Karangan

Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar/ Murid Sekolah

Panduan buat pelajar yang sedang mencari contoh-contoh karangan Bahasa Melayu di internet untuk membuat ulangkaji mata pelajaran. Berikut dikongsikan  contoh karangan berkenaan kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar untuk rujukan semua. Pelajar boleh mengambil isi-isi penting sebagai idea bagi membuat penulisan karangan masing-masing berpandukan contoh di bawah.

Bagi menghasilkan penulisan karangan yang cemerlang, pelajar perlu memberikan rangka karangan yang seimbang yang merangkumi pendahuluan, isi-isi penting dan penutup. Selain itu, penulisan karangan yang mengandungi penanda wacana, peribahasa dan frasa-frasa menarik pasti akan menambah daya penarik terhadap penulisan pelajar masing-masing. Pelajar juga digalakkan untuk mendapatkan bimbingan daripada guru sekolah sekiranya membuat latihan tambahan secara sendirian.

Kebaikan Dan Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar

peta minda kesan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Kepada Pelajar/ Murid Sekolah

Isi-isi penting

  • Memudahkan komunikasi
  • Mendapat rujukan tambahan
  • Cara pembelajaran interaktif yang baru
  • Leka dengan permainan dan hiburan
  • Menjejaskan kesihatan
  • Membazir wang

Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Contoh Karangan Kesan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, penggunaan telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan keperluan dan kemampuan setiap individu untuk memilikinya. Tidak terlepas juga dalam kalangan pelajar yang mempunyai telefon bimbit masing-masing hasil pembelian mereka sendiri atau hadiah daripada ibu bapa mereka. Polemik yang timbul hari ini adalah kesan-kesan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar. Setiap perkara terutamanya teknologi hari ini pasti memberikan impak positif dan negatif. Pucuk pangkalnya ia bergantung kepada individu terbabit untuk memanfaatkan kesan positif daripada penggunaan teknologi tersebut atau merugikan masa dengan implikasi negatif yang diterima.

Isi 1

Pada hemat saya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar meninggalkan kesan positif yang lebih banyak berbanding kesan negatif. Ini disebabkan jika kita lihat kembali objektif ciptaan telefon adalah untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain. Justeru, jika pelajar menggunakan telefon untuk berhubung dengan rakan-rakan atau guru berkenaan aktiviti persekolahan ia adalah lebih mudah dan cepat. Selain itu, jika berlaku kecemasan di sekolah atau diluar sekolah penggunaan telefon bimbit oleh pelajar adalah mustahak bagi memastikan keselamatan diri terjamin. Malahan kini banyak applikasi telefon pintar yang membolehkan ibu bapa mengesan kedudukan anak-anak mereka supaya mereka tahu di mana anak-anak mereka berada. Natijahnya, kemudahan menyampaikan maklumat dengan ringkas dan cepat hasil penggunaan telefon bimbit adalah baik bagi menguruskan diri dan masa pelajar terutamanya dalam hal berkaitan persekolahan, keselamatan dan keluarga.

Isi 2

Di samping itu, kemudahan mencari maklumat dihujung jari menggunakan telefon bimbit wajar untuk dimanfaatkan oleh para pelajar. Dengan jaringan atas talian yang semakin maju dan murah untuk dimiliki, pelajar boleh menggunakan telefon bimbit untuk melayari jalur lebar dan mencari maklumat tambahan berkenaan mata pelajaran yang dikehendaki. Pelbagai alternatif pembelajaran secara atas talian yang wajar untuk dimanfaatkan oleh pelajar hari ini. Contohnya, guru-guru menggunakan aplikasi Youtube sebagai medium pengajaran interaktif bersama pelajar. Ini disebabkan oleh variasi kandungan yang telah dimuatnaik sebagai video yang mampu menarik perhatian dan fokus pelajar terhadap seusatu perkara. Maka, pelajar juga mampu melakukan pembelajaran secara bersendirian di rumah dengan memanfaatkan aplikasi-aplikasi pembelajaran yang ditawarkan atas talian.  .Lantaran itu, penggunaan telefon bimbit yang efisen dapat membawa implikasi positif kepada penggunanya terutamanya dalam kalangan pelajar.

Isi 3

Jika disingkap dari sudut yang berbeza, pelajar yang menggunakan telefon bimbit dengan kerap mudah terleka dengan permainan dan hiburan yang mereka peroleh di atas talian. Kita tidak boleh nafikan pelajar juga memerlukan hiburan bagi mengurangkan tekanan dalam pembelajaran tetapi ia perlu dikawal. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar yang menggunakan telefon bimbit dengan kerap tidak mengabaikan pencapaian akademik mereka. Terdapat kes di mana pelajar lebih gemar bermain aplikasi permainan secara maya dan juga hanyut dalam penggunaan sosial media sehingga menjejaskan pembelajaran mereka. Ibu bapa boleh memberikan tempoh masa kepada anak-anak untuk bermain telefon bimbit mereka. Sebagai contoh peruntukkan selama satu jam untuk belajar dan tiga puluh minit untuk bermain permainan di telefon bimbit. Pendekatan ini mampu memberikan hasil yang baik kepada pelajar kerana pembahagian masa yang seimbang dapat dicapai.

Isi 4

Seterusnya, apabila menggunakan telefon bimbit dengan kerap, pelajar akan terdedah dengan masalah kesihatan. Secara fizikal, mata kita akan terdedah dengan pencahayaan yang lebih banyak dan kompleks apabila kita menggunakan telefon bimbit dalam tempoh yang lama. Maka pelajar berpotensi untuk rabun dan akan mengalami keletihan mata mengakibatkan mereka susah untuk fokus pada pembelajaran di sekolah. Selain itu, penggunaan media sosial di telefon bimbit boleh menjejaskan kesihatan mental pelajar. Sebagai contoh, pelajar boleh melihat selebriti yang mempunyai kemampuan yang lebih daripada kemampuan keluarga mereka dan menimbulkan perasaan cemburu kerana mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan. Perkara ini perlu dibendung dan hubungan yang baik dan intim dalam keluarga kerana ia penting bagi mewujudkan sifat keluarga bahagia tanpa mengira kemampuan dan kemewahan orang lain. Sebaliknya pelajar yang harus berazam dan berusaha untuk memberikan kemampuan yang lebih baik kepada ahli keluarga apabila menjelang dewasa nanti. Tuntasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar wajar dipantau oleh ibu bapa dan berinteraksi sekiranya timbul persoalan mengenai kehidupan masing-masing.

Penutup

Intihannya, pelbagai kesan yang akan menimpa para pelajar yang menggunakan telefon bimbit. Ianya terpulang kepada pelajar dan ibu bapa dalam membantu mereka etika dan cara memanfaatkan kemudahan teknologi hari ini demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pelajar seyogianya perlu memanfaatkan kebaikan dan mengelakkan keburukan penggunaan telefon bimbit kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Telefon bimbit adalah salah satu teknologi yang terhasil daripada perkembangan pendidikan manusia hari ini. Sudah pasti di masa akan datang pelbagai lagi teknologi yang akan dihasilkan bagi memberi kemudahan kepada manusia dan ia memberikan kita pilihan samada untuk memanfaatkannya atau tidak. Semoga setiap anggota masyarakat bertanggungjawab mendidik orang sekeliling terutamanya para pelajar agar sentiasa mencari perkara yang baik supaya kesejahteraan dan kemajuan negara terjamin.