Nota
Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran
Mata pelajaran bahasa pastinya menjadikan satu karya sastera atau penulisan sebagai bahan untuk menguji kemampuan dan penguasaan bahasa seorang pelajar. Dengan membaca dan banyak membuat latihan, pelajar pasti dapat menguasai bahagian sastera sama ada di dalam kelas atau apabila menduduki peperiksaan. Sebagai panduan, berikut adalah koleksi nota bagi Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran untuk rujukan.
Untuk pengetahuan, cerpen ini merupakan karya penulisan Datuk Dr. Zurinah Hassan, seorang tokoh Sasterawan Negara. Penulis yang berasal dari Alor Setar Kedah ini telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, cerpen dan juga novel. Oleh itu, penting bagi pelajar untuk mendedahkan diri kepada penulisan seorang Sasterawan Negara agar penguasaan Bahasa Melayu menjadi lebih baik dan difahami.
Isi Kandungan
Nota Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja
Di bawah adalah koleksi nota-nota yang terkandung dalam Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran. Terdapat juga nota berkenaan binaan plot, teknik plot, gaya bahasa serta watak dan perwatakan untuk rujukan semua.
Sinopsis
Penulisan cerpen ini menceritakan kisah seorang pemuda bernama Hakim yang berusha untuk mendapatkan kembali tanah milik arwah datuknya. Pak Kaduk yang terkenal dalam cerita tradisional Melayu merupakan datuknya dan Hakim yakin datuknya tidak kalah dalam pertandingan menyabung ayam pada waktu dahulu tetapi dirampas oleh Raja kerana kebodohannya. Hakim yang mempunyai lulusan di peringkat universiti telah meminta bantuan rakannya, Azam yang berkelulusan undang-undang untuk memfailkan kes tuntutan tanah seluas empat ekar itu. Akhirnya, Hakim berjaya mendapatkan tanah tersebut kembali dengan hujah yang baik. Dengan tanah tersebut, Hakim bercadang untuk menternak ayam kerana menyahut seruan kerajaan untuk menghasilkan bekalan makanan secara lokal dan tidak bergantung kepada import.
Bagi merealisasikan impiannya membuka ladang ternakan ayam, Hakim membuat pinjaman dengan bank sehingga RM200,000. Dia terpaksa meminda kertas kerjanya beberapa kali dan meminta bantuan seorang Yang Berhormat untuk mendapat kelulusan daripada bank. Satu perjanjian kontrak telah dimeterai antara Hakim dan syarikat RAJA untuk meneruskan projek penternakan ayam tersebut. Setelah setahun, Hakim berbincang dengan Azam bahawa hasil ternakan ayamnya tidak memberikan hasil yang lumayan. Sebaliknya telah dieksploitasi oleh syarikat Raja dan hutang bank. Keadaan ini tidak ubah seperti datuknya yang ditipu oleh mereka yang memiliki kuasa.
Tema
Cerpen ini mempersembahkan tema kesungguhan seorang anak muda yang berusaha mengambil semula hak milik keluarganya dan menceburi bidang keusahawanan.
Persoalan
- Persoalan terhadap penindasan daripada golongan yang lebih berkuasa – Syarikat Raja yang mengambil kesempatan menaikkan harga dedak dan ubat ayam dan menawarkannya kepada Hakim yang tiada pilihan
- Persoalan mempelajari selok-belok bidang keusahawanan – Hakim yang mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan untuk membuka ladang ternakan ayamnya
- Persoalan keberanian untuk menuntut hak milik keluarga – Hakim berusaha untuk mendapatkan kembali tanah milik datuknya Pak Kaduk
- Persoalan ketaatan kepada pemerintah – Pak kaduk yang menuruti perintah Raja untuk menukar ayam Kunani dengan ayam raja
- Persoalan kegigihan pemuda untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya – Hakim yang meminda kertas kerja beberapa kali untuk mendapat pinjaman wang daripada bank
Plot
Permulaan – Pak kaduk berlaga ayam dengan raja dan diperbodohkan raja untuk menukar ayam sehingga kehilangan tanah miliknya. Pak kaduk, isteri dan anaknya hidup miskin kerana menumpang di atas tanah yang sebenarnya miliknya sendiri
Perkembangan – Hakim merupakan cucu kepada Pak Kaduk adalah seorang yang bijak sehingga berjaya menamatkan pelajaran di universiti. Hakim sedar akan ketidak adilan yang berlaku kepada datuknya dan berusaha untuk mendapatkan kembali tanah miliknya. Dengan bantuan Azam, dia berjaya mendapatkan tanah tersebut. Hakim berhasrat untuk membuka sebuah projek penternakan ayam namun menghadapi cabaran untuk mendapatkan pinjaman wang daripada bank. Akhirnya terdapat bantuan daripada seorang Yang Berhormat datang membantu dan memeterai kontrak bersama Hakim untuk membuka projek penternakan ayam tersebut.
Klimaks – Selepas setahun, Hakim berbincang dengan Azam tentang pendapatannya daripada hasil penternakan ayam. Di hanya mendapat keuntungan yang sedikit kerana menanggung kos ternakan yang dikawal oleh syarikat RAJA dan menjelaskan hutang bank.
Peleraian- Hakim sedar bahawa dari dahulu sehingga sekarang, orang yang mempunyai kuasa pasti akan mengambil kesempatan dan menganiaya mereka yang lebih miskin.
Teknik Plot
- Imbas muka – Hakim berseloroh – “kalau aku berjaya menebus kembali tanah itu, aku nak dirikan sebuah memorial”
- Imbas kembali – “Kau ingat kan, tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah”
- Dialog – ” Dah berapa kali kau menjual ayam?” tanya Azam
- Pemerian – Penulis menggambarkan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Azam untuk membina reban ayam tertutup
Watak dan Perwatakan
Hakim
- Cucu kepada Kaduk dan anak kepada Hassan
- Seorang yang berani memperjuangkan hak dan menceburi perkara baharu
- Seorang yang bijak kerana berjaya menuntut ilmu sehingga ke universiti dan berjaya mendapatkan kembali tanah milik datuknya
Azam
- Kawan baik kepada Hakim
- Mempunyai pendidikan dalam bidang undang-undang
- Prihatin dengan masalah kawannya dan membantu dengan keupayaannya
Pak Kaduk
- Datuk kepada Hakim
- Suka menyabung ayam
- Mentaati perintah Raja sehingga menyebabkan diri sendiri miskin
Raja
- Seorang pemerintah yang suka bersabung ayam
- Mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain
Latar
Latar tempat
- Mahkamah – Tempat di mana kes tuntutan Hakim terhadap tanah milik datuknya
- Tanah Kaduk – Tanah yang didapatkan semula oleh Hakim dan usahakan sebuah projek ternakan ayam
- Kampung – Orang kampung yang mendakwa lori-lori Hakim yang merosakkan jalan raya mereka
- Universiti – Tempat di mana Hakim dan Azam melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi
Latar masa
- Dalam masa setahun – Hakim yang rugi dalam menjalankan projek penternakan ayam di tanah milik ayahnya.
- Zaman dahulu – Waktu dimana Pak Kaduk bersabung ayam dengan ayam Raja dan tanahnya telah diambil oleh Raja
- Zaman Selepas Merdeka – Hakim yang telah didedahkan kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru terhadap projek penghasilan makanan secara tempatan dan tidak bergantung kepada hasil import.
Latar masyarakat
- Masyarakat yang berada di bawah sistem feadalisme – golongan pemerintah dan golongan rakyat
- Masyarakat yang baru berkecimpung dalam bidang keusahawanan
- Masyarakat yang menyuarakan masalah mereka kepada mereka yang berkuasa
- Masyarakat yang cinta akan keluarga dan mempertahankan maruah serta harta milik keluarga
- Masyarakat yang menindas atau mengambil kesempatan terhadap orang yang kurang berkemampuan.
Gaya Bahasa
- Simile – Bank akan merampas tanahku tak ubah seperti raja yang merampas tanah datuk ku dahulu
- Personafikasi – hanya angin petang yang sesekali datang menyapa
- Bahasa Inggeris – Global Chicken
- Kata Ganda – tanah-tanah, sama-sama
- Pengulangan Kata – mereka menghantar anak-anak ayam, mereka menghantar dedak
- Sinkope – aku nak dirikan sebuah memorial
Nilai
- Keberanian – Hakim yang berani mendapatkan kembali tanah milik datuknya walaupun terpaksa naik ke mahkamah
- Keadilan – Pihak mahkamah telah menilai dan memberikan Hakim hak ke atas tanah milik datuknya
- Kegigihan – Hakim yang gigih apabila menceburi bidang keusahawanan apabila menjalankan projek penternakan ayam
- Tolong-menolong – Azam yang menolong Hakim untuk mendapatkan kembali tanah milik Kaduk
- Tabah – Walaupun kertas kerja Hakim dipinda berkali-kali, dia tetap tabah dan berusaha perbaiki kertas kerjanya untuk mendapatkan pinjaman wang
Pengajaran
- Kita sewajarnya menghargai semangat setiakawan dengan rakan-rakan dengan sentiasa membantu mereka apabila dalam kesusahan
- Kita seharusnya gigih dalam mencapai matlamat khususnya apabila menceburi bidang keusahawanan
- Kita perlulah mengelak daripada menindas golongan yang tidak berkemampuan kerana ia adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan
- Kita sebaliknya perlu membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang mereka dan berjaya bersama-sama
- Kita hendaklah gigih dalam apa juga pekerjaan yang kita lakukan supaya rezeki yang diperoleh diberkati.
Contoh Latihan Cerpen Kaduk, Ayam Dan Raja
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan ynag berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Azam memandang ke wajah sahabatnya , “Apa masalahnya? Bukankah kau boleh mendapat bantuan ? Kerajaan sudah berjanji akan menolong penternak sebagai insentif kerana menambah bekalan makanan untuk rakyat.”
“Azam, tanah ini sesuai untuk ternakan, jauh dari kawasan perumahan. Tetapi ada masalah yang lain. Kau tengok jalan masuk ke reban ini. Jalan itu tidak berturap dan becak pada musim hujan. Pernah lori tersangkut dalam selut. Aku sudah menulis surat memohon jalan itu dinaik taraf. Aku sudah berusaha ke sana ke mari untuk menemui orang yang berpengaruh, tetapi jawapannya tiada peruntukan untuk menurap jalan itu buat masa ini. Aku dicaci-maki oleh orang kampung kerana kemasukan lori-lori itu memburukkan lagi keadaan jalan”.
Azam menggeleng-geleng , bagaimanakah hasil jualan ayam?”
Hakim terus menjawab, “Mujur juga ada hasilnya. Tetapi hidupku dikelilingi hutang. Aku berhutang dengan bank. Aku berhutang dengan Syarikat RAJA. Mereka menghantar anak-anak ayam, mereka menghantar dedak, mereka menghantar ubat-ubatan. Semua itu akan dipotong daripada hasil jualanku. Kau tengok ni (Hakim menunjukkan salah satu penyata yang dikeluarkan oleh Syarikat RAJA). Nilai jualan dari rebanku ialah RM 85000.00. Tetapi akhirnya hanya RM 13000.00 sahaja yang masuk ke kantungku. RM 72000.00 adalah untuk RAJA kerana membayar harga anak-anak ayam, harga dedak dan ubat-ubatan. Dari RM 13000.00 itulah aku membayar hutang bank, gaji pembantu, upah penangkap ayam, membayar bil elektrik dan air yang cukup tinggi dan segala kos penyelenggaraan yang lain”.
(Dipetik daripada cerpen “Kaduk, Ayam dan Raja” oleh Zurinah Hassan
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP)
(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh Hakim seperti yang dinyatakan dalam petikan?
[2 markah]
______________________________________________________________
______________________________________________________________
______________________________________________________________
(ii) Jika anda adalah rakan baik Hakim, apakah cara yang boleh anda lakukan untuk membantu Hakim? [3 markah]
______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
(iii) Huraikan satu perwatakan Hakim yang terdapat dalam petikan di atas dan satu perwatakan lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
JAWAPAN
(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh Hakim seperti yang dinyatakan dalam petikan? [2 markah]
- Dicaci- maki oleh orang-orang kampung kerana kemasukan lori ke reban ayamnya memburukkan lagi keadaan jalan yang tidak berturap.
- Dikelilingi hutang.
(ii) Jika anda adalah rakan baik Hakim, apakah cara yang boleh anda lakukan untuk membantu Hakim? [3 markah]
- Memberikan semangat kepadanya
- Memberikan nasihat atau bantuan guaman
- Memberikan bantuan kewangan
(iii) Huraikan satu perwatakan Hakim yang terdapat dalam petikan di atas dan satu perwatakan lain daripada cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
- Perwatakan dalam petikan cerpen – gigih berusaha (menulis surat dan menemui orang berpengaruh untuk menaik taraf jalan masuk ke kampungnya.
- Perwatakan daripada keseluruhan cerpen – berani (mengusahakan ternakan ayam secara moden bagi menyahut seruan kerajaan).
Semoga perkongsian berkenaan nota-nota dalam Cerpen Kaduk, Ayam dan Raja : Sinopsis, Tema, Persoalan, Nilai, Pengajaran, memberikan informasi yang berguna kepada anda semua.
Related : hasil jualan ayam secara kontrak dengan syarikat raja, menentukan harga, syarikat besar, contoh hakim, azam sahabatnya,