Karangan

Jelaskan Kepentingan Menjaga Kesihatan Diri

Karangan Bahasa Melayu merangkumi pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi untuk menjadi soalan. Justeru, pelajar harus peka dengan perkongsian dan pembelajaran yang diberikan oleh guru di sekolah. Selain itu, pelajar juga boleh membuat latihan tambahan dengan merujuk sumber secara online dan sebagainya. Berikut adalah contoh karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri untuk panduan pelajar.

Penulisan karangan yang baik memerlukan latihan yang banyak dan efektif. Pelajar perlu sentiasa mendapatkan pendapat dan bimbingan daripda guru-guru supaya sentiasa memenuhi kehendak soalan. Penambahan frasa-frasa menarik dalam penulisan karangan seperti penanda wacana dan kata-kata hikmah adalah digalakkan serta merupakan kriteria yang perlu dalam penulisan karangan yang cemerlang.

peta minda kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan Jelaskan Kepentingan Menjaga Kesihatan Diri

Kebaikan Dan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri

Isi-isi penting

  • meningkatkan produktiviti kehidupan
  • menghindari penyakit dan masalah kesihatan
  • mendisiplinkan diri
  • menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik
  • mewujudkan persekitaran yang indah dan tenang
  • memupuk perpaduan

Baca juga: Kesalahan Bahasa Yang Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (BM)

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri

Pendahuluan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik dan antarabangsa. Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam memastikan kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Isi 1

Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri berada pada tahap yang tinggi kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang. Apabila kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita mampu melakukan kerja-kerja yang secara langsung dan tidak langsung membantu setiap makhluk dimuka bumi ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada pelajaran mereka dan pekerja professional boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi dengan baik seperti mana kitaran ekologi yang berlaku dengan semula jadi. Justeru, kesihatan dan kebersihan diri yang baik dapat menjamin kemajuan dalam setiap perkara untuk dikecapi.

Isi 2

Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah kesihatan juga merupakan kepentingan dalam menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya, apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan sistem kardiovaskular individu tersebut akan bertambah kuat dan dapat menghindar daripada serangan jantung.  Selain itu, amalan membasuh tangan menggunakan sabun selama 20 saat juga adalah penting agar kita tidak membawa bakteria atau virus yang mungkin dibawa oleh kita tanpa disedari. Amalan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar juga dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang mampu menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat hidup dengan sejahtera tanpa merisaukan maslah kesihatan atau penyakit berjangkit.

Isi 3

Pada waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting bagi memupuk sikap disiplin dalam setiap individu. Hal ini demikian kerana, apabila individu tersebut ingin melaksanakan aktiviti seperti bersukan, mereka perlu mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, sukan olahraga dimana atlet perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk menjaga kekuatan fizikal dan mental sebelum menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari sudut kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi telah pun menjadi rutin harian semua manusia. Secara tidak langsung, perkara di atas telah membuatkan kita untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil daripada usaha untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Isi 4

Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana ia dapat menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu menemuduga calon pekerja anda, apakah kriteria yang anda utamakan terlebih dahulu? Sudah semestinya calon yang mempunyai perwatakan menarik beserta pakaian yang rapi dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai produk kesihatan yang boleh membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik di samping baik untuk kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat membantu golongan lelaki merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia kelihatan elok di mata setiap orang yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan perwatakan yang menarik hasill daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, ia akan memudahkan kita untuk bergaul dengan orang ramai serta diterima oleh masyarakat.

Penutup

Intihannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting seperti yang telah dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat berada pada tahap yang baik. Hasil usaha ini dapat menjadikan masyarakat kita sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan perlu disemai dan dipupuk kepada setiap generasi agar ia menjadi budaya contoh manusia sejagat. Sejajar dengan kata-kata hikmat, ” Negara bersih, rakyat sihat; Badan sihat, otak cergas”.