Nota

Cerpen Munsyi : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Watak & Pengajaran

Komponen sastera merupakan antara komponen penting dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam mendidik penguasaan bahasa para pelajar. Oleh itu, sebagai persediaan sebelum menduduki ujian, pelajar boleh mengulangkaji nota ringkas Cerpen Munsyi Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Watak & Pengajaran yang dikongsikan di bawah. Turut disertakan adalah nota berkaitan gaya bahasa, latar, plot dan teknik penceritaan

Untuk makluman, cerpen ini merupakan hasil nukilan Nazri bin Hussein yang menggunakan nama pena Husna Nazri. Anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini merupakan seorang guru dan telah menghasilkan beberapa karya cerpen, puisi dan rencana seperti Perkasihan Musim, Menganyam Kedukaan dan Aura. Beliau juga pernah mendapat anugerah Hadiah Penghargaan Sastera Kumpulan Utusan 2004 (cerpen remaja) dan Hadiah Utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002 (puisi)

Nota Cerpen Munsyi : Komsas Tingkatan 4

Berikut adalah perkongsian nota ringkas Cerpen Munsyi Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Watak & Pengajaran dan rangkuman lain yang berkaitan untuk panduan semua.

Baca juga : Punca Remaja Terlibat Dalam Penyalahgunaan Dadah

Sinopsis

Di dalam cerpen ini, ia mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota yang dihalang oleh bondanya kerana bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar. Bondanya berasa ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya. Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa. Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum. Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.

Bonda adalah seorang warga yang bersifat patriotik yang memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa dan sejarah. Buku-buku tersebut selalu dibaca oleh ‘saya’. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil. Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan. Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa. Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’. Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.

‘Saya’ tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar. Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri. Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi. Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel. Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ. ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

Tema

Tema yang diketengahkan dalam cerpen ini adalah tema semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warganegara. Tamsilnya, bonda selalu menasihati ‘saya’ untuk memelihara cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang

Persoalan

  1. Persoalan keinginan golongan muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan. Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan bonda untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupan seperti anak muda yang lain
  2. Persoalan penjajah yang memecah belahkan rakyat sesebuah negara. Contohnya, penjajah di negara kita menjalankan sistem pecah dan perintah sehingga menimbulkan rusuhan kaum
  3. Persoalan ketaatan anak terhadap ibunya. Contohnya, ‘saya’ taat mendengar nasihat ibunya untuk tidak berhijrah ke bandar kerana ‘saya’ belum bersedia
  4. Persoalan kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya. Contoh, bonda keberatan untuk membenarkan anaknya berhijrah ke bandar kerana bimbang terpengaruh akan budaya negatif
  5. Persoalan kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupan. Contohnya, ‘saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar

Watak & Perwatakan

Watak Utama 

‘Saya’

  • Anak muda yang taat kepada bondanya
  • Seorang yang amanah kerana ingin menyampaikan buku yang diberikan oleh bondanya kepada Munsyi
  • Gemar membaca apabila ‘saya’ mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah
  • Seorang yang tidak mudah berputus asa

Watak Sampingan

Bonda ‘Saya’

  • Watak yang bersifat patriotik
  • Seorang yang berpengetahuan luas
  • Ibu yang memahami kehendak anaknya

Munsyi

  • Merupakan sahabat kepada bonda
  • Watak yang cinta akan budaya dan tradisi Melayu
  • Seorang yang mengalu-alukan tetamu apabila menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya

Plot

Pengenalan

Pada permulaan cerpen mengisahkan ‘saya’ tidak diizinkan oleh bonda untuk berhijrah ke bandar kerana bimbang anaknya tidak bersedia dan hanyut oleh arus modenisasi di kota

Perkembangan

Bonda pernah bercerita pada ‘saya’ tentang sistem pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini. Setelah Negara mendapat kemerdekaan, perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini. Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa, bangsa dan Negara ini. ‘Saya’ juga membaca membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa ‘saya’. Setelah bonda yakin dengan kemantapan diri ‘saya’ baharulah anaknya dibenarkan berhijrah ke kota untuk membina kehidupan. ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi. Di bandar ,’saya’ dapati anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai murni dan batas kehidupan. ‘Saya’ mendengar berita kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

Klimaks

‘Saya’ sampai di perkampungan tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ. Buku pemberian bonda juga musnah dalam peristiwa tersebut tetapi Munsyi tiada di situ.

Peleraian

Berhari-hari ‘saya’ mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa

Teknik Penceritaan

  1. Saspens : Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa
  2. Kejutan : ‘Saya’ mendengar khabar syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradisi yang didiami Munsyi
  3. Pemerian : Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih. Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan melayu. Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik.
  4. Imbas muka : Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi
  5. Imbas kembali : Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau
  6. Dialog :  “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”

Gaya Bahasa

  1. Hiperbola : Namun kerana hasad dengki, khianat, krnisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata
  2. Simile : Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju Melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu
  3. Peribahasa : Bahasa jiwa bangsa
  4. Metafora : Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman
  5. Kata Ganda : Zaman-berzaman

Latar

Latar Tempat

  • Di kampung  : Bonda tidak mengizinkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota
  • Di kota : ‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan
  • Di kampung tradisi yang terletak di pinggir kota : tempat tinggal Munsyi sahabat lama bonda

Latar Masa

  • Zaman pemerintahan penjajah : Penjajah memerintah negara dan mengamalkan sistem pecah dan perintah antara kaum dalam negara
  • Zaman selepas kemerdekaan : Masyarakat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai bahasa dan agama selepas dijajah

Latar Masyarakat

  • Masyarakat kampung : ‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung
  • Masyarakat bandar : ‘Saya’ melihat masyarakat remaja di bandar telah hanyut di dalam keseronokan hidup
  • Masyarakat yang berdemonstrasi sebagai tanda bantahan : Pendudik kampung tradisi membantah pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa

Nilai

  1. Nilai Ketaatan : Ketaatan ‘saya’ mendengar nasihat bondanya
  2. Nilai Patriotik : Bonda menasihati anaknya untuk memelihara bahasa dan agama
  3. Nilai Kegigihan : Kegigihan ‘saya’ mempelajari ilmu kehidupan sebelum berhijrah ke kota
  4. Nilai Amanah : ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya untuk memberikan buku-buku kepada Munsyi

Pengajaran

  1. Kita perlulah taat medengar nasihat dan larangan ibu dan bapa kita
  2. Kita sewajarnya menunjukkan kegigihan apabila melakukan sesuatu pekerjaan
  3. Kita seharusnya membaca dengan rajin untuk meningkatkan ilmu pengetahuan
  4. Kita hendaklah tidak mudah putus asa apabila menemui kegagalan

Semoga perkongsian di atas ini memberikan banyak manfaat kepada semua pelajar semasa membuat ulangkaji pelajaran.

Related : demonstrasi untuk menunjukkan bantahan membantah ketika ibunya melarang hang tuah serta membaca bersedia untuk tinggal buku lama milik ibunya meminta izin ibunya tradisi di pinggir kota ibunya melarang dia berhijrah, bandar pelabuhan yang terkenal pergi ke bandar cekal dan berani meneroka untuk dijadikan bandar pelabuhan hutan untuk dijadikan bandar zaman dahulu cekal menyampaikan amanah bondanya iaitu meneroka hutan untuk dijadikan munsyi ketika saya pergi anak bangsa pada zaman