Informasi
Doa Berbuka Puasa Bersendirian & Beramai-Ramai
Bulan Ramadhan merupakan salah satu bulan mulia bagi semua umat Islam kerana berpeluang untuk melakukan ibadah puasa. Umat Islam di seluruh dunia diwajibkan berpuasa dari terbit hingga terbenam matahari sepanjang bulan ini. Setibanya masuk waktu Maghrib, kita akan berbuka dengan makanan dan minuman sebelum meneruskan ibadah terawih pada waktu malam. Sebagai panduan, berikut dikongsikan Doa Berbuka Puasa Bersendirian & Beramai-Ramai (dalam rumi).
Masyarakat kita yang kebanyakan terdiri daripada mereka yang beragama Islam mempunyai budaya untuk berbuka beramai-ramai di masjid, restoran mahupun di rumah bersama ahli keluarga yang lain. Justeru, penting untuk kita mengetahui perbezaan bacaan doa supaya apa yang dilafazkan memberi maksud yang betul dan Allah S.W.T akan menerima ibadah kita
Isi Kandungan
Lafaz Doa Berbuka Puasa Bersendirian Dan Beramai-Ramai
Dalam Rukun Islam ketiga, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa pada bulan Ramadhan. Puasa bermaksud menahan anggota badan daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
Selain daripada bulan ramadhan, umat Islam juga wajib berpuasa kifarah, puasa qadak dan puasa nazar. Puasa enam hari di bulan Syawal, hari arafah dan juga pada hari Isnin dan Khamis adalah disunatkan.
Doa Bersendirian
Doa dalam bahasa rumi: Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’ alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksud doa: Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih
Doa Beramai-Ramai
Doa dalam bahasa rumi: Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Aftharna Birahmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksud doa: Ya Allah keranaMU kami berpuasa dan kepadaMU kami beriman dan di atas rezekiMu kami berbuka; Dengan RahmatMu wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kelebihan Berdoa Dalam Bulan Ramadhan
Sebelum mengetahui kelebihan berdoa dalam bulan ramadhan, mari kita pelajari kelebihan berpuasa di sisi Allah:
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu, jangalah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya, maka katakanlah, “Sesungguhny aku berpuasa.” Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, dia berasa gembira apabila berbuka dan apabila bertemu Tuhannya, di berasa gembira dengan puasanya – Riwayat al-Bukhari (1904)
Kelebihan berdoa ketika berpuasa dalam bulan ramadhan pula adalah seperti Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
- “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” – Hadis Riwayat At Tirmizi
Oleh itu, selepas penat seharian berpuasa, umat Islam berpeluang untuk berdoa sementara menunggu waktu berbuka puasa kerana ia merupakan waktu doa yang mustajab. Niatkan doa dan apa sahaja hajat kebaikan di dunia dan akhirat.
Perkongsian daripada Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri pula, orang yang berpuasa mempunyai doa yang mustajab berdasarkan beberapa hadith yang menjelaskan perkara tersebut. Antaranya:
Pertama : Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya : “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka doa yang tidak akan ditolak.”
Kedua : Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya : “Tiga golongan doa mereka tidak : Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”
Ketiga : Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka doa yang mustajab.”
Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa doa orang yang berpuasa adalah mustajab di sisi Allah SWT. Orang yang berpuasa mempunyai kedudukan yang tinggi serta istimewa disebabkan berpuasa kerana Allah SWT.
Adab dan Amalan Semasa Berbuka Puasa
1. Luangkan masa untuk berdoa sebelum berbuka
Antara waktu yang afdhal untuk berdoa adakan ketika bersahur dan sebelum masuk waktu berbuka puasa. Selain itu, pada sepuluh malam terakhir, Allah S.W.T menganugerahkan malam Lailatul Qadar yang merupakan malam lebih mulia daripada seribu bulan. Oleh itu, kita hendaklah menggandakan amal ibadah kita pada 10 malam terakhir supaya kita mendapat rahmat dan pahala yang berlipat kali gandanya.
2. Segera berbuka Puasa
Nabi Muhammad S.A.W mengajarkan sunnah untuk tidak melewat-lewatkan berbuka puasa kerana ia mendatangkan banyak kebaikan. Baginda bersabda :
- “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” Hadis riwayat Al-Bukhari
3. Berbuka dengan buah kurma atau manis-manisan
Antara sunnah lain yang diajarkan oleh Rasulullah adalah berbuka dengan kurma dahulu sebelum minum dan makan hidangan lain. Sunnahnya adalah selepas makan kurma, solat maghrib dahulu kemudian baru makan makanan lain selepas selesai solat.
4. Berbuka secara sederhana
Masyarakat kita hari ini kadang kala lupa untuk bersederhana kerana hidup bersandarkan perkara-perkara yang tular di media sosial. Kita perlu diingatkan bahawa ibadah puasa merupakan medan untuk melatih jiwa menjadi seorang yang bertakwa dan bersabar. Oleh itu pastikan juadah berbuka dibeli secukupnya dan tidak membazir kerana membeli tanpa rasa cukup di bazar ramadan.
5. Menjamu makanan bagi orang lain yang berpuasa
Nabi Muhammad S.A.W bersabda maksudnya:
- “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang yang tidak dikurangkan walau sedikit.” – Hadis riwayat Al-Tarmizi
Kita digalakkan untuk memberi makan kepada mereka yang berpuasa sama ada kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan anak-anak yatim. Nescaya pahala yang berganda untuk mereka yang bersedekah di dalam bulan ramadahan ini.
Diharapkan perkongsian berkenaan Doa di atas dapat membantu semua. Selamat berpuasa dan beribadah sepanjang bulan Ramadhan!
Rel : rumi allahumma lakasumna wabika aamanna wa alaa rizqika afthorna birohmatika yaa arhamar roohimiin, sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi,