Karangan

Kebaikan Dan Kelebihan Perniagaan Dalam Talian

Sebagai pelajar yang akan menduduki peperiksaan, anda digalakkan untuk membuat persediaan dengan melakukan latihan tambahan. Bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, penulisan karangan memerlukan pelajar melazimi pelbagai tajuk dan tema yang berpotensi untuk menjadi soalan. Oleh itu, berikut dikongsikan contoh karangan kelebihan perniagaan secara atas talian kepada pengguna dan peniaga untuk panduan pelajar.

Tajuk soalan yang diketengahkan sering kali dekat dengan persekitaran hidup pelajar, contohnya penggunaan teknologi dalam rutin kehidupan hari ini. Justeru, pelajar perlu peka dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan am bagi membolehkan anda menjawab soalan penulisan karangan dengan lancar. Tambahan pula, dengan merujuk contoh karangan seperti di bawah, anda akan mendapat idea dan isi penting yang berbeza serta menarik untuk dihuraikan.

peta minda kelebihan perniagaan secara atas talian Kebaikan Dan Kelebihan Perniagaan Dalam Talian

Kebaikan Dan Kelebihan Perniagaan Secara Atas Talian

Isi-isi penting

  • menjimatkan masa pengguna
  • menawarkan pelbagai jenis produk
  • memudahkan perbandingan harga
  • mengurangkan risiko perniagaan
  • membuka pasaran global
  • menawarkan fleksibiliti

Baca juga: Koleksi Peribahasa Melayu Serta Maksud

Contoh Karangan Kelebihan Perniagaan Secara Atas Talian Kepada Pengguna Dan Peniaga

Pendahuluan

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, kita dapat menikmati pelbagai kemudahan hasil inovasi dan aplikasi teknologi dalam kehidupan harian. Evolusi telefon kepada telefon bimbit dan seterusnya menjadi telefon pintar telah mengubah landskap masyarakat hari ini di mana setiap perkara bergerak dengan pantas dan singkat. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah juga penggunaan aplikasi di telefon pintar di mana pelbagai aplikasi yang diperkenalkan termasuklah perniagaan secara atas talian. Hanya dengan sambungan Internet, perniagaan atas talian atau dikenali sebagai e-dagang membolehkan sesiapa sahaja melakukan urusan jual beli secara maya. Oleh itu, wajar untuk kita bincangkan kelebihan perniagaan secara atas talian kepada pengguna dan peniaga.

Isi 1

Antara, manfaat yang diperoleh pengguna dalam melakukan pembelian secara atas talian adalah dapat menjimatkan masa pengguna. Faktor kesesakan di pusat membeli-belah dan pasaraya telah membuatkan pengguna beralih ke perniagaan secara atas talian. Pengguna tidak perlu bersesak mencari kawasan untuk parkir kenderaan, beratur untuk membuat pembayaran atau berebut untuk mendapatkan barang yang terhad. Pembelian atas talian memberikan pengguna pengalaman yang jauh berbeza kerana mereka bebas untuk melayari dan mencari barang yang menepati kehendak masing-masing. Pembayaran juga mudah dengan teknologi perbankan internet hari ini yang hanya memerlukan pengguna melalui proses verifikasi dan pengesahan. Kemudahan logistik yang cekap, selamat dan mudah ini telah menjadi norma baharu dalam masyarakat di mana penggunaan masa itu adalah penting ibarat peribahasa Melayu, masa itu emas.

Isi 2

Selain itu, aplikasi perniagaan secara atas talian menawarkan variasi produk yang boleh dilihat dengan mudah oleh pengguna. Pelbagai aplikasi perniagaan atas talian yang telah dilancarkan kepada pengguna dalam negara seperti Lzada, Shopee dan mudah.my. Setiap aplikasi menawarkan pelbagai jenis produk di samping promosi yang berbeza bagi menarik pengguna. Justeru, sebagai pengguna yang bijak, perbandingan harga dapat diaplikasikan hanya dengan menggunakan hujung jari. Situasi berbeza sekiranya kita melakukan jual beli secara realiti di mana banyak tenaga dan masa akan dibazirkan. Tambahan pula, pembelian secara atas talian membolehkan pengguna mencari prosuk mengikut kategori dan kriteria yang dikehendaki hanya dengan menekan butang yang disediakan. Oleh itu, kemudahan melayari dan membandingkan harga atau kualiti produk yang diinginkan adalah kelebihan yang dinikmati apabila pengguna membeli secara atas talian.

Isi 3

Dari sudut pandang peniaga pula, kelebihan perniagaan secara atas talian memberikan risiko yang lebih rendah untuk menjalankan perniagaan. Hal ini demikian kerana peniaga tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyewa kawasan perniagaan serta mengupah pekerja pada kadar yang lebih optimum berbanding perniagaan konvensional. Kos untuk memulakan sesebuah perniagaan konvensional biasanya lebih tinggi tetapi kos sewa kedai, ubah suai bangunan, upah pekerja dan lain-lain dapat dikurangkan melalui perniagaan dalam talian. Sebaliknya, peniaga memerlukan kemahiran komunikasi yang tinggi bagi menjaga hubungan dengan pelanggan serta mengharapkan servis penghantaran yang digunakan melakukan tugas yang baik. Pengurusan perniagaan secara atas talian juga adalah lebih selamat dan mudah untuk diuruskan. Segala maklumat dan urusan jual beli yang berlaku direkod dan boleh disemak semula bagi tujuan audit dan sebagainya. Jelaslah bahawa perniagaan secara atas talian memberi kelebihan dari segi risiko kepada peniaga hari ini.

Isi 4

Di samping itu, peniaga juga dapat memasarkan produk mereka ke pasaran global dengan menjalankan perniagaan secara atas talian. Capaian Internet yang tiada terhad telah menjadikan proses globalisasi masyarakat dunia menjadi semakin pantas. Kesannya, e-perdagangan telah menjadi penyumbang utama dalam industri perniagaan dunia secara amnya. Rentetan senario itu, usahawan tempatan perlu menaikkan tahap perniagaan mereka supaya sejajar dengan barisan usahawan di seluruh dunia bagi memecah pasaran global. Tamsilnya, perniagaan pakaian muslimah atau muslim wanita, hanya perlu menggunakan laman e-dagang yang menggunakan bahasa pengantar dunia iaitu Bahasa Inggeris untuk memasarkan produk mereka kepada golongan muslimah di serata dunia. Tambahan pula, media sosial juga telah menjadi medium perniagaan secara atas talian yang memudahkan pengguna global untuk membeli.

Penutup

Akhir kalam, pelbagai kelebihan yang dinikmati hasil daripada perniagaan atas talian kepada pengguna dan peniaga. Kemudahan teknologi ini juga telah membuka peluang perniagaan secara sambilan kepada golongan yang memerlukan pendapatan sampingan. Pihak yang berkenaan sepatutnya memperkenalkan inisiatif untuk membantu peniaga secara ata talian untuk berkembang dan maju. Selain itu, penambah baikan infrastruktur telekomunikasi dalam negara juga membantu perkembangan dan penggunaan teknologi secara atas talian dalam negara ini. Semoga setiap pihak dan ahli masyarakat bersedia untuk memanifestasikan fikiran dalam usaha mendepani corak ekonomi dan perniagaan pada alaf baharu. Persis kata mutiara, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.