Karangan

Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah Di Sekolah

Pelajar pasti tertanya-tanya, apakah tema atau tajuk soalan karangan yang akan keluar dalam peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu? Untuk makluman anda, pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi untuk dijadikan soalan maka anda digalakkan untuk melakukan latihan tambahan atau merujuk sumber secara atas talian bagi mendedahkan diri kepada semua jenis tema dan tajuk soalan karangan Bahasa Melayu. Sebagai rujukan anda, berikut adalah contoh karangan kepentingan mempelajari sejarah kepada generasi muda.

Topik berkaitan sejarah ini memerlukan pengetahuan am yang baik daripada pelajar dimana fakta yang ingin digunakan perlu tepat. Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk menggunakan peribahasa dan frasa-frasa menarik yang sesuai dengan huraian yang ditulis. Bimbingan dan panduan daripada guru juga penting agar penulisan karangan anda memenuhi kehendak soalan yang diberikan.

peta minda kepentingan generasi muda mempelajari sejarah Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah Di Sekolah

Kepentingan Mempelajari Sejarah Di Sekolah

Isi-isi penting

  • memupuk semangat patriotik
  • menyemai perpaduan antara kaum
  • mempelajari kesilapan masa dahulu
  • menghargai budaya dan warisan negara
  • memelihara kedaulatan negara
  • memahami landskap politik negara

Baca juga: Kesalahan Bahasa Yang Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (BM)

Contoh Karangan Kepentingan Mempelajari Mata Pelajaran Sejarah Kepada Generasi Muda

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini generasi muda semakin melupakan sejarah yang tercipta demi kemudahan hidup pada masa kini. Sejarah adalah penemuan, pengumpulan, pengurusan, dan persembahan maklumat terhadap peristiwa silam atau lampau. Ia juga bermaksud tempoh masa yang lalu selepas catatan penulisan telah dicipta. Bagi memastikan masa hadapan masyarakat dan negara berada pada tahap yang terbaik, generasi muda yang bakal mengambil tempat pemimipin hari ini seharusnya mempelajari sejarah kerana kepentingannya yang sangat bermanfaat. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan kepentingan-kepentingan yang akan diperoleh sekiranya generasi muda hari ini mempelajari sejarah domestik mahupun antarabangsa.

Isi 1

Antara kepentingan dalam mempelajari sejarah bagi generasi muda adalah memupuk semangat patriotik.  Jika kita lihat keadaan pada hari ini, masyarakat tidak lagi menghargai jasa-jasa pejuang tanah air kita yang telah bersusah payah membebaskan negara kita daripada dijajah.  Generasi muda seharusnya mengingati jasa dan sumbangan tokoh-tokoh tanah air seperti Tunku Abdul Rahman, Tun H.S Lee dan Tun Dr. Ismail. Negarawan ini telah berhempas pulas mencari jalan terbaik  supaya kita dapat menikmati kemakmuran dan kedamaian untuk hidup dalam masyarakat hari ini. Maka, semangat patriotisme dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda malah mereka akan sentiasa bersyukur dan memberi penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air terdahulu. Semoga nama mereka sentiasa meniti di bibir masyarakat kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Isi 2

Selain itu, mempelajari sejarah akan menyemai perpaduan antara kaum terutamanya dalam kalangan generasi muda. Persis kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sistem pendidikan yang terasing sedikit merencat perkembangan perpaduan antara kaum generasi muda hari ini. Namun begitu, dengan mempelajari sejarah, elemen perpaduan itu akan dipupuk secara tidak langsung. Kestabilan negara boleh diibaratkan seperti negara kita adalah pokok dan rakyat ibarat akar, pokok tidak akan berdiri kukuh tanpa akar begitu juga negara kita. Jika rakyat mengutamakan nilai perpaduan, keamanan dan kestabilan negara pasti akan terjamin.  Negara kita pernah mencatatkan sejarah hitam selepas merdeka iaitu tragedi persalahfahaman antara kaum pada 13 Mei 1969. Tragedi ini meragut banyak nyawa dan perpaduan negara itu ibarat telur di hujung tanduk, Selepas terjadinya peristiwa hitam ini, kita mestilah sentiasa memastikan bahawa hubungan antara kaum dipelihara agar tragedi tidak berulang kembali.

Isi 3

Pada masa yang sama, mempelajari sejarah akan dapat membantu generasi muda dalam mengambil iktibar daripada peristiwa masa dahulu. Hal ini demikian kerana dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang terdahulu mengandungi pelbagai pengajaran yang tersirat. Tamsilnya, peristiwa Tanah Melayu dijajah dan ditindas oleh penjajah British memberi pengajaran kepada generasi muda supaya jangan terlalu mudah mempercayai orang asing. Penjajah digambarkan dengan licik dan jahat pada masa itu kerana sanggup menggunakan tipu muslihat atau taktik kotor untuk meluaskan kawasan jajahan mereka di tanah air kita. Intihannya, generasi yang bakal memacu masa hadapan negara dapat memperbaiki kesilapan masa lalu dan mencipta kejayaan yang lebih gemilang. Tanpa mempelajari kesalahan dan kesilapan masa lalu, kita mungkin mengulangi kesilapan lampau yang bukan sahaja merugikan seseorang individu tetapi mungkin juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Isi 4

Akhir sekali, kepentingan generasi muda untuk mempelajari sejarah adalah supaya mereka menghargai budaya, warisan dan tradisi yang dimiliki oleh tanah air ini. Sebagai contoh, pasukan bola sepak negara pernah layak untuk beraksi di kejohanan Olimpik pada satu ketika dahulu, Pasukan tersebut terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India dimana ia tercatat sebagai sejarah terulung dalam arena bola sepak tanah air. Tetapi sejak kebelakangan ini, timbul isu rasisme daripada penyokong terhadap pemain yang bermain d atas padang. Oleh itu, sekiranya generasi muda mempelajari sejarah, mereka akan bersikap terbuka dan toleransi seterusnya berusaha menghidupkan budaya negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Selain itu, tradisi seperti pertunjukkan wayang kulit, permainan wau dan gasing perlu dipelajari oleh generasi muda kerana kalau bukan mereka yang akan memelihara tradisi tersebut, siapa yang akan melakukannya. Intihanya, pemeliharaan warisan, tradisi dan budaya masyarakat kita dapat dijaga sekiranya generasi muda mempelajari sejarah di sebaliknya.

Penutup

Konklusinya, pelbagai kepentingan yang tersurat dan tersirat apabila generasi muda mempelajari sejarah. Golongan yang bakal menggantikan pemimpin hari ini di masa akan datang tidak sepatutnya mempunyai anggapan bahawa sejarah adalah sesuatu yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Setiap di antara kita memainkan peranan penting dalam memupuk minat generasi muda dalam mempelajari sejarah. Peribahasa Melayu berkata, bagai kacang lupakan kulit. ungkapan tersebut adalah nilai yang kita cuba jauhi agar generasi muda sedar mereka akan menggalas tanggungjawab dalam memacu negara ke tahap kemajuan yang lebih baik. Semoga dengan mempelajari sejarah, generasi muda dapat memberikan wawasan dan membawa negara Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.