Karangan

Kepentingan Kelas Campur Kepada Murid Dan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru

Pelbagai jenis tema dan tajuk soalan yang menjadi soalan pilihan dalam ujian penulisan karangan Bahasa Melayu. Pelajar akan diuji dengan penguasaan bahasa serta pengetahuan am berkenaan isu-isu semasa dan perkara yang berfakta. Berikut dikongsikan contoh karangan kepentingan kelas campur kepada murid dan cabaran yang dihadapi oleh guru sebagai rujukan.

Pelajar pastinya dapat memberikan idea atau isi penting yang berkaitan dengan tajuk di bawah. Hal ini kerana pelajar mempunyai pengalaman mengenai situasi yang dibincangkan dan seterusnya menghuraikan dengan hujahan yang menarik. Pada persoalan cabaran kepada guru, pelajar perlu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi bagi mendapatkan idea yang betul dan menepati kehendak soalan.

peta minda kepentingan kelas campur kepada murid dan cabaran kepada guru Kepentingan Kelas Campur Kepada Murid Dan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru

Faedah Dan Manfaat Kelas Campur Kepada Murid Dan Cabaran Buat Guru

Isi-isi penting

  • Merapatkan jurang perbezaan antara pelajar
  • Memberi persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar
  • Mendedahkan bentuk pembelajaran yang berlainan antara pelajar
  • Guru perlu merancang kaedah pengajaran yang sesuai dan efektif
  • Guru harus menghadapi masalah disiplin pelajar
  • Guru terpaksa melatih murid mengikut keupayaan pelajar

Baca juga: Kesan Buruk Pendedahan Kepada Media Sosial Yang Berlebihan

Contoh Karangan Kepentingan Kelas Campur Kepada Murid Dan Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru

Pendahuluan

Dasawarsa ini, pelbagai cabaran dan kejayaan yang telah dikecapi oleh manusia sejagat dalam era globalisasi dan modenisasi. Segalanya bermula dengan evolusi pendidikan yang kekal relevan dalam perubahan budaya masyarakat serta perkembangan teknologi. Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, objektif sektor pendidikan negara adalah pembangunan potensi murid secara holistik dan bersepadu dalam mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni. Justeru, persekitaran yang kondusif adalah penting supaya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan secara insaniah. Antara langkah yang dicadangkan bagi mewujudkan iklim bilik darjah yang kondusif adalah mencampurkan kelas diantara pelajar yang cemerlang bersama pelajar yang belum mencapai tahap kecemerlangan yang baik. Persoalan yang timbul adalah apakah manfaat kelas campur kepada murid dan cabaran yang dihadapi oleh guru?

Isi 1

Antara kepentingan adanya kelas ini adalah merapatkan jurang perbezaan antara pelajar. Jika ditelusuri, kaedah konvensional menentukan kedudukan pelajar di dalam kelas adalah mengikut pencapaian akademik mereka. Pelajar yang cemerlang akan duduk di kelas pertama dan pelajar yang kurang cemerlang akan menduduki kelas belakang. Kaedah ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada jurang pendidikan murid-murid tetapi memberi kesan yang tidak sihat kepada pergaulan masyarakat. Misalnya, apabila mereka dewasa, golongan intelektual hanya akan bergaul sesama mereka dan golongan lain akan ketinggalan dibelakang. Situasi ini akan menimbulkan jurang kemasyarakatan dan juga ekonomi yang memberi kesan kepada perkembangan negara. Murid-murid boleh diibaratkan seperti pokok yang memerlukan baja, bukan semua pokok memerlukan baja yang sama. Ianya terletak kepada golongan pendidik seperti guru serta ibu dan bapa dalam mencari mekanisme terbaik untuk membentuk diri dan kecemerlangan seorang pelajar. Jelaslah bahawa kelas campur dapat merapatkan jurang perbezaan antara pelajar dan mereka dapat saling bantu-membantu demi kejayaan bersama. Persis kata mutiara berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Isi 2

Pada waktu yang sama, kelas campur mempunyai kepentingan dalam memberi persaingan yang sihat di antara pelajar. Tamsilnya, apabila seorang pelajar bergaul dan melihat rakannya rajin dan bersemangat untuk menguasai sesuatu subjek atau mata pelajaran, mereka pasti akan menerima tempiasnya. Secara tidak langsung, motivasi diri pelajar akan bertambah kerana ingin berjaya bersama-sama rakan sekelas dan sebaya mereka. Selain itu, kaedah kelas campur dapat membuka mata pelajar yang kurang cemerlang untuk mengetahui kaedah pembelajaran yang digunakan oleh pelajar cemerlang. Sebagai contoh apabila rakannya membuat nota ringkas berkaitan subjek yang dipelajari, mereka akan mendapat idea dan melakukan perkara yang sama supaya tidak ketinggalan dan memahami apa yang dipelajari. Persis peribahasa, belakang parang kalau diasah nescaya akan tajam. Langkah ini juga mempupuk generasi muda supaya sentiasa bergaul dengan setiap lapisan masyarakat agar kita dapat memberikan bantuan atau sumbangan di dalam kemampuan kita kepada mereka yang memerlukan. Sifat empati dan saling bantu-membantu tanpa diskriminasi dapat dilahirkan sejak dibangku sekolah demi kemaslahatan masyarakat. Izharnya, kelas bercampur dapat menimbulkan persaingan yang baik antara pelajar serta meningkatkan motivasi diri masing-masing.

Isi 3

Namun begitu, guru-guru perlu mendepani pelbagai cabaran bagi melaksanakan kaedah baharu dalam penstrukturan bilik darjah di sekolah. Antara cabaran yang bakal dihadapi adalah mereka perlu merancang pengajaran yang sesuai dengan setiap pelajar. Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain merupakan peribahasa Melayu yang memberi erti kepada perbezaan manusia. Guru perlu mengagihkan perhatian yang sama kepada setiap pelajar dan memperkenalkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif kepada semua pelajar. Misalnya, mengadakan perbincangan secara berkumpulan dengan lebih kerap. Kaedah ini dapat memberikan ruang kepada pelajar untuk mengutarakan pendapat atau idea masing-masing dan seterusnya menghasilkan rumusan yang kolektif kepada perkara yang dibincangkan. Ia juga dapat meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi para pelajar supaya dapat diolah dalam ujian atau peperiksaan yang bakal diduduki. Natijahnya, guru perlu merencana pembelajaran yang interaktif dan berkesan kepada pelajar tanpa membezakan mereka diantara satu sama lain.

Isi 4

Di samping itu, para guru akan menghadapi masalah disiplin pelajar sekiranya kelas campur diperkenalkan. Jika proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif gagal dilaksanakan oleh guru, pelajar akan menerima kesannnya. Pelajar yang lebih pandai akan kehadapan untuk menjawab segala pertanyaan daripada guru dan pelajar yang tidak faham akan diam dan malu untuk bertanya. Sikap bodoh sombong ini seharusnya dielakkan supaya masyarakat yang terbuka mindanya dapat dilahirkan. Tambahan pula, kerja-kerja sekolah lazimnya disiapkan oleh pelajar yang pandai dan pelajar yang tidak mahir subjek tersebut akan meniru kerja sekolah rakan mereka tanpa memahaminya. Perkara ini hendaklah dielakkan kerana ia akan manambah barah kepada jurang pendidikan antara pelajar dan seterusnya masyarakat. Semangat dan motivasi pelajar seperti hangat-hangat tahi ayam perlu dielakkan. Oleh itu, penglibatan aktif daripada setiap pelajar diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya ia memberikan kesan yang positif. Intihannya, mengubah dan membentuk disiplin pelajar merupakan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru apabila kelas bercampur dilaksanakan di bilik darjah pelajar.

Penutup

Sebagai kesimpulan kepada perbincangan di atas, banyak kepentingan kepada murid dan cabaran kepada guru dengan pelaksanaan kelas campur di sekolah. Dalam mendepani era globalisasi dan modenisasi masa kini, perubahan struktur pendidikan adalah mustahak supaya generasi muda kita dapat bersaing dengan masyarakat dunia. Kejayaan ahli akademik dan graduan negara menempa nama di universiti-universiti terbaik di seluruh dunia membuktikan bahawa kita mempunyai golongan yang cerdik dan pandai. Dasar pendidikan yang menyeluruh dan lebih progesif perlu diketengahkan supaya masyarakat kita dapat memacu kemajuan negara setanding dengan negara asing yang lain. Peribahasa melayu berkata, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran di mana jika kita terlalu mengutamakan satu golongan sahaja iaitu yang berpendidikan tinggi, maka kejayaan hakiki tidak akan dicapai kerana masih terdapat golongan yang ketinggalan. Semoga setiap usaha dalam memastikan semua lapisan masyarakat menerima pendidikan tanpa sebarang kos dan diskriminasi dapat dilaksanakan kerana ilmu adalah kunci kejayaan manusia sejagat.

Related : anak anak murid yang lemah soalan 2 maksud rangkai kata satu kelas kelas bawah untuk memasuki untuk murid jawab soalan soalan 2 markah 3 markah