Karangan
Cara Memperoleh Ilmu Pengetahuan Dalam Pelbagai Bidang
Murid-murid lazimnya kurang mendapat idea yang menarik untuk dijadikan isi-sis penting dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Justeru, murid digalakkan untuk melayari Internet dan merujuk contoh-contoh karangan bagi mendapatkan idea atau isi-isi penting yang menarik dan berkaitan dengan penulisan karangan masing-masing. Di bawah adalah contoh karangan cara-cara memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang untuk rujukan semua.
Pada masa kini, pelbagai kaedah dan cara sekiranya kita ingin mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang. Kemudahan teknologi seperti Internet membuka ruang yang lebih luas kepada kita untuk mencari atau mengeksplorasi pelbagai ilmu pengetahuan dalam bidang-bidang yang berlainan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Isi Kandungan
Cara Menambah Ilmu Pengetahuan Dalam Pelbagai Bidang
Isi-isi penting
- Membaca di pelbagai platform sama ada buku atau media elektronik
- Menyertai aktiviti kokurikulum yang dianjurkan di sekolah dengan aktif
- Menonton video atau kandungan digital
- Mengunjungi perpustakaan atau muzium
- Menyertai perbincangan secara berkumpulan
Baca juga: Koleksi Peribahasa Dan Simpulan Bahasa Serta Maksud
Contoh Karangan Cara-Cara Memperoleh Ilmu Dalam Pelbagai Bidang
Pendahuluan
Pada era globalisasi ini, pelbagai cabaran dan kejayaan yang diperoleh tamadun manusia hasil daripada memanfaatkan ilmu pengetahuan. Pelbagai masalah dapat diselesaikan dan setiap hari semakin banyak teknologi yang dicipta melangkaui kebolehan manusia jika dibandingkan beberapa dekad yang lalu. Kemudahan yang kita nikmati pada hari ini juga merupakan hasil usaha generasi terdahulu menguasai ilmu pengetahuan dalam membentuk masyarakat yang lebih baik daripada sebelumnya. Kini, ilmu pengetahuan boleh didapati di mana-mana sahaja. Ia bergantung kepada kita sama ada untuk memanfaatkannya atau menyalah guna demi mendapat kehendak diri. Peribahasa Melayu berkata, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Oleh itu, mari kita bincangkan apakah cara-cara mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang yang mampu memberi manfaat kepada semua terutamanya kanak-kanak yang berumur setahun jagung.
Isi 1
Antara cara untuk mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang adalah dengan membaca. Mutakhir ini, tiada alasan untuk kita tidak membaca kerana selain daripada buku-buku, bahan bacaan juga boleh diperoleh dengan hanya menggunakan hujung jari. Malahan penerbit dan pencetak buku juga kebanyakannya telah menghasilkan e-book atau buku secara maya yang membolehkan pembaca untuk membeli dan membaca menggunakan gajet seperti telefon pintar masing-masing. Namun begitu, membaca juga ada adab dan etikanya yang mustahak untuk diingatkan. Kita hendaklah memastikan sumber bacaan adalah berdasarkan fakta yang betul dan ditulis oleh mereka yang bertauliah dan mempunyai akreditasi. Bak kata pepatah Melayu, hanya jauhari mengenal manikam. Sebagai masyarakat yang berminda kelas pertama, kita perlu berhati-hati dalam menyebarkan ilmu atau pengetahuan yang tidak betul terutamanya di media sosial yang akhirnya akan menimbulkan fitnah dan kemudaratan. Izharnya dengan membaca, kita dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan serta menempelak tin-tin kosong yang wujud di kalangan masyarakat kita kerana kebijaksanaan adalah suatu perkara yang perlu ada dalam diri setiap individu.
Isi 2
Kaedah lain dalam mendapatkan ilmu daripada pelbagai bidang adalah dengan menyertai aktiviti kokurikulum secara aktif. Sebagai pelajar, kita digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum bukan untuk mendapatkan markah pentaksiran yang tinggi tetapi demi mendedahkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang lain. Sebagai contoh, apabila anda menyertai Persatuan Pengakap, pelajar akan didedahkan dengan ilmu kelansungan hidup di kawasan hutan yang tidak diajar di dalam bilik darjah. Perkara ini penting bagi membentuk pelajar atau murid yang berpotensi tinggi dalam apa jua perkara yang bakal mereka ceburi pada masa akan datang. Persis peribahasa Melayu, jauh perjalanan luas pemandangan. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum secara aktif, pelajar juga dapat mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan rakan-rakan di mana ilmu tersebut sukar untuk diajar di dalam bilik darjah kerana perhatian perlu diberikan kepada bahan ajaran guru. Pelbagai lagi kemahiran bukan bercirikan akademik yang akan murid pelajari sekiranya menyertai aktiviti kokurikulum dengan aktif. Implementasinya bakal membentuk jati diri serta keperibadian individu yang mampu mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan menjelang kedewasaan mereka.
Isi 3
Selain itu, cara untuk mendapatkan ilmu daripada pelbagai bidang adalah dengan menonton video atau kandungan digital di platform seperti media sosial dan penstriman video. Lain dahulu, lain sekarang. masyarakat hari ini terutamanya golongan muda lebih gemar kepada perkara yang interaktif dan tidak membosankan. Dengan itu, menonton video seperti tips-tips berjimat cermat atau video masakan merupakan cara untuk seseorang mendapat ilmu yang baharu. Dengan daya kreativiti yang tinggi, ramai pencipta video telah pun menghasilkan pelbagai jenis kandungan digital yang bermanfaat untuk kita pelajari. Ia bergantung kepada setiap individu untuk menjadikan tontonan di masa lapang sebagai suatu yang memanfaatkan diri atau hanya sekadar membuang masa. Justeru, mulai hari ini, ibu dan bapa perlu menunjukkan tauladan kepada anak-anak untuk melihat lebih banyak video yang berilmu berbanding daripada video hiburan yang sia-sia. Intihannya, ilmu atau pengetahuan boleh diperoleh dengan hanya menonton video kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Isi 4
Dari sudut pandang yang berlainan, ilmu pengetahuan daripada pelbagai bidang juga boleh diperoleh dengan mengunjungi perpustakaan atau muzium. Umum mengetahui, perpustakaan mengumpulkan pelbagai koleksi bahan bacaaan yang merangkumi pelbagai bidang. Jika kita dapat meluangkan masa di perpustakaan, pastinya pelbagai ilmu yang boleh ditelaah dengan baik dan memberikan input yang berguna kepada diri kita. Ibarat peribahasa Melayu, laut yang ditimba tidak akan kering begitu jugalah ilmu pengetahuan yang tidak akan pernah habis. Ibu dan bapa perlu bersikap proaktif dengan mendedahakan anak-anak kepada pelbagai jenis ilmu dengan membawa mereka ke perpustakaan atau muzium. Jika kita hanya berharap kepada guru-guru di sekolah, ia pastinya tidak mencukupi kerana anak-anak perlu bersaing dengan lebih 20 hingga 30 rakan yang lain untuk mendapat perhatian guru mereka. Oleh itu, ibu dan bapa serta ahli keluarga digalakkan untuk membawa anak-anak ke pameran pendidikan yang pastinya lebih interaktif seperti Petrosains yang bakal menarik minat mereka untuk mengetahui tentang ilmu baharu.
Penutup
Konklusinya, perbincangan di atas menunjukkan bahawa pelbagai cara yang boleh diusahakan untuk mendapat ilmu dalam pelbagai bidang. Sudah terang lagi bersuluh bahawa hanya keinginan dan kerajinan setiap pihak memainkan peranan dalam diri masing-masing untuk mendapatkan ilmu baharu atau daripada bidang yang berlainan. Pada hemah saya, kaedah-kaedah ini wajar dipraktikkan kepada anak-anak pelajar di peringkat sekolah rendah lagi kerana mereka mempunyai potensi yang besar dan bakal menggantikan generasi pemimpin pada masa akan datang. Persis kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semoga pencarian dan penguasaan ilmu menjadi agenda utama dalam pembangunan negara supaya masyarakat yang berminda kelas pertama dapat dilahirkan dan Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain.
Related : untuk menambahkan ilmu pengajaran dan pembelajaran pengetahuan untuk menggunakan pelbagai untuk menguasai, penting untuk spm 2019, terima kasih sumber ilmu salah satu