Karangan
Cara Memperoleh Kecemerlangan Akademik Dan Peperiksaan
Untuk makluman semua, mata pelajaran Bahasa Melayu menggunakan penulisan karangan sebagai medan ujian tahap penguasaan pelajar terhadap Bahasa Melayu. Pelajar juga diuji dengan pengetahuan am atau isu-isu semasa yang berkaitan dengan tajuk soalan yang diberikan. Sebagai rujukan kepada semua, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik.
Di samping menjawab soalan yang berkaitan dengan tajuk di bawah, pelajar pastinya dapat mengambil iktibar dan melaksanakan perkara yang dibincangkan pada kehidupan pelajar masing-masing. Selain daripada menjawab soalan pelajar juga sebenarnya mempelajari satu atau dua perkara yang baharu yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga rakan-rakan.
Isi Kandungan
Cara-Cara Memperoleh Kejayaan Cemerlang Dalam Pelajaran
Isi-isi penting
- menumpukan perhatian penuh ketika di dalam kelas
- menyediakan jadual waktu bagi mengulang kaji pelajaran
- menjalinkan hubungan yang baik dengan guru dan rakan-rakan
- mengadakan perbincangan secara berkumpulan
- mengelakkan diri daripada masalah disiplin
- mempelajari dan mengamalkan ajaran agama
Baca juga: Syarat Kelayakan Mohon JMTI
Contoh Karangan Cara-Cara Memperoleh Kecemerlangan Akademik
Pendahuluan
Dalam mendepani arus modenisasi hari ini, setiap di antara kita ingin mencapai kejayaan dalam apa jua perkara yang diceburi. Sebagai seorang pelajar, kecemerlangan akademik merupakan salah satu pencapaian yang diidam-idamkan supaya mendapat peluang yang lebih baik di masa hadapan. Jumlah pelajar yang semakin bertambah dari tahun ke tahun telah menimbulkan persaingan kompetitif yang sangat sengit di mana hanya pelajar yang terbaik sahaja mendapat tawaran biasiswa dan penempatan di institusi pengajian tinggi dalam kursus yang diinginkan. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kenaikan kos sara hidup telah membuatkan pelajar berazam untuk mendapatkan karier pekerjaan yang stabil supaya menjamin kesejahteraan hidup serta melengkapkan diri dengan keperluan asas seperti rumah, kereta dan makan-minum. Justeru, pelajar seharusnya mengenali kaedah terbaik dalam mendapatkan kecemerlangan akademik supaya tidak sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Persoalannya, apakah cara-cara memperoleh kecemerlangan akademik yang harus dilakukan oleh para pelajar pada masa kini?
Isi 1
Prakarsa utama yang wajar dilakukan oleh setiap pelajar untuk memperoleh kecermelangan akademik adalah dengan menumpukan perhatian penuh ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sesi persekolahan merupakan waktu utama pelajar menelaah ilmu bersama guru-guru untuk membimbing dan memberikan panduan yang sebetulnya. Pelajar perlu memanfaatkan waktu ini dengan memberikan tumpuan penuh kepada pengajaran guru dan mencatit nota yang tidak dinyatakan di dalam buku teks. Guru pula perlu memastikan pelajar memahami apa yang diajar dan memberikan ruang kepada mereka untuk bertanya. Perumpamaan malu bertanya sesat jalan harus diingatkan kepada pelajar kerana jika kita malu atau bersikap bodoh sombong, pasti kita tidak akan memahami dengan betul apa yang dipelajari dan tidak mendapat kecemerlangan akademik. Selain itu, suasana yang kondusif di dalam kelas juga penting agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Bayangkan jika keadaan meja dan kerusi pelajar rapuh dan kipas di siling kelas tidak berfungsi dengan baik, maka pelajar akan kepanasan dan tidak selesa untuk belajar seterusnya mengalihkan tumpuan pelajar. Izharnya, menumpukan perhatian di dalam kelas dapat memastikan pelajar mencapai kecemerlangan akademik kerana belakang parang pun kalau diasah nescaya akan tajam.
Isi 2
Kaedah lain dalam memastikan para pelajar mendapat kecemerlangan akademik adalah dengan menyediakan jadual waktu bagi mengulang kaji pelajaran. Peruntukan membahagi masa untuk belajar dan mengulang kaji adalah penting untuk meningkatkan tahap memori jangka pendek kita menjadi memori jangka panjang. Ibu, bapa dan guru perlu memberikan panduan kepada pelajar untuk menyusun jadual waktu mereka supaya bersesuaian dengan rutin harian masing-masing. Hal ini demikian kerana terdapat pelajar yang aktif menyertai aktiviti kokurikulum seperti menyertai latihan bola jaring dan mereka akan berasa letih setelah pulang daripada aktiviti tersebut. Dalam situasi ini, pelajar boleh mengulang kaji pelajaran yang mudah seperti matematik yang tidak memerlukan daya pemikiran yang banyak. Pada mulanya, mungkin sukar untuk pelajar meluangkan masa sekurang-kurangnya 3 jam sehari untuk mengulang kaji tetapi bak kata pepatah melayu, alah bisa tegal biasa. Intihannya, pelajar yang komited untuk mendapat kecemerlangan akademik akan mengikut jadual waktu untuk mengulang kaji pelajaran di samping dapat memupuk sikap menepati masa dalam diri mereka.
Isi 3
Jika dilihat pada sudut yang berlainan, pelajar mampu memperoleh kecemerlangan akademik dengan menjalinkan hubungan yang baik antara guru dan rakan-rakan. Perkara ini kerana pelajar yang baru berusia setahun jagung memerlukan persekitaran yang positif. Masyarakat kita mempunyai stigma bahawa hanya pelajar yang pandai sahaja yang akan mempunyai masa hadapan yang cerah. Stigma lama ini telah memakan diri masyarakat konvensional hari ini kerana golongan yang kurang cerdik terlibat dengan pelbagai masalah sosial seperti merempit dan sebagainya. Mulai hari ini, kita perlu melakukan anjakan paradigma dengan memberikan tumpuan yang sama rata kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi yang berbeza-beza. Ibu dan bapa perlu menjadi tauladan terbaik di rumah dan diteruskan oleh guru-guru di sekolah yang memberi bimbingan serta bayangan kepada diri pelajar bahawa mereka sangat berharga kepada keluarga, masyarakat dan juga negara. Apabila persekitaran pelajar memberi sokongan dan galakan yang diperlukan oleh pelajar, pastinya mereka akan terdorong untuk melakukan yang terbaik demi kemaslahatan orang sekelilingnya. Natijahnya, jalinan hubungan yang baik sama ada di antara keluarga, guru dan rakan-rakan akan membentuk peribadi yang mulia dalam kalangan pelajar seterusnya menyumbang kepada usaha mencapai kecemerlangan akademik.
Isi 4
Pada masa yang sama, pelajar boleh mencapai kecemerlangan akademik dengan cara mengadakan perbincangan secara berkumpulan dengan lebih kerap. Umum sedia maklum, semakin tinggi tahap pembelajaran pelajar, makin banyak subjek dan mata pelajaran yang perlu ditelaah pelajar sebelum menduduki peperiksaan. Oleh sebab itu, antara kaedah yang boleh membantu pelajar menguasai setiap mata pelajaran yang diambil adalah dengan membuat perbincangan secara berkumpulan. Sebagai contoh, Ali menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu, Ravi pula menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Chong menguasai mata pelajaran Matematik. Makanya, jika mereka bertiga duduk secara berkumpulan dan mengulang kaji setiap mata pelajaran tersebut bersama-sama, mereka dapat bantu-membantu rakan yang ketinggalan atau kurang memahami apa yang dipelajari. Ibarat berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Perbincangan secara berkumpulan juga dapat memberikan input yang bermanfaat kepada pelajar apabila membincangkan soalan yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi. Setiap di antara pelajar yang menyertai perbincangan dapat mengutarakan pendapat atau idea masing-masing kerana pengetahuan dan pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara adalah berbeza. Hasilnya, jawapan yang holistik dapat dirumuskan secara kolektif dan memberi faedah kepada semua yang menyertai perbincangan secara berkumpulan.
Penutup
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa banyak cara yang boleh digarap oleh para pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik. Sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab, mencapai kecemerlangan akademik merupakan sasaran utama sepanjang berada di institusi pendidikan sama ada sekolah ataupun universiti. Berbekalkan semangat yang kental dan sifat tidak berputus-asa, pelajar pasti dapat mencapai objektif masing-masing ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Pelajar juga perlu sedar bahawa untuk mendapatkan kejayaan tidak semudah yang disangka. Setiap perkara pasti akan mempunyai halangan dan rintangan yang perlu ditempuh sebelum kita sampai ke peringkat yang diingankan. Persis peribahasa Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Semoga inisiatif membentuk masyarakat yang inteligensia disokong dan diberikan tumpuan sepenuhnya agar generasi yang intelek dan progesif dilahirkan dan membawa negara ke tahap kemajuan yang terbaik.