Karangan
Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Anak Berbudi Bahasa
Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan peranan ibu bapa membentuk anak berbudi bahasa. Dalam menghadapi soalan-soalan penulisan karangan Bahasa Melayu, pelajar perlu sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai jenis karangan. Hal ini demikian kerana ia dapat membantu pelajar memilih tajuk yang yakin untuk dijawab dan mampu memberikan penulisan yang terbaik dalam peperiksaan.
Sebagai ibu atau bapa yang bertanggungjawab, membimbing anak-anak untuk menjadi seorang individu yang kaya dengan budi pekerti adalah perkara mulia. Selain dapat menjaga nama keluarga, ia juga dapat melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa dan beretika tinggi. Oleh itu, pelajar perlu bijak menulis karangan yang berkaitan dengan soalan dengan memberikan huraian yang menarik.
Isi Kandungan
Peranan Ibu Bapa Dalam Memupuk Amalan Berbudi Bahasa Di Kalangan Anak-Anak
Isi-isi penting
- Menjadi suri teladan terbaik kepada anak-anak
- Memantau aktiviti dan perihal kehidupan mereka dengan teliti
- Memastikan pergaulan mereka di dalam kalangan yang berbudi bahasa
- Menegur dengan kaedah yang sesuai dan penuh hikmah
- Memberikan pendidikan agama dan moral
- Menyelami karya sastera kekeluargaan bersama anak-anak
Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Membentuk Anak Berbudi Bahasa
Pendahuluan
Budi bahasa, budaya kita. Ungkapan yang sering diwar-warkan di media massa tentang budaya masyarakat tanah air ini. Namun, adakah ia masih diamalkan oleh seluruh ahli masyarakat pada hari ini? Jelas di kaca televisyen kita dapat lihat pelbagai gejala sosial yang meruncing dalam kalangan generasi muda pada hari ini. Perkembangan teknologi khususnya sosial media sedikit sebanyak telah mempengaruhi gaya hidup mereka sehingga mereka lupa untuk mengamalkan budaya masyarakat kita. Justeru, golongan pemimpin negara dan masyarakat perlu berganding bahu mencari penyelesaian kepada polemik ini dengan berkesan agar generasi muda ini menjadi individu yang berktrampilan tinggi dan berakhlak mulia. Ibarat peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pada hemah saya, ibu dan bapalah yang berperanan untuk membentuk anak menjadi seseorang yang berbudi bahasa.
Isi 1
Obligasi utama dalam menjadi ibu dan bapa adalah untuk membesarkan anak-anak dengan sahsiah terbaik. Maka, peranan yang perlu dimainkan adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak untuk membentuk budi dan bahasa mereka. Sejak lahir, kita pasti akan melihat ibu dan bapa kita sebagai contoh dalam melakukan apa-apa perkara dalam kehidupan masing-masing. Ibu dan bapa boleh menunjukkan contoh untuk berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua misalnya datuk dan nenek mereka. Salam sebagai tanda hormat dan bercakap menggunakan nada suara yang tidak kasar kepada mereka. Nilai hormat merupakan elemen penting dalam amalan budi bahasa. Jika kita ingin rasa dihormati, kita hendaklah menghormati rang terlebih dahulu. Begitu juga dengan sahsiah anak-anak kerana pepatah melayu berkata bapa borek anak rintik. Intihannya, menjadi tauladan kepada anak-anak adalah peranan paling utama yang perlu dilaksanakan oleh ibu dan bapa.
Isi 2
Peranan lain yang boleh dilaksanakn dalam membentuk anak yang berbudi bahasa adalah dengan memantau aktiviti dan perihal kehidupan mereka dengan teliti. Ibu dan bapa seharusnya mengambil tahu setiap perihal yang dilakukan oleh anak-anak. Misalnya, apakah aktiviti yang dilakukan di sekolah, aktiviti di waktu lapang dan perkara yang sering mereka lakukan sebagai hobi. Dengan sikap mengambil berat ini, anak-anak akan lebih menghormati dan meminta nasihat yang baik daripada ibu dan bapa dalam perihal kehidupan mereka. Contoh lain adalah jika anak-anak suka untuk meluangkan masa bermain permainan video, pastikan mereka bermain dengan penuh hemah dan tidak menjejaskan perkembangan perihal kehidupan mereka yang lain. Anak-anak boleh diibaratkan seperti kain putih, ibu dan bapa adalah orang yang mencorakkan warna kehidupan mereka. Dengan bimbingan dan sokongan yang baik, mereka mampu menjadi individu yang berjaya dan kaya dengan budi bahasa.
Isi 3
Dalam masa yang sama, ibu dan bapa seharusnya memastikan pergaulan anak-anak berada di dalam kalangan yang berbudi bahasa. Perkara ini penting kerana perkembangan kanak-kanak bukan sahaja berlaku di rumah. Masa yang diluangkan mereka semasa di sekolah dan aktiviti lain bersama rakan-rakan adalah mustahak dalam membentuk keperibadian mereka. Pepatah Arab pernah berkata, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya. Dengan peralihan aktiviti sosial ke alam maya, ia seharusnya memberikan kelebihan kepada ibu dan bapa untuk memantau perilaku anak-anak dan juga rakan-rakan mereka. Walaupun sukar untuk membendung anak-anak daripada dipengaruhi dengan kandungan-kandungan yang tular tetapi ibu dan bapa mempunyai hak untuk menetapkan tapisan kepada anak-anak supaya mereka melayari internet dan menggunakan sosial media pada kaedah yang sesuai. Jelas bahawa memastikan pergaulan anak-anak dapat memupuk nilai berbudi bahasa dalam diri mereka.
Isi 4
Dahulu lain, sekarang lain. Frasa ini seharusnya dipegang oleh golongan ibu dan bapa dalam membesarkan anak-anak pada zaman ini. Pada waktu nenek dan moyang kita membesarkan anak-anak mereka, ketegasan merupakan satu perkara yang mampu membentuk keperibadian anak-anak. Tetapi masa kini, anak-anak memerlukan kasih sayang dan cara teguran yang lebih difahami oleh mereka. Ibu dan bapa tidak boleh menghukum anak-anak dan menggunakan ketegasan seperti merotan dan sebagainya untuk menegur kesalahan mereka. Galakkan anak untuk meminta maaf apabila melakukan kesalahan dan jadikan ia satu kebiasaan kerana ia akan memebuatkan anak-anak lebih senang dalam pergaulan. Tambahan pula, berikan pujian berbanding kritikan sekiranya mereka melakukan perkara yang betul. Ia akan memberikan rasa bangga dan mengeratkan lagi hubungan antara keluarga. Tegasnya, menegur dengan kaedah yang sesuai dan penuh hikmah dapat membentuk anak yang berbudi bahasa.
Penutup
Kesimpulannya, banyak peranan yang wajib dimainkan oleh ibu dan bapa dalam membesarkan anak untuk menjadi seorang yang berbudi bahasa. Tanpa disedari kita sebenarnya lahir di tanah air yang penuh dengan sikap toleransi anatara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan bangsa. Nilai yang pernah diamalkan oleh datuk dan nenek kita dahulu kala perlu terus disemat dalam diri anak-anak pada ketika ini supaya kesejahteraan dan keamanan negara kekal terjamin. Setiap pihak sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan generasi muda zaman ini dipupuk dengan nilai-nilai murni dan berketrampilan tinggi. Janganlah kita menuding jari dan bersikap pasif dalam polemik ini kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, marilah kita berganding bahu mengembleng tenaga membentuk generasi yang kaya dengan budi dan bahasa.
Related : kalangan masyarakat, tingkah laku, bak kata pepatah, untuk memberi, ahli keluarga, mengajar anak, mendidik anak, perlu mengamalkan, melahirkan generasi muda,