Karangan
Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam (Kelebihan)
Penulisan karangan Bahasa Melayu terdiri daripada variasi tema yang akan menguji pengetahuan dan penguasaan bahasa para pelajar. Selain daripada perlu memberi isi-isi penting yang berkaitan, pelajar juga perlu menghurai dengan gaya bahasa yang menarik serta betul dari segi penggunaan bahasanya. Sebagai panduan, berikut dikongsikan contoh karangan kebaikan menggunakan pengangkutan awam.
Penulisan karangan yang bertemakan awam atau berkaitan dengan masyarakat memerlukan pelajar memberi contoh dan huraian yang tepat. Dengan pengetahuan yang ada pelajar juga boleh mengutarakan idea atau isi penting yang mampu menonjolkan penulisan karangan anda dan berbeza daripada penulisan karangan rakan-rakan.
Isi Kandungan
Kelebihan Menggunakan Pengangkutan Awam
Isi-isi penting
- Memanfaatkan kemudahan awam
- Mengurangkan kesesakan lalulintas
- Menjamin keselamatan pengguna
- Mengurangkan pencemaran udara
- Menjimatkan masa dan wang
- Merancak ekonomi kawasan setempat
Baca juga: Faedah Menyertai Program Motivasi Kepada Pelajar
Contoh Karangan Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam
Pendahuluan
Dalam meniti arus kemodenan hari ini, kita sering kali dijamukan dengan pelbagai kemudahan yang membantu kehidupan manusia menjadi lebih baik dan berkualiti. Antara kemudahan yang telah memberikan impak kepada manusia adalah pengangkutan awam. Sistem yang dibina bagi membolehkan sekelompok kumpulan manusia dalam jumlah yang banyak bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain ini telah memberikan perubahan kepada pelbagai aspek kehidupan manusia. Pembangunan bandar atau penempatan manusia ditumpu kepada kawasan yang meliputi pengangkutan awam kerana ia menarik minat masyarakat dan juga ekonomi disebaliknya. Di negara kita, terdapat beberapa jenis pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas awam dan tren yang dibangunkan di kawasan bandar-bandar besar. Sebagai pengguna perkhidmatan ini, apakah kebaikan yang diperoleh jika kita terus menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam?
Isi 1
Umum sedia maklum bahawa pengangkutan awam disediakan untuk kegunaan masyarakat awam. Oleh itu, kita sewajarnya memanfaatkan kemudahan awam yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tempatan. Rangkaian perhubungan masyarakat seperti pengangkutan adalah infrastruktur asas dalam membawa kemajuan ke sesebuah kawasan. Sekiranya kerajaan tempatan berjaya menyediakan pengangkutan awam yang efisien, nescaya aktiviti ekonomi di kawasan sekitar akan berkembang. Masyarakat akan menggunakan pengangkutan awam disebabkan kos yang lebih rendah berbanding memiliki kenderaan persendirian. Maka, kuasa pembeli akan meningkat dan golongan yang menggunakan perkhidmatan awam akan menyalurkan pendapatan mereka ke arah perniagaan domestik seperti gerai-gerai makanan dan kedai-kedai runcit. Kesannya, pertumbuhan ekonomi akan berlaku dan kerajaan akan mendapat pulangan dalam bentuk cukai-cukai yang telah dikenakan.
Isi 2
Manfaat lain dalam menggunakan pengangkutan awam adalah dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Masalah ini lazimnya timbul di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang ramai. Maka, wujud rangkaian pengangkutan seperti komuter dan monorel yang merupakan tren aliran ringan di bandar-bandar utama di dunia. Jenis pengangkutan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pengguna jalan raya tetapi ia juga dapat mengangkut jumlah penumpang yang lebih banyak berbanding kenderaan lain. Tamsilnya, di Bandaraya Kuala Lumpur merekodkan jumlah penumpang harian perkhidmatan rel dan bas adalah seramai satu juta penumpang pada tahun 2016. Angka ini dijangka akan meningkat dan rangkaian perkhidmatan awam ini wajar ditambah baik dan dibina di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Justeru, dengan menaiki pengangkutan awam, kita telah menyumbang kepada usaha mengurangkan kesesakan jalan raya serta memberi laluan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti ambulans dan kenderaan bomba.
Isi 3
Pada waktu yang sama, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dapat menjamin keselamatan pengguna. Hal ini demikian kerana jumlah kemalangan di jalan raya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Jika ditelusuri, kemalangan lalu lintas kebanyakannya berlaku disebabkan oleh kecuaian manusia. Contohnya, memandu di bawah pengaruh alkohol, memandu melebihi had kelajuan dan berbahaya serta tayar kenderaan meletup kerana membeli tayar yang murah dan tidak berkualiti. Namun begitu, perkhidmatan awam seperti bas dan tren mempunyai risiko yang lebih rendah kerana kelajuan yang terhad dan terdapat laluan khas untuk pengangkutan ini. Kalau kita lihat di ibu kota negara jiran kita iaiatu Jakarta, Indonesia, perkhidmatan bas awam mereka mempunyai lorong khas sekaligus memudahkan perjalanan pengguna dan menjimatkan masa mereka. Izharnya, kita hendaklah menyediakan payung sebelum hujan dalam apa jua perkara terutamanya pengangkutan kenderaan yang melibatkan nyawa kita dan orang-orang yang tersayang.
Isi 4
Akhir sekali, pencemaran udara dapat dikurangkan sekiranya kita memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam. Dengan pengurangan pengguna jalan raya serta kenderaan persendirian maka berkuranglah perlepasan gas dan karbon yang mengancam ekosistem alam sekitar kita. Sistem yang digunakan oleh kebanyakan kenderaan hari ini menggunakan bahan bakar yang tidak boleh diperbaharui dan melepaskan partikel yang mengancam kualiti udara. Sebagai manusia, kita amat memerlukan udara yang sihat dan segar kerana selain membekalkan oksigen ia juga membantu pertumbuhan sumber alam khususnya sumber makanan kita seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Tetapi, kemajuan teknologi dan sains telah memberikan manusia untuk mencipta kenderaan yang lebih mesra alam dan menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga elektrik. Penggunaan kenderaan elektrik juga telah berjaya diasimilasikan kepada pengangkutan awam seperti bas dan juga tren. Inisiatif yang baik ini wajar disokong oleh masyarakat serta pihak kerajaan dalam menjadikan pengangkutan awam mesra alam dan mesra komuniti.
Penutup
Kesimpulannya, jelas bahawa menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam memberikan manfaat yang pelbagai kepada semua yang terlibat. Masalah kepadatan penduduk dapat diatasi dan perancangan bandar dapat disusun atur dengan baik selaras dengan rangkaian perhubungan komuniti setempat. Kajian dan maklum balas daripada masyarakat setempat adalah penting dalam merencana sebuah sistem pengangkutan awam yang berkesan. Semoga semua pihak yang terlibat dalam pembangunan pengangkutan awam di negara kita bersikap cakna dan menghasilkan mekanisme terbaik supaya kita sebagai rakyat marhaen dapat menggunakannya tanpa perlu memikirkan kos dan sebarang risiko. Jika kita berjaya membangunkan rangkaian pengangkutan awam yang mudah dan menjadi pilihan setiap ahli masyarakat, sudah tentu ia akan menjadi model kepada negara membangun yang lain. Secara tidak langsung, kepakaran anak tempatan akan menjadi rebutan di setiap penjuru dunia.