Karangan
Usaha Dan Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan
Contoh penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang mempunyai gaya bahasa yang menarik di samping isi-isi penting yang tepat dan betul. Para pelajar digalakkan membaca dengan lebih banyak supaya didedahkan dengan salah satu tema dan tajuk soalan yang lazimnya dikeluarkan ketika peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu. Sebagai rujukan para pelajar, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara mengatasi tstress atau ekanan (salah satu cara menghilangkan stress).
Tajuk berkaitan tekanan untuk mengatasinya dan mengurangkan stress ini seharusnya mudah bagi para pelajar kerana ia tidak memerlukan fakta yang berat serta boleh dihurai dengan baik. Selain itu, pelajar secara tidak langsung dapat mengambil pengajaran daripada penulisan karangan yang dikarang dalam kehidupan seharian. Salah satu cara untuk mengelakkan atau menghilangkan stres
Isi Kandungan
Cara-Cara Menangani Stress Atau Tekanan Dengan Berkesan
Isi-isi penting
- Mempelajari kawalan emosi kendiri
- Berkongsi masalah dengan orang yang dipercayai
- Melakukan aktiviti riadah
- Beribadat kepada Tuhan
- Berehat atau melancong
- Berjumpa dengan kaunselor
Baca juga: Faedah Menyertai Aktiviti Beruniform
Contoh Karangan Cara-Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan (Untuk Mengelakkan)
Pendahuluan
Sejak kebelakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang dibincangkan dalam masyarakat konvensional. Kenaikan kos sara hidup dan ketidak tentuan ekonomi negara telah menyebabkan isu yang sebelum ini tidak diberi perhatian umum kini menjadi masalah utama dalam kalangan komuniti terutamanya golongan remaja dan belia. Masalah depresi atau kemurungan berpunca daripada tekanan atau stres yang berpanjangan, keterlaluan dan tiada kemampuan daya tindak seseorang individu terhadap masalah tersebut. Ia merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap sesuatu perkara. Sesiapa sahaja yang mengamalkan berbagai cara gaya hidup samada kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas boleh mengalami stres atau tekanan. Justeru, wajar untuk kita bincangkan apakah cara-cara yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi tekanan atau stres sebagai panduan kepada masyarakat hari ini.
Isi 1
Prakarsa utama dalam membendung tekanan atau stres adalah dengan mempelajari kawalan emosi kendiri. Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit, sederhana dan berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani oleh individu tersebut, ia akan menyebabkan kesan negatif serta memudaratkan kesihatan mereka. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri yang dikenali sebagai kaedah “10B”. Sekiranya anda mengalami stres atau tekanan anda perlu mengikuti kaedah ini secara berturutan iaitu bertenang, bernafas secara dalam, berkata relaks kepada diri, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta akhir sekali berfikiran positif. Kaedah ini juga baik untuk membantu menangani tekanan darah tinggi yang meyumbang kepada punca stres. Memang kita tidak boleh nafikan bahawa punca tekanan dan stres lazimnya bukan daripada diri kita dan sukar untuk mengatasinya tetapi dengan kaedah yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara yang lebih negatif daripada berlaku.
Isi 2
Di samping itu, tekanan atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah atau bercerita tentang perkara yang dilalui kepada individu yang dipercayai. Sebagai contoh, apabila majikan memarahi pekerja tentang tugasan yang diberikan, pekerja tersebut tidak berasa tertekan dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah terbabit untuk mengurangkan stress. Maka, pekerja tersebut boleh mencari rakan kerja yang berkecimpung dalam bidang yang sama seterusnya berkongsi masalah dan berbincang tentang jalan penyelesaian terbabit. Tindakan ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan malah menunjukkan teladan dan tahap profesional yang lebih baik daripada majikan pekerja tersebut yang menuding jari tanpa memberikan sebarang bantuan. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah pun membangunkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam pada setiap hari. Talian aduan krisis ini membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai masalah berkaitan kaunseling, kebajikan, perlindungan dan masalah keluarga untuk berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu mangsa atau individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk menghilangkan stres.
Isi 3
Alternatif lain yang dapat dilakukan oleh individu bagi mengelakkan tekanan atau stres adalah dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan. Umum mengetahui bahawa aktiviti riadah mendatangkan pelbagai manfaat sekiranya kita aktif dalam menyertainya. Misalnya, apabila seseorang bermain sukan badminton bersama rakn-rakan, secara zahirnya mereka dapat melepaskan tekanan yang mereka alami dengan menghasilkan pukulan smesy ke arah lawan. Tambahan pula permainan sukan mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama di mana satu bentuk kepuasan akan diperoleh sekiranya pasukan individu tersebut memenangi permainan yang disertai. Bagi golongan dewasa yang berkerjaya dan mempunyai kekangan masa untuk bersukan seharusnya meluangkan masa dihujung minggu untuk beriadah sekurang-kurangnya selama 30 minit. Kemudahan pusat riadah seperti taman permainan dan taman komuniti telah lengkap dengan trek untuk berjoging atau berbasikal serta kelengkapan asas gimnasium yang boleh digunakan tanpa bayaran untuk melepaskan hormon kesehatan tubuh. Kesannya, badan yang cergas akan membentuk minda sihat dan tekanan atau stres dapat diatasi.
Isi 4
Jika dilihat pada sudut pandang yang berlainan, tekanan dapat dielakkan dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana, ketenangan hati dan segala urusan duniawi adalah kurniaan dan ujian yang diberikan oleh Tuhan. Maka, kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri sama ada perkara atau kehidupan yang kita jalani seiring dengan ajaran dan kehendak Beliau. Setiap agama mengetengahkan konsep kebaikan dan nilai-nilai murni supaya kita tidak terjerumus dalam lembah duniawi yang tidak kekal dan bersifat sementara. Sebagai seorang muslim, ibadat solat merupakan tiang agama dan mampu membantu menenangkan hati dan minda jika dilakukan dengan kekhusyukan. Tambahan pula, segala perbuatan dalam solat telah ditafsirkan sebagai bentuk senaman ringan kepada kita setelah mengharungi pekerjaan sepanjang hari. Lantaran itu, pendekatan diri kepada Sang Pencipta bukan sahaja memberikan kita ketenangan malah menunjukkan jalan yang benar dan diperlukan oleh manusia yang lemah seperti kita semua untuk meningkatkan kerohanian. Izharnya, kekuatan rohani akan mezahirkan ketahanan jasmani terhadap apa sahaja masalah yang timbul.
Penutup
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak cara menghilangkan stress yang boleh dilakukan bagi mengatasi tekanan atau stres. Ia adalah perasaan semula jadi yang ada pada setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada desakannya terhadap sesorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap perkara ini, ramai pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap tekanan atau stres yang dihadapi oleh ahli masyarakat. Perkara ini boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk mencapai segala bentuk kejayaan dalam perkara yang mereka ceburi. Kita hanya memerlukan kepakaran dan kajian yang telus supaya dapat membantu golongan yang terkesan serta untuk mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Semoga segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang diatur dapat memangkin sifat mahmudah dalam diri setiap individu seterusnya melahirkan komuniti yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.
Contoh 2
Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.
Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.
Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.
Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.
Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kerungsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.
Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.
Related : tempat kerja, penting untuk terbaik untuk, hormon kortisol dan adrenalin stres yang berkepanjangan berjalan kaki mengatasi stres menenangkan pikiran tubuh dan pikiran