Karangan
Kebaikan Dan Kepentingan Amalan Kitar Semula Kepada Manusia
Penulisan karangan Bahasa Melayu menguji kebolehan para pelajar dalam memberikan idea yang bernas dan penggunaan Bahasa Melayu yang betul serta tepat. Ramai dalam kalangan pelajar mengalami kesukaran untuk menjawab soalan ini kerana kurang melakukan latihan sekali gus tidak terdedah dengan pelbagai tema dan tajuk soalan yang berpotensi untuk keluar dalam peperiksaan. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan kepentingan kitar semula kepada manusia dan alam sekitar.
Pelajar perlu peka dengan soalan yang diberikan misalnya seperti contoh di bawah yang memerlukan isi-isi penting daripada dua sudut berbeza, iaitu manusia dan alam sekitar. Maka, anda perlu menghuraikan isi-isi penting yang berkaitan dengan kehendak soalan dan seimbang dari segi perenggan. Selain itu, pelajar juga boleh memasukkan frasa-frasa menarik seperti peribahasa bagi mendapatkan markah yang cemerlang dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.
Isi Kandungan
Kebaikan Dan Kepentingan Kitar Semula Kepada Manusia Dan Alam Sekitar
Isi-isi penting
- Menjimatkan perbelanjaan
- Membuka industri dan sumber baharu
- Menjamin kelangsungan generasi manusia
- Mengurangkan pencemaran alam
- Memelihara sumber alam semula jadi
- Ekosistem menjadi stabil
Baca juga: Contoh-Contoh Karangan SPM Bahasa Melayu Terbaik
Contoh Karangan Kepentingan Kitar Semula Kepada Manusia Dan Alam Sekitar
Pendahuluan
Darsawarsa, dalam menempuh arus modenisasi yang menerjah watan tanpa diundang, pencemaran alam sekitar semakin menjadi parah barah serta duri dalam daging watan. Pelbagai anjakan paradigma telah digarap dan dicanang bagi membendung kemelut ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan termasuklah yang hangat meniti dari bibir ke bibir masyarakat sekeliling. Antara prakarsa yang diperkenalkan adalah amalan kitar semula di mana bahan-bahan buangan diproses menjadi bahan baharu atau bahan kitar semula dan digunakan untuk fungsi yang sama atau berlainan. Alternatif ini telah pun diwar-warkan dan ditelusuri oleh segenap masyarakat diseantero dunia namun masih terdapat sebahagian masyarakat yang tidak mengambil endah akan kepentingan amalan ini. Justeru, wajar untuk kita mengetahui kepentingan amalan kitar semula kepada manusia dan alam sekitar.
Isi 1
Kepentingan utama amalan alam sekitar kepada manusia adalah dapat menjimatkan perbelanjaan secara mikro dan makro. Dari segi mikro, masyarakat tidak perlu berbelanja lebih sekiranya mereka mengitar semula barangan keperluan seperti pakaian dan buku. Anda boleh menyumbangkan pakaian yang kita tidak gunakan secara kerap atau mengitar semula pakaian anak-anak yang masih elok untuk dipakai oleh saudara-mara yang baru dikurniakan anak-anak. Sumbangan buku-buku juga adalah penting supaya sumber yang digunakan iaitu kertas untuk mencetak buku baharu dipelihara dan tidak dibazirkan. Hal ini demikian kerana lebih 160 000 pokok telah ditebang secara tahunan untuk diproses bagi memenuhi permintaan industri yang menggunakan kertas. Sebanyak satu setengah tan pokok digunakan untuk menghasilkan 800 helai kertas. Secara makro pula, amalan kitar semula dapat menjimatkan perbelanjaan dalam pengurusan sampah. Kos penyelenggaraan tapak pelupusan sampah semakin meningkat dari hari ke hari berikutan kuatiti sampah yang turut meningkat. Usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah daripada menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit harus disokong. Izharnya, amalan kitar semula dapat membantu manusia untuk menjimatkan sebahagian sumber kewangan yang digunakan untuk mengurus bahan buangan dan disalurkan ke arah yang lebih bermanfaat.
Isi 2
Di samping itu, kitar semula dapat membuka pasaran dan industri baharu dalam landskap dunia hari ini. Pertumbuhan ekonomi dan bilangan penduduk di setiap negara yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan merupakan faktor utama pasaran dan industri baharu perlu diwujudkan. Sebagai contoh, aktiviti pertanian dan agrikultur telah menjalani proses inovasi dan boleh dijalankan secara komersial di dalam sebuah bangunan tanpa menggunakan tanah. Sistem yang dikenali sebagai hidroponik ini berpotensi besar sebagai sumber masyarakat di kawasan bandar terutamanya kerana sumber tanah yang terhad tidak menjadi rintangan. Ia juga boleh diintegrasikan dengan penternakan ikan dan menjadi sistem akuaponik. secara tidak langsung meminimakan kawasan tumpuan haiwan pembaya penyakit seperti nyamuk. Jika kita kekal di takuk lama dan menggunakan setiap sumber alam bagi kegunaan yang tidak kekal lama, apakah yang akan digunakan oleh anak dan cucu kita kelak sekiranya sumber semula jadi pupus? Intihannya, inovasi dan teknologi yang berteraskan konsep kitar semula seharusnya diaplikasikan kerana ia memberi manfaat yang tersurat dan tersirat.
Isi 3
Kepentingan kitar semula kepada alam sekitar pula adalah dapat mengurangkan pencemaran alam daripada terus berlaku. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir manusia yang membuang sisa-sisa yang tidak sepatutnya ke dalam sungai dan laut telah menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku. Sebagai contoh, peristiwa di Pasir Gudang di mana pencemaran udara telah berlaku akibat pembuangan sisa toksik di sungai berhampiran dan mengakibatkan golongan kanak-kanak mengalami kesukaran untuk bernafas dan dimasukkan ke hospital. Bencana ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua kerana nyawa yang tidak berdosa akan terkorban sekiranya pencemaran tidak dibendung secara tegas. Tambahan pula, amalan kitar semula yang mengurangkan kadar pembuangan sampah dapat menyelamatkan alam sekitar daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk atau tikus. Haiwan yang membiak di kawasan kotor berpotensi menjadi punca penularan wabak penyakit berjangkit. Oleh itu, penting untuk kita mengamalkan kitar semula agar kebersihan alam sekitar dapat dipelihara dengan baik.
Isi 4
Akhir sekali, kitar semula merupakan perkara yang mustahak bagi alam sekitar kerana ia dapat memelihara sumber alam semula jadi. Objektif utama kitar semula adalah untuk kita menggunakan bahan yang kita ada secara optimum atau mengurangkan penggunaan bahan mentah bagi mengelakkan pembaziran sumber alam semula jadi yang semakin terhad. Untuk makluman semua, alam semula jadi yang terdiri daripada tanah-tanih, taburan hutan, lautan dan udara yang terbentang luas adalah sumber semula jadi yang terhad kerana ia memakan masa yang lama untuk terhasil. Sumber batu arang, gas dan petroleum yang menjadi sumber tenaga utama dunia masa kini akan habis dan kita perlu bersedia dengan pelbagai alternatif lain. Persis kata peribahasa Melayu, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga memerlukan alam semula jadi yang menjadi habitat mereka dan kita sebagai manusia yang berakal seharusnya sedar dan melakukan tindakan yang bijak bagi memelihara kepentingan semua perkara.
Penutup
Secara tuntas, pelbagai kepentingan yang diperoleh sama ada bagi manusia dan alam sekitar sekiranya kita mengamalkan kitar semula. Kempen yang telah dilaksanakan pada masa dahulu iaitu pengenalan tiga tong kitar semula mengikut warna perlu diperkasa semula. Setiap pihak perlu berganding bahu bagai aur dan tebing bagi merealisasikan iltizam dalam membudayakan amalan kitar semula pada masyarakat kita. Salah satu perkara yang tidak disedari adalah setiap pembelian barang baharu akan menghasilkan sampah atau sisa pepejal yang baharu. Banyak sumber dan wang telah dilaburkan dalam mencari potensi habitat lain yang mampu didiami oleh spesis manusia. Tetapi hanya satu sahaja planet yang menepati keperluan kita iaitu planet yang bernama bumi. Maka kita perlu sedar bahawa tiada tempat lain yang kita mampu pergi sekiranya alam sekitar kita rosak dan dicemari. Semoga amalan kitar semula menjadi budaya setiap ahli masyarakat bak kata peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa.
Related : menghasilkan barang barang baru untuk membina kerana bahan program kitar