Karangan

Faedah Bersukan Kepada Masyarakat Dan Negara

Masyarakat kita peka dengan aktiviti-aktiviti yang mampu memberi faedah kepada mereka. Maka soalan yang berkaitan dengan faedah kepada masyarakat sering kali dikeluarkan sebagai soalan kepada pelajar dalam bentuk soalan karangan. Berikut dikongsikan contoh karangan faedah-faedah bersukan kepada masyarakat untuk panduan semua.

Banyak idea yang boleh dihuraikan kerana ia adalah perkara yang berlaku di persekitaran para pelajar. Sebagai contoh, aktiviti bersukan yang merupakan antara aktiviti harian setiap ahli masyarakat. Pelajar hanya perlu mengaitkan pengalaman sendiri dengan isi yang boleh dignakan dalam penulisan karangan supaya mengikut kehendak soalan.

Kepentingan Dan Faedah Bersukan Kepada Masyarakat

peta minda faedah sukan kepada masyarakat Faedah Bersukan Kepada Masyarakat Dan Negara

Isi-isi penting

  • menjamin kesihatan diri
  • mengurangkan stress
  • menjadi kerjaya
  • memupuk semangat setia kawan
  • membanteras gejala tidak sihat seperti lumba haram dan sebagainya
  • menyumbang kepada ekonomi negara

Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu.

Contoh Karangan Kebaikan Dan Faedah-Faedah Bersukan Kepada Masyarakat

Pendahuluan

Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin mendapat perhatian. Perkembangan infrastruktur sukan seperti gelanggang futsal, badminton dan kawasan lapang dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita dimana bersukan bukan sahaja menjadi aktiviti di waktu siang malah telah dipraktikkan pada waktu malam. Hal ini kerana ramai diantara kita sibuk mencari rezeki untuk suapan diri dan tangungan masing-masing di pagi hari maka aktiviti seperti bersukan dan bersenam dilakukan pada waktu malam. Pelbagai faedah yang diperoleh daripada bersukan terutamanya kepada diri dan masyarakat secara tidak langsung.

Isi 1

Bersukan dapat menjamin kesihatan diri seseorang individu kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal dan juga mental individu tersebut. Peluh dan toksik dalam badan dapat dirembes keluar dengan melakukan aktiviti bersukan dalam tempoh masa yang tertentu. Tahap kardio seseorang juga akan bertambah baik serta berat badan yang ideal dapat  dicapai sekiranya individu tersebut konsisten dalam bersukan. Tambahan pula, bersukan adalah langkah yang jelas dalam mengelak daripada penyakit-penyakit yang kronik seperti obesiti. Sediakan payung sebelum hujan adalah peribahasa Melayu yang sesuai dalam menggambarkan faedah bersukan kepada masyarakat dari segi menjamin kesihatan diri.

Isi 2

Selain itu, aktiviti sukan dapat membantu mengurangkan stress kerana mental seseorang individu itu memerlukan aktiviti yang berbeza dengan kerjaya mereka. Majoriti daripada pengamal sukan melakukan aktiviti ini di waktu santai dan sebagai hiburan. Psikologi seseorang juga mendapat input yang positif dengan bersukan dimana gelak tawa dan peluh terhasil daripada keseronokan melakukan aktiviti bersukan. Dengan kemudahan teknologi hari ini, ada dalam kalangan kita suka berjoging sambil mendengar radio atau rakaman suara yang berkongsi maklumat dan membincangkan isu-isu semasa yang dapat kita manfaatkan dalam kehidupan kita. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air dimana satu pekerjaan mendapat hasil yang lebih.

Isi 3

Dalam pada itu, sukan juga mampu menjadi kerjaya seseorang. Sukan berkemampuan menjadi sebuah industri yang mampu menarik pelaburan serta menjadi hiburan kepada masyarakat. Sebagai contoh, sukan bola sepak di benua Eropah dan sukan bola keranjang di Amerika Syarikat yang menjana keuntungan daripada hak-hak penyiaran di televisyen dan media massa. Maka, dengan latihan yang jitu dan bimbingan yang tepat, kita mampu untuk melahirkan atlet-atlet yang bersaing di peringkat dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Azizulhasni Awang. Atlet yang bersaing di peringkat dunia mampu mendapat habuan yang banyak sekiranya konsisten bertanding dan menjuarai kejohanan yang disertai. Namun begitu, ramai yang mempersoalkan kerjaya atlet ini hanya bertahan kurang daripada 10 tahun. Mereka sebenarnya berpeluang besar dalam mencari kerjaya yang sesuai seperti menjadi jurulatih, komentator sukan dan juga menyambung pelajaran dalam sains sukan sekaligus dapat membantu dalam perkembangan industri sukan negara.

Isi 4

Aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat setiakawan dalam diri masing-masing. Di sini kita dapat lihat bahawa sistem pendidikan kita telah menerapkan perkara ini sejak dibangku sekolah lagi. Penglibatan seseorang dalam aktiviti sukan secara berpasukan seperti permainan hoki dan bola jaring dapat membentuk dan menambah nilai berpasukan dalam mencari kemenangan ke atas pihak lawan. Sukan secara berpasukan memerlukan strategi dan disiplin yang baik supaya apa yang ingin dicapai dapat dipraktikkan dengan baik. Secara tidak langsung semangat setia kawan, kerjasama dan kekitaan akan timbul dan menjadi senjata penting dalam mencapai kemenangan dalam aktiviti sukan yang disertai. Tambahan pula, sukan dapat merapatkan hubungan antara satu sama lain di mana perpaduan rakyat dapat dikekalkan dan diraikan dengan lebih baik demi tanah air yang tercinta.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada masyarakat dalam menyertai aktiviti-aktiviti bersukan. Tiada halangan untuk kita bersukan pada hari ini kerana banyak infrastruktur sukan yang lengkap dan boleh digunakan samada di waktu siang atau malam. Sekiranya hujan ataupun udara di luar tidak sihat, kita mempunyai pilihan untuk melakukan aktiviti sukan di gelanggang yang bertutup dan teduh daripada cuaca yang tidak menentu. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang bermaksud tiada halangan jika kita berusaha mencari jalan dalam mencapai apa yang dikehendaki. Marilah kita bersama-sama ringan tulang dalam menyertai aktiviti bersukan serta menyumbang sesuatu dalam perkembangan sukan supaya lahir rakyat  sihat, otak cerdas. Kesihatan fizikal dan mental membentuk rakyat yang efektif sekaligus mampu memacu negara menjadi lebih maju dan berdaya saing. Majulah sukan untuk negara.