Karangan
Kepentingan Mempelajari Dan Menguasai Bahasa Asing
Terdapat pelbagai topik dan isu yang boleh menjadi tajuk soalan dalam karangan bahasa Melayu. Ia terserah kepada guru dan para pelajar untuk membuat latihan berdasarkan tajuk soalan yang berpotensi menjadi soalan ketika ujian. Kepentingan menguasai bahasa asing adalah isu yang rapat dengan para pelajar. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan menguasai bahasa asing untuk rujukan dan latihan pelajar.
Tajuk ini mempunyai potensi untuk menjadi soalan karangan bahasa Melayu kerana terdapat sekolah seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang menjadikan bahasa asing sebagai subjek tambahan. Maka, pelajar pasti dapat memberikan ulasan dalam bentuk penulisan karangan berdasarkan pengalaman mereka mempelajari bahasa asing. Penggunaan peribahasa dan frasa menarik dalam karangan akan membantu pelajar dalam mendapatkan markah yang baik dan cemerlang.
Isi Kandungan
Kepentingan Menguasai Bahasa Asing Untuk Kemajuan Negara
Isi-isi penting
- mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain
- memperoleh lebih banyak ilmu pengetahuan
- membuka peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi
- memperoleh peluang pekerjaan yang lebih banyak
- mudah memahami budaya asing
- menambah keyakinan diri seseorang
Contoh Karangan Kepentingan Menguasai Bahasa Asing Seperti Bahasa Inggeris
Pendahuluan
Bahasa jiwa bangsa merupakan pepatah yang membawa maksud bahasa adalah identiti sesuatu bangsa. Namun dalam era kemodenan globalisasi ini, tiada keterbatasan dalam teknologi telah mengubah seluruh dimensi dalam komunikasi antara manusia. Kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa diperlukan agar persefahaman itu dapat dicapai apabila berkomunikasi dengan individu yang berlainan bangsa. Kemahiran ini penting bukan sahaja untuk individu tetapi ia memainkan peranan penting untuk syarikat dan juga negara. Oleh itu, kita seharusnya mencari kepentingan tersurat dan tersirat dalam menguasai bahasa asing.
Isi 1
Kepentingan utama adalah kemahiran menguasai bahasa asing dapat memudahkan perhubungan atau komunikasi dengan orang yang berlainan bangsa. Bayangkan jika tiada penterjemah bahasa di konfederasi yang melibatkan pelbagai negara di dunia ini. Maka, kemahiran menguasai bahasa asing ini penting bagi menjadi jambatan kepada persefahaman yang ingin dilaksanakan. Bahkan, dengan menguasai bahasa asing, kita dapat berinteraksi dengan pelancong yang mengunjungi negara kita. Hal ini akan memberikan kesan kepada mereka kerana mereka akan merasakan mudah untuk bertanya dan memahami penjelasan kita tentang budaya atau sejarah tempat yang mereka lawati sepanjang percutian mereka. Jelaslah bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa, kita mudah berkomunikasi untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.
Isi 2
Selain itu, menguasai bahasa asing akan membantu seseorang individu itu untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Dengan penguasaan bahasa tersebut, mereka bukan sahaja memahami konteks yang disampaikan malah boleh berkongsi ilmu pengetahuan yang diperoleh kepada masyarakat setempat masing-masing agar bersama-sama menikmati manfaat daripadanya. Janganlah kita bersikap seperti katak di bawah tempurung yang bermaksud orang yang tidak mahu menerima pembaharuan, perubahan ataupun ilmu yang baru.
Isi 3
Di samping itu, penguasaan bahasa asing akan membuka peluang seseorang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Pihak kerajaan telah pun melakukan inisiatif menghantar pelajar kita ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi namun para pelajar ini perlu menguasai bahasa asing agar tidak kekok untuk menetap di sana sepanjang tempoh pengajian. Bahan-bahan ilmiah atau rujukan juga dikeluarkan dalam pelbagai bahasa jadi pelajar-pelajar di dalam mahupun luar negara seharusnya menguasai bahasa asing untuk memahami intipati ilmu yang dikongsikan. Pembelajaran secara global ini membantu kita dalam menambah baik dari segi ekonomi malahan penting bagi industri perubatan di mana mereka boleh mengkaji kes-kes yang berlaku di luar negara dan melakukan persediaan sekiranya terdapat kes yang sama berlaku dalam negara.
Isi 4
Pada waktu yang sama, dengan mempunyai kemahiran bahasa asing, ia akan membantu seseorang itu mendapat peluang pekerjaan yang lebih banyak. Kemajmukan masyarakat dalam negara kita mempengaruhi syarikat-syarikat tempatan untuk mencari pekerja yang mempunyai kemahiran berbahasa asing. Hal ini kerana ia memudahkan urusan syarikat sekiranya harus berunding dengan pelanggan yang berlainan bangsa. Tambahan pula, individu yang menguasai bahasa asing ini mampu menjadi aset penting negara dalam menarik pelabur asing supaya melabur dalam negara kita. Kelebihan ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak agar kemajuan diri dan juga negara dapat dikecapi dan berterusan dari masa ke masa.
Penutup
Tuntasnya, kemahiran menguasai bahasa asing adalah cukup penting untuk semua pihak. Barang siapa yang memahami kepentingan bahasa asing pasti akan bertindak segera kerana mahu merebut kebaikan yang ditawarkan oleh bahasa tersebut. Justeru, sokongan ibu bapa dan pelbagai pihak adalah mustahak dalam memastikan anak-anak mengambil subjek bahasa asing dalam institusi pelajaran yang disertai oleh mereka agar generasi akan datang majoritinya menguasai bahasa asing. Golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah kepada diri mereka. Sekaligus masyarakat kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat seantero dunia untuk bersaing dalam semua aspek di peringkat global.