Karangan

Peranan Ibu Bapa Dalam Menggalakkan Pembelian Barangan Buatan Malaysia

Tajuk soalan karangan Bahasa Melayu mempunyai pelbagai variasi dan sukar untuk pelajar meneka satu jenis soalan yang bakal ditanya. Maka, pelajar perlu sentiasa rajin melakukan latihan yang diberikan guru serta latihan tambahan yang dapat diperoleh daripada sumber online seperti yang dikongsikan di sini. Di bawah dikongsikan contoh karangan berkaitan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak dalam membeli barangan buatan Malaysia.

Pelajar boleh merujuk isi-isi penting yang digunakan dan olahkan di dalam penulisan karangan masing-masing. Selain  itu, pelajar perlu berlatih menulis dengan kebolehan kreatif dan pemikiran kritis. Latihan yang kerap akan membantu pelajar untuk menghuraikan dan mencari isi dalam tempoh masa yang ditetapkan serta menulis karangan yang baik.

Peranan Ibu Bapa Dalam Menggalakkan Pembelian Barang Buatan Malaysia

peta minda peranan ibu bapa barang buatan malaysia Peranan Ibu Bapa Dalam Menggalakkan Pembelian Barangan Buatan Malaysia

Isi-isi penting

  • sentiasa mengutamakan produk buatan Malaysia dalam membeli belah
  • berkunjung ke pameran barangan buatan malaysia seperti MAHA dan sebagainya
  • menjelaskan kepentingan membeli produk buatan tempatan
  • menunjukkan kos yang lebih berpatutan berbanding barangan import
  • lambang cinta akan negara apabila membeli barang  buatan Malaysia
  • melahirkan generasi pengguna yang bijak

Baca juga: Kesalahan Lazim Dalam Karangan Bahasa Melayu

Contoh Karangan Peranan Ibu Bapa Dalam Menggalakkan Pembelian Barang Buatan Malaysia (Barangan Tempatan)

Pendahuluan

Definisi barang buatan Malaysia adalah produk yang dikeluarkan hasil usaha orang tempatan. Seperti bayi yang baru lahir, ia memerlukan sokongan dan bimbingan yang baik daripada orang sekeliling sebelum menjadi matang dan mampu untuk mengembangkan diri ke dunia luar dan berdiri di atas kaki sendiri. Perumpamaan ini berkait dengan situasi barangan buatan Malaysia yang masih mentah tetapi menunujukkan potensi yang besar untuk berjaya dan dengan sokongan yang diberikan oleh masyarakat tempatan, ia mampu menjadi produk bertaraf antarabangsa. Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa, anak di pangkuan dibiarkan, kera di hutan disusui yang bermaksud produk luar diagungkan tetapi produk tempatan diabaikan. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam mendidik dan memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk membeli barang buatan Malaysia.

Isi 1

Langkah pertama dalam memberi galakan pembelian barangan buatan Malaysia adalah dengan sentiasa mengutamakan produk tempatan apabila membeli belah. Dewasa ini, hampir semua produk yang terdapat di pasaraya adalah buatan tempatan. Namun, mereka mendapat persaingan daripada jenama antarabangsa yang sudah pasti mempunyai kualiti yang lebih baik. Jika kualiti menjadi perbandingan, banyak produk kita telah membuktikan mereka mampu mencapai tahap kualiti yang baik dengan mendapat pengiktirafan seperti sijil Halal dan sijil HACCP yang bertaraf antarabangsa. Sebagai contoh, jenama Ramly dan Ayamas merupakan produk tempatan yang sentiasa melakukan anjakan paradigma dengan menghasilkan variasi produk berasaskan daging ayam dan lembu. Maka, ibu bapa seharusnya mejadi tauladan kepada anak-anak dalam memastikan barangan buatan Malaysia menjadi pilihan utama.

Isi 2

Selain itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan Malaysia dengan menghadiri ekspo atau festival jualan barangan tempatan seperti MAHA anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Sekiranya kita berkunjung ke pameran seperti ini, kita dapat mengetahui produk-produk terkini hasil air tangan orang tempatan dan merasai kualiti produk secara langsung. Senario ini akan membuka mata golongan kanak-kanak terutamanya dalam melihat pelbagai produk-produk tempatan yang wujud serta mempunyai kualiti bertaraf antarabangsa. Justeru, ia dapat membantu anak-anak dan juga ibu bapa sendiri mengenali dan membeli barang buatan Malaysia dan membantu pengusaha produk itu untuk berjaya. Persis mutiara kata, tak kenal maka tak cinta yang bermaksud jika kita tidak mengenali atau menggunakan sesuatu produk tersebut kita tidak tahu akan kualiti atau manfaatnya kelak.

Isi 3

Dalam masa yang sama, ibu bapa juga berperanan dalam menjelaskan kepada anak-anak akan kepentingan membeli barang buatan Malaysia. Anak-anak mungkin berfikiran enteng dalam perkara ini maka, ibu bapalah yang seharusnya bertanggungjawab menjadii guru dalam memastikan kefahaman mereka terhadap industi barangan buatan Malaysia dicapai. Jika kita sentiasa membeli produk hasil tempatan, pengusaha-pengusaha ini akan mendapat keuntungan dan modal dimana mereka boleh gunakan ia untuk meningkatkan tahap kualiti produk mereka dan mengembangkan liputan jualan produk mereka menembusi pasaran antarabangsa. Penggunaan teknologi terkini juga mampu direalisasikan dimana kuantiti produk akan bertambah dan kualiti produk meningkat secara tidak langsung. Segala inisiatif ke arah pembaikan produk boleh dijalankan sekiranya barang buatan tempatan itu mendapat kepercayaan masyarakat untuk membeli dan menggunakan produk mereka. Intihannya, ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak mereka tentang kuasa pembeli dan sumbangannya kepada ekonomi masyarakat tempatan khususnya dan ekonomi negara amnya.

Isi 4

Di samping itu, ibu bapa juga berperanan untuk menunjukkan kepada anak-anak bahawa mereka boleh berjimat cermat sekiranya memakai barang buatan Malaysia. Sebagai contoh, kereta keluaran tempatan seperti Proton dan Perodua adalah lebih murah berbanding kereta keluaran asing seperti Honda dan Toyota. Memang jelas terdapat perbezaan daripada segi spesifikasi kenderaan tetapi jenama tempatan ini dihasilkan khas mengikut kesesuaian dan keperluan masyarakat kita malahan dihasilkan oleh anak tempatan kita. Harga kenderaan yang jauh lebih berpatutan sepatutnya menjadi keutamaan rakyat masa kini kerana kegawatan ekonomi yang tidak menentu. Pepatah Melayu ada berkata, mengukur baju seeloknya di badan sendiri. Perkara ini sinonim dengan golongan muda yang berbelanja besar ingin nampak bergaya tetapi realitinya tidak mampu. Ibu bapalah yang berperanan untuk menasihati anak-anak muda supaya bertindak secara rasional dan membeli barangan yang berada dalam linkungan kemampuan kita agar kita dapat berjimat demi masa hadapan.

Penutup

Konklusinya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menggalakkan anak-anak untuk membeli barangan buatan Malaysia. Pelbagai langkah dapat diimplementasikan oleh pelbagai pihak untuk menyokong pembelian produk tempatan. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita tidak lagi mengagungkan barangan luar kerana barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar. Intihannya, dalam menghadapi cabaran globalisasi hari ini, kita perlu memandang kehadapan dan mewujudkan dasar dimana kita mampu mengeksport produk-produk buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa sekaligus menyemarakkan ekonomi rakyat dan negara secara amnya. Persis kata orang tua-tua dahulu, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Semoga semua pihak berganding bahu menyusun strategi untuk memastikan rakyat kita menyokong barang buatan Malaysia dan menjadi model ekonomi terbaik dalam memajukan ekonomi negara dan bangsa.