Karangan
Kepentingan Sektor Pertanian Kepada Negara Dan Masyarakat
Setiap tahun, pastinya terdapat soalan yang menjadi pilihan untuk keluar ketika peperiksaan awam seperti SPM dijalankan. Pelajar perlu mengambil tahu tentang intipati dan cara untuk menjawab soalan tersebut tetapi tidak bergantung hanya kepada soalan tersebut. Pelajar juga perlu bersedia untuk menjawab soalan penulisan karangan yang berbeza tema dan tajuk. Di bawah dikongsikan contoh karangan kepentingan sektor pertanian kepada negara sebagai rujukan untuk semua.
Untuk makluman pelajar, sektor pertanian merangkumi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah, padi, ternakan poultri dan akuakultur. Oleh itu, pelajar dapat memberikan pelbagai contoh yang berkaitan dengan isi yang diutarakan kerana skop atau bidang pertanian adalah luas. Tambahan pula, menggunakan data atau statistik daripada laporan agensi atau jabatan kerajaan dapat memperkukuhkan sokongan isi yang ditulis oleh pelajar.
Isi Kandungan
Kebaikan Sektor Pertanian Kepada Negara
Isi-isi penting
- Memanfaatkan sumber yang dimiliki oleh negara
- Mewujudkan peluang pekerjaan
- Meningkatkan pendapatan eksport negara
- Mewujudkan keberdikarian bekalan makanan negara
- Melahirkan imej yang baik untuk negara
- Memelihara ekologi alam sekitar
Baca juga: Bagaimanakah Perintah Kawalan Pergerakan Disiplinkan Rakyat Malaysia
Contoh Karangan Kepentingan Sektor Pertanian Kepada Negara
Pendahuluan
Mendepani era modenisasi dan globalisasi telah membuatkan kita alpa dan leka mengejar kemajuan teknologi dan membina bandar serta pencakar langit yang tidak memberikan impak begitu signifikan kepada negara. Mungkin ada sebahagian individu yang melihat bahawa kemajuan adalah apabila kita mempunyai bandar yang tersergam indah dan masyarakat hidup dikelilingi gajet berteknologi tinggi. Sebaliknya, keseimbangan dalam pelbagai industri akan membuatkan negara kita maju dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain. Misalnya di negara Jepun dan Korea Selatan, setiap industri seperti teknologi, pertanian, perindustrian dan pelancongan dibangunkan bersama-sama. Oleh itu, barisan pimpinan negara perlu mengubah dasar dan polisi negara supaya tidak kekal ditakuk lama. Salah satu sektor yang berpotensi besar dalam meningkatkan kemajuan dan ekonomi negara adalah sektor pertanian. Sektor yang sebelum ini dipandang enteng dan kurang diberi perhatian sebenarnya mempunyai kepentingan yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada negara malah kepada masyarakat tempatan dan juga alam sekitar.
Isi 1
Antara kepentingan untuk negara sektor ini adalah ia dapat membantu kita memanfaatkan sumber yang dimiliki oleh negara. Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara yang dikelilingi dan kaya dengan sumber alam seperti lautan, sungai, tanah tinggi dan juga iklim yang kondusif. Justeru itu, kita seharusnya menggunakan sumber tersebut dengan baik supaya memberikan manfaat kepada negara dan juga bangsa. Sebagai contoh, penerokaan tanah untuk penanaman kelapa sawit oleh Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak berjaya memberikan hasil yang baik kepada negara dan juga masyarakat tempatan. Tetapi usaha tersebut haruslah diteruskan dengan tabdir urus yang cekap serta amanah. Apabila mendapat saingan daripada negara jiran seperti Indonesia, kita seharusnya meningkatkan kualiti dan menjadi pengeluar utama kelapa sawit dalam pasaran antarabangsa. Selain dapat memberikan hasil yang bernilai, pertanian juga dapat memelihara alam sekitar daripada menjadi mangsa pembangunan dan perindustrian. Secara tidak langsung, pemeliharaan sumber alam dan ekologi akan menjadi seimbang dan dapat berkekalan untuk generasi akan datang menerima manfaat daripadanya.
Isi 2
Apabila sektor pertanian diperluaskan dan menjadi agenda utama kerajaan, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan terutamanya golongan luar bandar. Wawasan untuk merapatkan jurang pendapatan penduduk bandar dan luar bandar dapat direalisasikan dengan merencana program pertanian yang efisien. Dari segi infrasturktur dan bantuan, kita sudah pun mempunyai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab membimbing para petani untuk menghasilkan produk pertanian yang berkualiti serta memberi pulangan yang berganda. Sekiranya setiap agensi kerajaan dan organisasi swasta yang terlibat dalam pertanian mempunyai sinergi dan iltizam yang sama pasti ramai petani-petani berjaya dapat dihasilkan. Malahan, terdapat bekas graduan jurutera yang beralih bidang kerjaya ke bidang pertanian dan berjaya. Beliau yang menjadi peserta di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Terengganu, berjaya memperoleh hasil tuaian Melon Manis Terengganu sehingga RM 30,000 semusim. Graduan tersebut yang meninggalkan bidang carigali minyak dan gas dan meraih pendapatan bulanan sebanyak RM8,000 sebulan dengan bertani menjadi bukti sektor ini mampu menghasilkan kerjaya yang baik. Persis kata Peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.
Isi 3
Sebagai masyarakat berminda kelas pertama, sektor pertanian adalah penting bagi mewujudkan keberdikarian bekalan makanan negara. Maksud kepada keberdikarian bekalan makanan adalah negara menghasilkan dan membekalkan bekalan makanan tempatan secara domestik dan tidak bergantung kepada industri import. Menurut laporan buletin suku tahunan terkini (Suku Ketiga, 2019) oleh Bank Negara Malaysia, negara kekal sebagai pengimport makanan dengan sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan iaitu 24 peratus diimport. Ini bermakna Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian dalam bekalan makanan. Jika berlaku bencana atau pandemik seperti COVID-19 dan rantaian import eksport terpaks diputuskan maka kita tidak mampu untuk membekalkan makanan kepada rakyat kita sendiri. Justeru, agenda ini adalah penting bagi mengelakkan kita menghadapi kekurangan bekalan makanan pada masa kini dan akan datang. Pihak berkuasa perlu menyusun strategi dan bertindak sekarang dalam merencana kebergantungan bekalan makanan tempatan terhadap sektor pertanian domestik. Bak kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Dengan matlamat yang jelas serta pelaksanaan tadbir urus yang cekap dan amanah, wawasan ini pasti dapat dihasilkan bagi manfaat bersama.
Isi 4
Sekiranya kita berjaya membentuk bekalan makanan atau sumber pertanian yang cukup untuk permintaan domestik, kita pasti dapat mengeluarkan hasil untuk pasaran antarabangsa. Dengan meningkatkan sektor pertanian, negara dapat meningkatkan pendapatan eksport serta menyumbang kepada pendapatan negara. Perkara ini telah pun dibuktikan dengan pengkomersialan tanaman kelapa sawit dan getah di mana Malaysia menjadi antara pengeluar utama di dunia. Baru-baru ini tanaman buluh pula mendapat perhatian pemimpin negara kerana mampu memberikan hasil pulangan yang lumayan. Sebanarnya pelbagai lagi potensi yang dimiliki oleh negara dibawah sektor pertanian seperti ternakan ikan, ternakan poultri dan juga tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan. Raja buah di hutan kita iaitu buah durian juga semakin mendapat permintaan tinggi untuk dieksport ke negara luar. Dengan sumber yang banyak dan disokong oleh infrastruktur yang baik seperti lapangan terbang serta pelabuhan, pengeksportan hasil pertanian pastinya dapat dipertingkatkan. Namun, usaha ini memerlukan perancangan yang teliti dan kesabaran dalam mengecapi kejayaan yang boleh dibanggakan. Kita perlu elak daripada bersikap seperti mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Izharnya, dengan hasil tani tempatan yang berkualiti, ia mampu dijual di peringkat antarabangsa dan meningkatkan kadar eksport negara.
Penutup
Konklusinya, pelbagai kepentingan sektor pertanian yang menyumbang kepada negara dan juga nusa bangsa. Masyarakat harus membuang stigma lama bahawa bertani hanya untuk orang kampung dan tidak mampu menjadi kerjaya yang stabil. Kita hanya memerlukan pentadbiran yang efisien dan proaktif yang mampu mengumpulkan tenaga kerja serta pakar untuk membentuk ekosistem pertanian domestik yang unggul. Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni hanya jauhari mengenal manikam. Teknokrat dan golongan professional seharusnya menjadi pemacu setiap industri dalam negara bukannya golongan eksekutif yang tidak serba tahu-menahu dan hanya mengejar kepentingan sendiri atau jangka masa pendek. Golongan professional dan teknokrat ini lebih layak kerana mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang mendalam. Malahan mereka telah mendedikasikan hidup mereka ke dalam bidang yang mereka ceburi. Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Semoga setiap golongan membuka mata dan menyedari potensi sektor pertanian dalam negara serta mengambil serius dalam menjaga kepentingan sektor tersebut untuk kemaslahatan bersama.
Related : lada hitam sektor perindustrian pembangunan sektor bekalan bahan bahan mentah bahan makanan makanan asas untuk menggantikan, mengurabgkan kebergantungan masyarakat desa utama negara menjana pendapatan