Karangan
Langkah Cara Memelihara Rumah Tradisional Melayu
Karangan Bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai tema dan tajuk yang berpotensi untuk menjadi pilihan soalan dalam peperiksaaan. Oleh itu, pelajar perlu bersedia untuk menjawab soalan karangan yang merangkumi pelbagai tema dengan melakukan latihan tambahan atau merujuk sumber lain seperti sumber atas talian. Sebagai rujukan pelajar, berikut adalah contoh karangan langkah memelihara rumah tradisional Melayu.
Penulisan karangan yang baik memerlukan pelajar menggunakan tatabahasa yang betul, serta pengisian yang tepat dan menarik. Anda digalakkan untuk memilih soalan yang mudah untuk dihurai serta mampu memberikan frasa-frasa menarik seperti peribahasa yang berkaitan dengan karangan anda. Selain itu, mendapatkan bimbingan daripada guru juga mustahak supaya penulisan karangan anda menepati soalan dan mendapat markah yang cemerlang.
Isi Kandungan
Cara Dan Langkah Memelihara Rumah Tradisional Melayu
Isi-isi penting
- Mengenal pasti dan mengkaji ciri-cirinya
- Mengasimilasikan kepada binaan terkini
- Mewartakan sebagai kawasan pelancongan
- Mewujudkan agensi pengurusan
- Menggunakannya dalam filem atau drama
- Menghasilkan buku atau ensklopedia
Baca juga: Senarai Kesalahan Imbuhan Dan Ejaan Bahasa Melayu
Contoh Karangan Langkah Memelihara Rumah Tradisional Melayu
Pendahuluan
Rumah tradisional Melayu adalah antara senibina terawal yang merupakan tempat kediaman tradisional masyarakat penduduk asal etnik Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sumatera dan Kalimantan. Sehingga kini, kita masih lagi dapat melihat rumah-rumah tradisional ini berdiri dengan kukuh di kawasan-kawasan kampung atau pedalaman. Kesenian pertukangannya disampaikan secara turun temurun dari generasi ke generasi dan telah mengalami proses transformasi selama bertahun-tahun mengikut arus pemodenan hari ini. Rumah tradisional Melayu juga mempunyai pelbagai unsur yang diambil kira sebelum proses pembinaan telah mendapat perhatian dunia kerana ciri-ciri yang unik dan berteraskan agama dan kebudayaan masyarakat ketika itu. Namun, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara rumah tradisional Melayu daripada tenggelam dek ditelan zaman?
Isi 1
Prakarsa utama dalam memelihara rumah tradisional melayu adalah dengan mengenalpasti ciri-ciri dan kriteria seni bina tersebut. Pasti ramai di antara kita, yang mengenali peribahasa tak kenal, maka tak cinta. Oleh itu, pihak berkuasa dengan kerjasama sejarawan dan pakar seni bina wajar mengkaji dan dan menetapkan ciri-ciri yang kukuh dalam mengkategorikan sebuah rumah tradisional melayu. Sebagai contoh, rumah tradisional melayu di Negeri Sembilan mempunyai bumbung yang berbeza berbanding rumah tradisional melayu di negeri lain. Manakala di Melaka, terdapat tangga yang dihiasi jubin berwarna-warni. Proses mengenal pasti dan kajian boleh digunakan oleh para ilmuwan dalam menjadikan rumah tradisional melayu sebagai elemen pembelajaran di setiap peringkat institusi pembelajaran. Kesannya, generasi muda akan didedahkan dengan keunikan seni bina rumah tradisonal melayu dan memupuk kecintaan terhadap warisan bangsa ini.
Isi 2
Selain itu, pemeliharaan rumah tradisional melayu boleh dilakukan dengan mengasimilasikan seni bina tersebut ke dalam bangunan atau binaan baharu hari ini. Realiti pada hari ini, pembangunan di dalam negara berjalan dengan rancak dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun, kebanyakkan seni bina atau reka bentuk bangunan tidak disematkan ciri-ciri tradisional yang mampu menunjukkan kekayaan warisan budaya yang kita miliki. Jika kita lihat pada waktu negara kita dijajah oleh Portugis dan British, mereka telah membina bangunan yang mempunyai ciri-ciri negara mereka di Kota Melaka iaitu Bangunan Stadthuys yang masih gah berdiri sehingga hari ini. Oleh itu, kita sebagai nusa bangsa yang pernah menjadi pusat dagangan utama dunia pada waktu dahulu perlu mempunyai wawasan yang lebih tinggi berbanding penjajah asing. Muzium Negara merupakan contoh terbaik dalam mengasimilasikan seni bina tradisional melayu pada bangunan-bangunan yang ikonik. Diharapkan para arkitek dan jurutera yang ditugaskan untuk membina bangunan ataupun projek perumahan meletakkan elemen-elemen tradisional melayu supaya warisan yang dimiliki ini tidak luput dek pemodenan zaman.
Isi 3
Langkah seterusnya dalam memelihara rumah tradisional melayu adalah dengan mewartakan rumah-rumah tradisional ini sebagai kawasan pelancongan. Konsep ini merupakan kaedah yang digunakan bagi memperlihatkan keunikan yang kita miliki kepada pelancong-pelancong asing. Mutakhir ini, konsep pelancongan inap desa semakin mendapat perhatian setelah diketengahkan oleh pihak berkuasa. Pelancong asing akan menginap dan menikmati kehidupan masyarakat di kampung selama beberapa hari bagi mendapatkan pengalaman tentang budaya dan tradisi masyarakat di Malaysia. Di kesempatan itu, rumah-rumah tradisional yang berkeadaan baik dan cantik wajar menjadi pilihan penginapan mereka. Perkara ini dapat memberikan pengalaman yang berbeza kepada mereka di samping memelihara budaya dan warisan bangsa yang kita miliki. Ia juga mampu menjadi inspirasi kepada mereka sekiranya ingin menambah elemen tradisional yang dipelajari untuk menghiasi rumah mereka di sana. Maka, program inap desa wajar menjadi agenda dalam industri pelancongan di mana usaha pemeliharaan rumah tradisional melayu juga dapat dijamin dan dilaksanakan.
Isi 4
Akhir sekali, langkah yang paling utama dalam memelihara rumah-rumah tradisional melayu adalah dengan memastikan pihak berkuasa menjalankan peranan mereka bersama-sama ahli masyarakat. Setiap usaha yang dibincangkan di atas boleh dijayakan sekiranya wujud sinergi yang kuat antara pihak berkuasa dan pemilik rumah-rumah tradisional melayu dalam memelihara seni bina warisan negara ini. Jika sebuah agensi dapat diwujudkan bagi mengurus dan menyusun strategi terbaik untuk memelihara seni bina rumah tradisional melayu. Inisiatif ini sesuai dengan peruntukan akta yang tersebut dalam Heritage Acts, 2005 yang lebih komprehensif dalam menyediakan satu mekanisma dari segi khidmat pengurusan , penguatkuasaan, pembiayaan dan pengiktirafan. Kerja-kerja penyelenggaraaan boleh dijalankan dan diperhati oleh ahli masyarakat serta berkongsi kaedah terbaik dalam usaha menyelenggara bahagian-bahagian di dalam rumah tersebut. Senario ini adalah sama dalam mendepani segala jenis masalah yang membelenggu rakyat di mana kerjasama yang baik antara pihak berkuasa dan masyarakat tempatan bagai aur dan tebing akan memberikan hasil yang berbaloi serta bermanfaat bagi kedua-dua pihak.
Penutup
Konklusinya, pelbagai langkah boleh dilaksanakan demi memelihara rumah tradisional melayu pada masa kini. Malahan terdapat tradisi yang memindahkan rumah tradisional melayu secara manual ke tempat yang lebih baik dan dilakukan sehingga hari ini. Setiap pihak perlu berganding bahu dalam usaha mengekalkan seni bina peninggalan nenek moyang kita untuk tatapan generasi akan datang. Mekasnisme terbaik harus dibincangkan dan direncana oleh pihak yang terlibat agar usaha ini tidak menjadi sia-sia. Seni bina merupakan warisan dan sejarah negara yang perlu diketahui oleh generasi akan datang supaya mereka kenal dan menghargai keunikan dan kekayaan ilmu masyarakat dahulu. Seterusnya menjadi iktibar supaya mereka berusaha menjadi lebih baik dan bakal memacu negara ke arah kemajuan yang tertinggi daripada generasi-generasi sebelum ini.