Nota
Gurindam Beberapa Petua Hidup : Maksud, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Adakah anda mencari-cari nota berkaitan Gurindam Beberapa Petua Hidup? Sekiranya ya, di bawah dikongsikan maksud bagi setiap rangkap, tema dan persoalan yang diketengahkan serta nilai dan pengajaran yang diperoleh daripada karya penulisan sastera Melayu ini. Komponen ini penting supaya pelajar menghargai karya terdahulu dan dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu.
Untuk makluman, gurindam ini terkandung dalam sebuah buku yang bernama Kalung Bunga. Ia menghimpunkan petikan puisi Melayu lama yang disusun oleh Za’ba. Tan Sri Dr. Zainal Abidin (Za’ba) merupaakn seorang sasterawan Bahasa Melayu yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Cendiakawan ini aktif dalam bidang penulisan dan terjemahan selama hampir 40 tahun dan dihormati serta dihargai tinggi oleh ahli akademik dan penulis di Malaysia.
Isi Kandungan
Gurindam Beberapa Petua Hidup : Maksud, Tema, Persoalan, Bentuk, Gaya, Nilai & Pengajaran
Di bawah adalah nota-nota berkaitan karya sastera ini buat rujukan pelajar smeua.
Maksud Gurindam | ||||
Rangkap | Gurindam | Maksud | ||
1 | Fikir dan Kata Kurang fikir, kurang siasat, Tentu dirimu kelak tersesat. | Penulis memperingatkan pembaca jika kurang berfikir dan menyelidik, hidup akan menjadi sesat | ||
2 | Fikir dahulu sebelum berkata, Supaya terelak silang sengketa. | Saranan supaya berfikir dahulu sebelum berkata-kata bagi mengelakkan salah faham sesama manusia | ||
3 | Perkataan tajam jika dilepas, Ibarat beringin, racun dan upas. | Jika kata-kata kesat dituturkan boleh memudaratkan hidup masyarakat | ||
4 | Kalau mulut tajam dan kasar, Boleh ditimpa bahaya besar. | Jika seseorang berkata kesat, boleh menyebabkan masalah pada diri sendiri | ||
5 | Silang Sengketa Siapa menggemari silang sengketa, Kelaknya pasti berdukacita. | Jika seseorang hidup bermusuh, nanti pasti akan bermasalah | ||
6 | Silang selisih jangan dicari, Jika tersua janganlah lari. | KIta tidak digalakkan untuk menimbulkan masalah dan tidak pula lari daripada masalah yang dihadapi | ||
7 | Ilmu Jikalau ilmu tiada sempurna, Tiada berapa ia berguna. | Ilmu yang tidak dipelajari dengan sempurna, tidak akan bermanfaat untuk diamalkan | ||
8 | Ilmu kepandaian boleh dikejar, Asal mahu rajin belajar. | Ilmu pengetahuan dan kemahiran boleh dituntut selagi ada kemahuan untuk belajar | ||
9 | Dunia Pergaulan Dunia ini taman pergaulan, Hendaklah pilih sahabat dan taulan. | Penulis menyaran agar memilih sahabat dengan bijak | ||
10 | Manusia dikenal sifat budinya, Dengan dilihat siapa kawannya. | Sifat budi pekerti seseorang boleh dikenal melalui sahabat-sahabatnya | ||
11 | Burung yang sama corak dan bulu, Selalu sekumpul ke hilir ke hulu. | Selalunya, seseorang akan memilih dan mencari kawan yang sama sifatnya | ||
12 | Sifat-sifat yang Baik Jikalau kamu bersifat budiman, Dipandang sebagai bonda di taman. | Seseorang yang baik akan dipandang tinggi | ||
13 | Jikalau kamu bersifat dermawan, Segala orang dapat kau tawan. | Seseorang yang dermawan akan menawan hati orang sekelilingnya | ||
14 | Jikalau kamu bersifat pemurah, Segala manusia datang menyerah. | Seseorang yang pemurah akan mudah mendapat bantuan dan pertolongan | ||
15 | Perbuatan yang Baik Barang siapa berbuat jasa, Mulia namanya segenap masa. | Seseorang yang berjasa akan diingati sampai bila-bila | ||
16 | Menolong sesama wajib dan perlu, Tetapi tolonglah dirimu dahulu. | Sebelum kita memperbetulkan kesalahan orang lain, sebaiknya kita perbetulkan diri sendiri dahulu | ||
17 | Sifat-sifat yang Jahat Telunjuk lurus kelengkeng berkait, Hati sesama menjadi pahit. | Jika seseorang suka memfitnah, hubungan sesama manusia tidak akan harmoni | ||
18 | Barang siapa berbuat khianat, Tuhan kelak memberi laknat. | Sesiapa yang membuat khianat, Tuhan akan membalasnya dengan laknat. |
Tema
Tema yang digunakan adalah nilai-nilai murni yang menjadi pegangan dalam kehidupan manusia sehari-hari. Setiap nilai yang diungkapkan harus diamalkan supaya insan dan masyarakat yang bersahsiah tinggi dapat diwujudkan dan negara menjadi aman serta harmoni.
Persoalan
Berikut adalah persoalan yang ditimbulkan dalam gurindam di atas:
- Persoalan kegigihan untuk membudayakan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian manusia
- Persoalan rasional seseorang dalam membuat sebarang tindakan
- Persoalan ketekunan untuk menuntut ilmu
- Persoalan sanjungan masyarakat terhadap orang yang berjasa dan berhati mulia
- Persoalan kerjasama dan budaya tolong-menolong sesama manusia
- Persoalan keadilan tuhan terhadap setiap tindak-tanduk manusia
Bentuk Gurindam
- Gurindam ini terdiri daripada lapan belas rangkap
- Setiap rangkap mempunyai bilangan baris yang sama iaitu dua baris serankap. Baris pertama adalah syarat manakala baris kedua adalah jawab
- Gurindam ini ialah puisi terikat atau tidak bebas
- Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama iaitu antara tiga hingga enam patah perkataan dalam sebaris
- Bilangan suku kata dalam setiap baris terdiri daripada sembilan hingga dua belas suku kata
- Rima akhir gurindam ialah aa
Gaya Bahasa
Terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan dalam gurindam ini seperti:
- Inversi – tentu dirimu kelak tersesat
- Metafora – mulut tajam dan kasar, taman pergaulan
- Simile – racun dan upas
- Peribahasa – Telunjuk lurus kelengkeng berkait
- Kata arkaik (klasik) – upas
- Asonansi – perkataan tajam jika dilepas
- Aliterasi – supaya terelak silang sengketa
- Kata pinjaman bahasa Arab. khianat; laknat
- Perulangan atau repetisi. Kurang fikir, kurang siasat
- Simile : Ibarat beringin, racun dan upas
- Metafora : mulut tajam dan kasar; taman pergaulan
Unsur keindahan bunyi
Unsur keindahan bunyi yang terdapat dalam gurindam Beberapa Petua Hidup termasuklah:
Asonansi
Perulangan vokal a: Perkataan tajam jika dilepas
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal a sebanyak tujuh kali.
Perulangan vokal i: Manusia dikenal sifat budinya
Dalam contoh ini, perulangan bunyi vokal i sebanyak empat kali.
Aliterasi
Perulangan konsonan s: Supaya terelak silang sengketa
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan s sebanyak dua kali.
Perulangan konsonan t: Tetapi tolonglah dirimu dahulu.
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan t sebanyak dua kali.
Latar Masyarakat Beberapa Petua Hidup
- Masyarakat yang rajin menuntut ilmu
- Masyarakat yang baik hati
- Masyarakat yang berhemah tinggi
- Masyarakat yang murah hati / dermawan
- Masyarakat kebijaksanaan
Nilai
Nilai yang diperolehi :
- Kesopanan – kita diiingatkan supaya menjaga tutur kata
- Rajin – kita digalakkan untuk rajin mencari ilmu dan kemahiran
- Rasional – kita dinasihatkan untuk berfikir dulu sebelum berbicara agar tidak menyebabkan salah faham atau sengketa
- Kebijaksanaan – kita harus bijak memilih sahabat
- Mengenang jasa – sesiapa yang banyak berjasa akan dikenang setiap masa
Pengajaran
Banyak pengajaran yang diperoleh daripada karya sastera ini, antaranya adalah:
- Kita hendaklah berfikir dahlu secara rasinal sebelum berbicara atau melakukan apa-apa tindakan
- Kita seharusnya rajin mencari ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran diri supaya memberikan manfaat kepada diri dan orang sekeliling kita
- Kita sewajarnya tidak mengadu domba atau menyebarkan fitnah sehingga boleh menjejaskan hubungan baik sesama manusia
- Kita perlu memilih sahabat yang baik agar hidup kita menjadi lebih baik
- Kita hendaklah berbudi sesama manusia agar dikenang oleh orang sekeliling kita
Semoga perkongsian berkenaan nota di atas dapat membantu anda dalam mebuat ulangkaji mata pelajaran menjelang peperiksaan.
Related : bersungguh sungguh, untuk mengelakkan, rangkap 6, rangkap 8, rangkap 3, rangkap 2, nilai rasional, rangkap 4, bahasa arab, suka membantu, berfikir secara rasional