Karangan
Kelebihan Dan Kebaikan Amalan Makan Bersama-Sama Keluarga
Berita baik kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu. Adakah anda mencari contoh karangan Bahasa Melayu secara atas talian? Sekiranya ya, berikut dikongsikan contoh karangan kelebihan dan kebaikan amalan makan bersama keluarga yang boleh dijadikan rujukan kepada para pelajar.
Topik kekeluargaan merupakan tema yang lazim digunakan sebagai tajuk soalan karangan Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana ia dapat membantu pelajar memberikan isi-isi penting yang mudah dan tepat dengan kehendak soalan. Pelajar hanya perlu mengarang penulisan yang terbaik dari segi susunan isi-isi penting, penggunaan tatabahasa dan penambahan frasa-frasa menarik yang berkaitan bagi mendapatkan markah yang cemerlang.
Isi Kandungan
Kebaikan Amalan Makan Bersama Seisi Keluarga
Isi-isi penting
- meningkatkan disiplin dan adab ketika makan
- mengeratkan hubungan kekeluargaan
- meningkatkan tahap komunikasi dalam sesebuah keluarga
- mendedahkan tentang kepentingan pemakanan seimbang
- memuji anak-anak
Baca juga: Contoh-Contoh Karangan SPM Bahasa Melayu Terbaik
Contoh Karangan Kelebihan Dan Kebaikan Amalan Makan Bersama Keluarga
Pendahuluan
Budaya makan bersama-sama dengan keluarga kini semakin kurang diamalkan. Dalam kehidupan manusia yang berkeluarga, waktu makan merupakan masa yang paling istimewa dapat dilakukan sekiranya ada perancangan yang teliti. Hal ini telah diperjelaskan oleh William J. Siegel, iaitu manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi sebenarnya mereka gagal untuk merancang. Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlulah membentuk budaya makan di rumah. Galakan agar setiap ahli keluarga duduk bersama-sama di meja makan perlulah diberi keutamaan. Malangnya, budaya makan bersama-sama keluarga yang menjadi teras ikatan kekeluargaan semakin dipinggirkan. Anak-anak pada zaman sekarang makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amat sukar untuk mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang namun kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam. Punca utama yang dikenalpasti fenomena ini berlaku kerana bersikap mementingkan diri sendiri bagai “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dalam menggalakkan anak-anak makan bersama-sama. Lazimnya, kebaikan makan bersama dengan keluarga sememangnya tiada penghujungnya untuk dibincangkan.
Isi 1
Pertama sekali, manfaat utama apabila sesebuah keluarga dapat makan bersama-sama ialah budaya ini dapat meningkatkan disiplin dan adab ketika makan dalam ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana adab ketika di meja makan kini semakin hilang dalam kalangan generasi muda. Anak-anak pula lebih gemar menikmati makanan sambil menonton televisyen atau mendengar muzik. Anak-anak pula akan tergesa-gesa untuk menghabiskan makanan bagi mengejar rancangan hiburan masing-masing yang tiada penghujungnya. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menetapkan disiplin atau adab di meja makan. Ketika makan bersama, ibu bapa dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak untuk menyediakan hidangan, membasuh pinggan mangkuk dan mengemas meja apabila selesai makan. Kesannya, didikan ini akan menyebabkan ibu bapa akan pulang ke rumah untuk makan bersama dengan anak-anak. Selain itu, kelazatan dan kebersihan makanan serta minuman tersebut akan terjamin. Tambahan pula, kesihatan dengan makan bersama-sama keluarga dapat ditingkatkan. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa “mencegah lebih baik daripada mengubatinya” dalam soal pengambilan makanan ini. Hakikatnya, makan bersama dengan keluarga mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah dalam soal pemakanan.
Isi 2
Selain peningkatan disiplin dan adab ketika makan, budaya makan bersama-sama juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan yang semakin renggang pada masa kini dek kesibukan dunia. Hal ini begitu kerana waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Dengan demikian, ibu bapa boleh berinteraksi sambil berbual dengan anak-anak ketika makan. Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan belajar. Selain itu, ibu bapa dan anak-anak boleh berbincang tentang sesuatu perkara yang menggembirakan atau menyedihkan yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat. Ibu bapa juga boleh bertanya tentang masalah yang dihadapi sama ada masalah peribadi ataupun masalah pembelajaran mereka. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti berlaku.Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah. Untuk menjadi lebih menyeronokkan, ahli-ahli keluarga boleh memasak bersama-sama untuk menyediakan makanan. Anak-anak boleh membantu mengupas bawang dan memotong sayur. Dengan itu, ibu bapa dapat mengesan pergerakan harian anak-anak jika mereka sentiasa bersama. Kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial dapat dikurangkan. Seterusnya, rumah akan dijadikan tempat yang menyeronokkan untuk tinggal dengan lebih lama. Tradisi makan bersama-sama ini dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh. Benarlah orang cerdik pandai berkata bahawa “Rumahku Syurgaku” dapat disemai dalam diri anak-anak. Sesungguhnya, makan bersama-sama ini dapat melahirkan suasana yang aman damai dan harmoni.
Isi 3
Budaya makan bersama-sama jika diamalkan secara rutin dalam aktiviti harian keluarga akan dapat meningkatkan tahap komunikasi dalam sesebuah keluarga. Hal ini kerana, waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan menyeronokkan. Ketika makan, ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak. Ibu bapa mesti meluangkan masa makan bersama dengan anak sekurang-kurangnya lima kali seminggu dalam meningkatkan komunikasi. Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik di sekolah, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau rakan-rakan rapat mereka. Selain itu, meja makan ialah tempat yang sempurna untuk berbincang mengenai hal atau sesuatu yang berlaku dalam kehidupan setiap anggota keluarga. Oleh hal demikian, ibu bapa boleh berkongsi perbualan dengan ahli keluarga yang lain. Ketika berbual-bual ini maka suasana ini akan memberi kesempatan berkomunikasi kepada mereka. Hal ini juga membolehkan anak-anak memerhatikan kelakuan orang lain, khususnya perbuatan yang positif akan dijadikan contoh dan panduan untuk mengharungi hidup yang semakin mencabar di luar sana. Sekiranya komunikasi dua hala dapat dilakukan dengan berhemah maka sudah tentu tradisi makan bersama-sama ini dapat menjalin ikatan dan perhubungan mesra antara satu sama lain. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat mengesan pergerakan harian anak-anak, terutamanya yang sudah masuk usia remaja. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa hubungan “bagai aur dengan tebing” dapat diterapkan dalam institusi keluarga yang seterusnya akan membentuk keharmonian keluarga itu sendiri. Kajian juga menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil minuman keras, penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas. Pendek kata, makan bersama dengan keluarga merupakan satu wahana ataupun kaedah komunikasi yang lebih canggih dalam pembentukan institusi keluarga yang mapan.
Isi 4
Kebaikan seterusnya, amalan makan bersama-sama keluarga ialah aktiviti ini dapat mendedahkan anak-anak tentang kepentingan pemakanan seimbang yang menjadi tunjang kesihatan diri. Hal ini disebabkan anak-anak lebih mengutamakan pemakanan ringan ataupun makanan segera sebagai menu makanan utama mereka. Anak-anak juga perlu tahu bahawa pengambilan buah-buahan, sayuran dan makanan yang ada nutrien patut lebih kerap diambil dalam sajian makanan harian. Oleh sebab itu, anak-anak akan memilih makanan yang lebih menyihatkan ketika mereka makan bersama. Seterusnya, anak-anak akan kurang mengambil makanan goreng, lemak tepu dan pengambilan minuman manis. Tradisi makan bersama-sama ini akan dapat menunjukkan cara pengambilan makanan yang sihat dijadikan keutamaan. Sebagai kesannya, anak-anak dan ahli keluarga akan melebihkan pengambilan makanan berserat dan menyihatkan. Secara tidak langsung, pemakanan yang sihat dapat menurunkan kadar masalah obesiti dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa mestilah menunjukkan cara pemakanan yang sihat kepada anak-anak kerana mereka merupakan uswatun hasanah yang paling rapat dengan anak-anak. Jelaslah bahawa, ibu bapa sebagai pemimpin sesebuah keluarga perlu memastikan anak-anak membuat pilihan yang baik tentang pemakanan apabila makan bersama-sama.
Isi 5
Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan belajar. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti berlaku. Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota masyarakat yang berhemah.
Penutup
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kebaikan dengan mengamalkan tabiat makan bersama-sama keluarga adalah tidak ternilai harganya. Ibu bapa terutamanya perlu menjadikan tradisi makan bersama-sama keluarga menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Bill Gates ada berkata bahawa sekiranya kita tidak mahu berubah, sedangkan orang lain sudah berubah sebenarnya kita belum berubah. Oleh hal demikian, setiap ahli keluarga mesti mengamalkan tabiat makan bersama-sama dalam keluarga mereka. Pepatah Melayu juga ada menyebut bahawa “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya“. Dalam erti lain, budaya makan bersama-sama ini sewajarnya dijadikan amalan dan budaya yang berkekalan. Selayaknya, amalan makan bersama-sama ialah resipi kebahagiaan sesebuah keluarga. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara. Slogan “Rakyat Sihat Negara Sejahtera“, haruslah tersemat dalam diri semua insan yang cinta akan ketenteraman dan kebahagian rumah tangga.