Karangan

Contoh Karangan Cara-Cara Menghormati Guru

Bagi menghasilkan penulisan karangan Bahasa Melayu yang cemerlang, pelajar digalakkan untuk membuat latihan tambahan. Kaedah ini dapat memberikan pelajar pendedahan kepada pelbagai tema dan tajuk soalan yang berpotensi menjadi soalan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Misalnya terdapat tema berkaitan masyarakat, keluarga, alam sekitar, kesihatan dan pelbagai lagi. Sebagai rujukan untuk anda, berikut adalah contoh karangan cara-cara menghormati guru.

Penulisan karangan yang cemerlang lazimnya menggunakan frasa-frasa menarik seperti peribahasa yang tepat dalam menghuraikan isi-isi penting. Selain itu, penggunaan tatabahasa, ejaan dan imbuhan yang betul akan menyumbang kepada pemarkahan penulisan karangan anda. Oleh itu, latihan tambahan pasti dapat melatih pelajar untuk mengurangkan kesalahan dan menulis karangan dengan lebih lancar.

peta minda cara cara menghormati guru Contoh Karangan Cara-Cara Menghormati Guru

Senarai Cara-Cara Menghormati Guru

Isi-isi penting

  • bersopan santun
  • mematuhi peraturan sekolah
  • menjaga kebersihan dan kebajikan sekolah
  • memberikan kejayaan akademik atau kokurikulum
  • menziarahi guru
  • memberikan hadiah sebagai penghargaan

Baca juga: Jenis-Jenis Pengenalan Dalam Penulisan Karangan

Contoh Karangan Apakah Cara Menghormati Guru

Pendahuluan

Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan bahawa adab menghormati guru di sekolah semakin dilupakan. Jika diimbas pada zaman dahulu, ibu bapa menyerahkan sepenuh kuasa autonomi kepada guru di sekolah untuk mendidik anak-anak mereka. Namun, mutahir ini budaya tersebut seolah-olah di terbalikkan apabila guru-guru dipersalahkan kerana menghukum pelajar disekolah akibat melanggar perturan dan sebagainya. Guru diibaratkan lilin yang membakar diri demi menunjukkan cahaya atau jalan yang betul kepada kita. Oleh itu, setiap individu yang mempunyai profesion sebagai guru hendaklah dihormati atas jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan demi mendidik anak bangsa. Mari kita bincangkan cara-cara untuk menghormati guru-guru sebagai seorang pelajar mahupun bekas pelajar.

Isi 1

Kesopanan dan kesusilaan merupakan rukun kelima dalam Rukun Negara. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita sewajarnya memegang pada rukun negara dalam menjalani rutin harian kita. Para pelajar pula digalakkan untuk sentiasa bersopan santun apabila berkomunikasi dengan guru-guru. Sebagai contoh, pelajar hendaklah menyapa guru dengan panggilan cikgu, tuan atau puan serta menggunakan nada yang rendah dan jelas. Apabila kita bersopan santun dengan guru kita, mereka pasti akan berasa lembut hati dan melayan kita dengan penuh rasa sayang dan ikhlas untuk mendidik kita. Tambahan pula, pelajar yang bersopan santun dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah kerana guru tidak perlu memikirkan cara untuk menguruskan sahsiah anak murid mereka.

Isi 2

Selain itu, guru-guru seharusnya dihormati oleh para pelajar dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Hal ini demikian kerana pelajar pada masa kini sukar untuk mematuhi arahan dan peraturan yang mudah seperti beratur dan tidak membuat bising. Keadaan ini merupakan satu beban yang telah ditambah ke bahu para guru untuk menguruskan sahsiah pelajar. Justeru, sekiranya para pelajar mematuhi peraturan sekolah dan arahan guru ia dapat membantu memudahkan urusan guru terbabit. Peribahasa Melayu ada berkata, masuk telinga kanan keluar telinga kiri yang bermaksud nasihat yang diberi tidak didengari dan diamalkan. Sikap negatif ini perlu dielakkan teruatamnya dalam kalangan pelajar kerana umur mereka baru setahun jagung berbanding guru-guru.

Isi 3

Pada masa yang sama, para pelajar sewajarnya menjaga kebersihan dan kebajikan kawasan sekolah sebagai tanda menghormati guru-guru. Misalnya bilik darjah yang ceria dan bersih dapat memberikan keselesaan kepada guru dan juga pelajar sendiri untuk menghadiri proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini sedikit sebanyak membantu guru untuk berasa selesa dalam menjalankan tugas mereka. Para pelajar juga dapat memberikan tumpuan yang lebih kerana keadaan di dalam bilik darjah yang kondusif. Kesannya, aktiviti pembelajaran yang lebih seronok dapat dilakukan dan menarik perhatian kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar untuk sentiasa menghadiri kelas atau sekolah. Nilai kebersihan dan ambil berat terhadap kebajikan ini bukanlah merupakan tanggungjawab penuh seorang guru tetapi ia adalah amanah setiap ibu bapa yang dikurniakan zuriat untuk menjadi khalifah di muka bumi ini.

Isi 4

Akhir sekali, cara untuk menghormati guru adalah dengan memberikan kejayaan akademik atau kokurikulum kepada mereka. Apabila kita berjaya mendapatkan keputusan cemerlang atau memenangi sebuah pertandingan yang disertai, ia pasti dapat memberikan kelegaan dan perasaan gembira kepada mereka. Dengan mengharumkan nama sekolah, guru akan berasa bangga kerana tunjuk ajar mereka berjaya menghasilkan pelajar yang berjaya sama ada dalam akademik atau bidang-bidang lain. Bagi bekas pelajar pula, kejayaan dalam hidupan juga mampu menjadi salah satu cara menghormati jasa guru-guru yang telah mengerah tenaga mengajar kita di waktu muda dahulu. Intihannya, setiap guru mempunyai matlamat untuk melihat anak didiknya menjadi manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai cara yang boleh diamalkan oleh para pelajar dalam menghormati guru-guru di sekolah. Hormat merupakan satu nilai asas kehidupan yang wajar diamalkan oleh setiap individu. apabil kita menghormati seseorang nescaya orang akan membalas hormat tersebut kepada kita. Pengorbanan dan jasa yang telah dilakukan oleh para guru  wajar diberi penghargaan dan penghormatan kerana pendidikan adalah tunjang kepada kehidupan seseorang. Persis kata peribahasa, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Semoga kita menjadi tauladan kepada generasi hari ini dalam menunjukkan bahawa menghormati guru akan memberikan manfaat yang banyak tanpa kita sedari.