting dalam kehidupan untuk menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Elakkanlah bersikap seperti sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Tegasnya, remaja perlu dibimbing dalam persekitaran yang positif agar tidak terleka dan lalai daripada perkara yang mensia-siakan kehidupan mereka.
Penutup
Sebagai konklusi, pelbagai faktor dan punca yang memebuatkan generasi muda ketagih terhadap penggunaan media sosial. Mereka seharusnya memikirkan masak-masak terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara ibarat sepuluh kali ukur, sekali kerat. Ledakan teknologi yang maju seharusnya selaras dari segi undang-undangnya supaya etika serta tatasusila terhadap penggunaannya dapat dikawal dan tidak mendatangkan mudarat kepada semua. Sesungguhnya golongan remaja merupakan nusa bangsa yang bakal memimpin masa hadapan negara ke arah yang lebih baik. Setiap pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing demi mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Semoga masyarakat kita mengambil anjakan paradigma daripada bersikap konvensional kepada progesif dan madani.